Wednesday, 20 July 2016

Padah ep.8

Selepas bersarapan seperti kebiasaannya Mak Ca akan pergi ke kebun. Selepas ke kebun dia tidak akan pulang terus ke rumah sebaliknya akan singgah dahulu di gerai buah-buahan untuk mengutip hasil jualannya. Jika ada hasil buah dari kebunnya, Mak Ca akan meletakkan  buah-buahan tersebut dan mengharapkan penjaga gerai akan menjualkannya jika ada pembeli.

“Macamana hari ni Pian? Laku?,”Tanya Mak Ca kepada Pian, penjaga gerai sebaik tiba di gerai buah.

“Ada ni Mak Ca. Nah!,”Pian menghulurkan duit hasil jualan buah kepada Mak Ca.

“Semalam lagi dah habis dah. Tak ada buah hari ni Mak Ca?,”tambahnya lagi.

“Tak adalah, Pian. Pisang pun belum masak lagi. Tengoklah minggu depan boleh ambil,” jawab Mak Ca.

“Bukan apa Mak Ca. Mak Ca dapat untung saya pun dapat juga. Hehehe…,” Pian bergurau. Memang Mak Ca akan memberi sedikit bahagian kepadanya setiap kali buah-buahan Mak Ca yang diletakkan di gerainya dibeli orang.

“Yelah! Aku balik dulu. Nak Masak,” selepas menyerahkan bahagian Pian, Mak Ca minta diri.

“ Ok. Baik-baik jalan Mak Ca,” Pian sempat berpesan.

Sesampainya di kawasan rumah  Mak Ca ternampak kelibat manusia berpakaian seragam polis. Mak Ca berlari-lari anak menghampiri rumahnya. Apa pula malapetaka selepas ini. Hatinya berdebar-debar. Tidak pernah pula polis datang ke rumahnya sebelum ini. Mak Ca terus menghampiri seorang pegawai polis yang berdiri tegak di hadapan tangga.

“Ada apa ni, encik?,” soal Mak Ca.

“Boleh saya tahu mak cik ni siapa?,” pegawai polis itu tidak menjawab soalan Mak Ca sebaliknya menyoal semula.

“Saya tuan punya rumah ni, encik,” jawab Mak Ca. Wajahnya kelihatan panik.

“Mohd. Amran Bin Nasrudin dan Mohd. Jaidi Bin Nasrudin…,”

“Mereka anak saya encik. Kenapa dengan mereka, encik?,” belum sempat pegawai polis tersebut menghabiskan kata-katanya, Mak Ca terus menjawab.

“Anak-anak mak cik terlibat dengan satu pergaduhan  yang menyebabkan kecederaan. Kami menerima arahan untuk menggeledah rumah mak cik dan memberkas anak-anak mak cik,” terketar-ketar tangan Mak Ca mendengar penjelasan daripada pegawai polis itu. Mak Ca bergegas naik ke rumahnya. Di dalam rumah juga terdapat beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan tugas mereka. Simah dan anak-anaknya duduk di satu sudut rumah. Mai ketika itu sudahpun balik ke tempat kerjanya di Bandar. Acu pula belum pulang dari sekolah. Bun dan Pak Nas pula tidak kelihatan. Tercegat di hadapan pintu bilik, Mak Ca melihat Am dan Jai dengan tangan bergari ke belakang. Keadaan itu menyebabkan air mata Mak Ca yang dibendung di kelopak matanya menitik satu-persatu dan jatuh mengenai kakinya sendiri. Sementara Am dan Jai hanya menundukkan kepala. Tidak mahu melihat wajah sedih seorang ibu yang pernah mengandungkan mereka selama sembilan bulan.

“Mak Cik, kami terpaksa membawa anak-anak mak cik ke balai untuk siasatan dan merampas barang-barang ini sebagai bahan bukti,” seorang pegawai polis memberitahu Mak Ca. Di tangannya memegang sebilah samurai panjang milik Jai, batang besi berantai milik Am, dan sebilah pisau kecil yang dijumpai di bilik Jai. Walaupun tidak merelakan anak-anaknya ditangkap, Mak Ca menggangguk lemah. Pegawai-pegawai polis itu pun berlalu dengan membawa Am dan Jai yang bergari.

************
Bersambung…


No comments:

Post a Comment