Monday 12 December 2016

Padah(Penutup)

Sebenarnya kisah yang aku beri judul Padah ini adalah aku inspirasikan dari kisah sebenar. Di mana kisah ini berlatar belakangkan sekitar tahun 90-an hingga 2015.

Di mana kisahnya bermula dari seorang ibu yang terlalu sayangkan anak sehingga anak-anaknya membesar dengan kebebasan tanpa ada kongkongan. Dan akhirnya mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan dalam kehidupan seharian mereka tetapi masih dianggap betul.

Dan akhirnya, satu-persatu dari mereka menerima balasannya ataupun lebih dikenali sebagai karma. Ataupun hendak lebih dramatik lagi ianya dikenali dengan nama kifarah.

Semoga kisah ini dapat memberikan pengajaran kepada mereka diluar sana yang masih bebas melakukan kesalahan tanpa memikirkan akibatnya. Setiap kesalahan pasti ada balasannya dan setiap kebaikan pasti ada ganjarannya. Hanya masa sahaja yang menentukannya.

Sekian terima kasih.

Padah ep.12(Akhir)

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan itu mengejutkan Jai yang sedang diulit mimpi bersama isterinya, Ida.

"Siapa pula yang datang tengah-tengah malam ni,"rungut Jai. Ida pula masih lagi belum membuka mata. Anak-anaknya juga masih tidur. Jai duduk di atas katil. Kemudian perlahan-lahan keluar dari biliknya.

"...kami diarahkan untuk menggeledah rumah ni, pak cik. Ni waran dari pihak kami,"seorang pegawai polis sedang bercakap dengan Pak Nas sambil menghulurkan sekeping kertas.

Jai yang terkejut dengan kehadiran pegawai polis itu cuba untuk meloloskan diri tetapi berjaya ditangkap oleh pegawai polis yang lain.

Malam itu seramai sepuluh orang pegawai polis diarahkan untuk menggeledah rumah PPRT milik Pak Nas. Hal itu kerana pihak polis mendapat aduan dari beberapa orang penduduk kampung yang mengatakan rumah itu menjadi tempat pengedaran dadah.

Akhirnya, hasil daripada siasatan yang dibuat, Simah, Jai, Ida, dan Anan terpaksa meringkuk di dalam penjara. Mai pula berjaya ditangkap di tempat kerjanya keesokan harinya.

Ramai orang kampung yang tidak menyangka dalam diam rupanya Ananlah yang menjadi dalang dalam pengedaran dadah di kampung itu dan Anan jugalah yang mempengaruhi Jai, Mai, Simah, dan Ida untuk mengikut jejak langkahnya dengan mengaburi mata mereka dengan wang.

Hanya Acu sahaja yang tidak mahu terlibat dengan aktiviti kotor Anan itu. Tinggallah Acu bersama suaminya membesarkan anak-anaknya dengan berniaga.

Pak Nas pula kerap berulang-alik ke hospital untuk rawatan penyakit tibinya. Kadang-kadang Pak Nas akan ditahan sehingga berhari-hari di hospital. Aculah yang selalu melawat ayahnya itu apabila ditahan di wad. Dan sekali-sekala Mamat juga datang menziarah.

Anak-anak Simah, Mai dan Jai pula masih lagi tinggal di rumah Pak Nas. Mungkin terpaksa membesar tanpa kasih sayang dari seorang ibu dan ayah.

Jai, Mai, Simah dan Ida yang meringkuk di dalam penjara, Mamat sudah sedaya upaya memohon untuk menjamin mereka. Menunggu proses sahaja.

~Tamat~

R.O.M.(Roh Orang Mati) - Rumah Sakit

"Morning."

Terdengar sapaan yang datangnya dari Timah. Timah baru sahaja sampai di lobi klinik onkologi. Sapaan itu ditujukan pada seorang nyonya yang duduk di kerusi paling hujung lobi klinik onkologi. Timah hanya membiarkan sahaja sapaannya tidak bersambut. Timah mengambil tempat duduk di belakang sekali.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, Timah kerap berulang alik ke rumah sakit. Kisahnya bermula apabila Timah disahkan menghidap kanser payudara tahap 3 dan akhirnya dia dinasihatkan doktor agar menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada payudaranya. Jika dibiarkan takut merebak ke organ badan yang lain. Selepas pembedahan Timah terpaksa pula menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkan rambutnya gugur dan badannya lemah. Tetapi rawatan itu terpaksa juga dilaluinya untuk mengelakkan sel kanser aktif semula. Setelah beberapa lama berehat dari rawatan kemoterapi Timah diarah pula untuk menjalani fisioterapi bagi menguatkan semula otot-otot selepas pembedahan. Setelah bermacam-macam jenis terapi dilaluinya, Timah terpaksa pula berulang alik ke rumah sakit untuk menjalani rawatan susulan yang berterusan dengan mengambil bekalan ubat setiap bulan.

Hari itu Timah datang awal ke hospital untuk rawatan susulan akibat kanser yang dihidapinya. Baru 2 orang pesakit yang datang iaitu nyonya itu dan dirinya sendiri.

Di bahagian kaunter pula masih kosong. Belum ada kelibat jururawat bertugas. Timah melihat jam pada telefon pintarnya.

"6.36 am. Huh! Awalnya lagi. Sarapan pun dah. Apa aku nak buat ni."

Sedang Timah bermonolog sendirian dia teringatkan nyonya tadi. Nyonya itu masih di situ. Perlahan-lahan Timah menghampiri nyonya itu lalu duduk selang dua kerusi darinya.

"Awal datang hari Nya,"Timah memulakan bicaranya. Sememangnya Timah seorang yang agak peramah. Siapa sahaja yang ada berdekatan dengannya tidak terlepas dari tegurannya.

Nyonya itu tidak memberi sebarang respon. Timah terus memerhatinya menunggu jawapan. Wajah nyonya itu agak berkedut mungkin faktor usia. Ditambah pula dengan bintik-bintik hitam di kulitnya membuktikan nyonya itu sudah agak berusia. Timah mengagak mungkin nyonya itu sudah menjangkau 80 tahun.

"Sakit apa 'Nya,"Timah masih mencuba untuk beramah mesra. Namun masih tidak diendahkan oleh nyonya yang memakai skirt oren lusuh dan blaus putih itu. Dia hanya melihat lurus ke hadapan dan tidak sesekali memandang wajah Timah.

Timah pasrah setelah melihat nyonya itu seperti tidak berminat untuk bercerita dengannya.

"Selamat pagi."

Kedengaran sapaan dari kaunter pesakit. Timah senyum senang bila melihat kehadiran jururawat bertugas. Tidaklah dia perlu menunggu lama lagi.

"Selamat pagi, nurse,"balas Timah ramah. Lalu dia meninggalkan nyonya yang masih lagi senyap dan menghampiri jururawat yang berada di kaunter. Timah melihat tanda nama jururawat itu. Murni.

Tidak pernah pula Timah berjumpa dengan jururawat bernama Murni selama dia menjalani rawatan di situ.

"Baru posting ker? Sebelum ni tak pernah nampak pun,"Timah meluahkan kemusykilannya.

"Dah lama dah kak saya kat sini. Saya kerja malam sampai siang. Kejap lagi nak baliklah ni,"jururawat itu menjawab sambil tersenyum manis. Senyuman yang sangat manis.

Timah sangat gembira dengan respon jururawat yang sangat peramah itu. Kekecewaannya pada layanan nyonya tadi terbalas. Timah dan jururawat itu terus berborak. Macam-macam yang mereka borakkan dari yang dalam kain perempuan hinggalah sampai kepada isu dalam dan luar negara. Isu kenaikan minyak, Trumph, Rohingya dan banyak lagi.

"Morning,"kedengaran suara perempuan menyapa di telinga Timah. Automatik pula Timah menjawab lalu menoleh ke arah datangnya suara itu.

"Morning."

"Awal hari ni kak,"jururawat yang baru sampai itu berbasa basi dengan Timah. Khadijah. Dialah jururawat yang selalu 'melayan' Timah apabila tiba temujanji.

"Ha'ah, tulah terawal pula hari ni,"Timah tersengih. Timah beralih semula kepada Murni. Tetapi Murni sudah tiada di tempatnya. Timah terus mencari-cari kelibat Murni.

"Nurse, mana nurse yang duduk kat sini tadi?,"Timah terus bertanya kepada Khadijah.

"Nurse mana?,"Soalan dijawab dengan persoalan. Berkerut dahi Khadijah dengan soalan Timah. Setahunya masa dia datang tadi dialah nurse pertama yang ada di situ. Pasti Timah pun dah terkena.

"Nurse yang nama Murni tu,"jawab Timah sambil mencari kelibat Murni.

Khadijah menarik nafas panjang lalu melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan dia membuka mulut.

"Kak, dia dah tak ada. Dah lama."

Jawapan itu membuatkan Timah keliru.

"Dia dah tak ada? Apa maksud kamu?,"Timah bertanya.

"Dia dah meninggal kak. Sebelum saya kerja kat sini lagi dia dah meninggal."

"Huh! Meninggal? Apa kau cakap ni. Aku jumpa dia kat sini tadi. Sembang macam-macam lagi sampai isu luar negara yang terbaru lagi,"Timah cuba menjelaskan pada Khadijah.

"Hah..tak percaya kau tanya nyonya tu," Timah lalu menunjukkan ke arah nyonya yang masih duduk di tempatnya.

"Betulkan 'Nya, Murni ada kat sini tadi?."

Nyonya tadi tetap tidak bersuara tetapi dia bangun perlahan-lahan dengan terbongkok-bongkok. Di situ barulah Timah perasan yang nyonya itu memakai alat bantu pendengaran yang terlekat ditelinganya.

'laa..pekak rupanya,'keluh Timah di dalam hati. Tetapi ada sesuatu yang membuatkan Timah melopong melihat nyonya itu. Nyonya itu terapung. Tidak kelihatan kakinya. Dan nyonya itu sempat menoleh memandang tepat ke arah Timah sebelum hilang menembusi dinding putih di sebelah tempatnya duduk tadi.

"Kak Timah! Kak Timah!,"Timah merasa bahunya digoncang berkali-kali. Khadijah sudah berdiri di sisinya.

"Kak dah kena main ni. Nyonya tu pun dah tak ada kak. Mati sebab sakit jantung. Dia mati atas kerusi tu lah."

"Habis..Murni..?,"Timah bertanya dengan suara berat.

"Entahlah kak. Saya pun dengar dari cerita orang. Kononnya, Murni ni dulu nurse yang paling rajin kat sini. Selalu tersenyum. Selalu layan patient. Masa tu dialah jururawat yang paling rapat dengan pesakit. Malangnya dia meninggal sebab kemalangan semasa dalam perjalanan ke sini,"cerita Khadijah panjang lebar.

"Assalamualaikum, Kak Timah,"seorang jururawat lagi baru sampai lalu mengeluarkan buku rekod pesakit.

"Maaflah, kak lambat sikit hari ni. Tiba-Tiba dapat call Khadijah kemalangan. Saya diminta ganti,"kata jururawat yang bernama siti itu.

Sekali lagi Timah ternganga dengan jawapan yang didengarinya sebentar tadi. Cepat dia menoleh di sisinya. Khadijah sudah tiada. Timah memandang ke arah tempat duduk lobi, sudah ramai pesakit yang sedang menunggu giliran.

Hati Timah jadi tidak tenang. Dalam keadaan yang sudah mula sibuk itu Timah cuba bertanya pada jururawat yang ada di situ.

"Nurse, Khadijah..,"suara Timah seakan tersekat di kerongkong untuk bertanya soalan itu. Nurse yang berada di hadapannya itu pula seakan faham.

"Dia dah tak ada, kak,"nurse itu menjawab perlahan. Jelas terlihat kesedihan di raut wajahnya.

"Dia meninggal masa dalam perjalanan ke hospital tadi."

Nafas Timah merasa berat. Dia seakan sukar menerima apa yang berlaku sebentar tadi. Adakah 'mereka' semua itu roh orang-orang yang telah tiada...ataupun mainan syaitan semata. Dia pun tidak pasti.

Perlahan-lahan Timah membaca surah Al Fatihah untuk disedekahkan pada arwah. Tidak sangka pula Khadijah..arwah Khadijah, menerima nasib yang sama seperti Murni. Semoga mereka yang telah pergi tenang hendaknya di sana.

~Tamat~