Wednesday 20 July 2016

Padah ep.8

Selepas bersarapan seperti kebiasaannya Mak Ca akan pergi ke kebun. Selepas ke kebun dia tidak akan pulang terus ke rumah sebaliknya akan singgah dahulu di gerai buah-buahan untuk mengutip hasil jualannya. Jika ada hasil buah dari kebunnya, Mak Ca akan meletakkan  buah-buahan tersebut dan mengharapkan penjaga gerai akan menjualkannya jika ada pembeli.

“Macamana hari ni Pian? Laku?,”Tanya Mak Ca kepada Pian, penjaga gerai sebaik tiba di gerai buah.

“Ada ni Mak Ca. Nah!,”Pian menghulurkan duit hasil jualan buah kepada Mak Ca.

“Semalam lagi dah habis dah. Tak ada buah hari ni Mak Ca?,”tambahnya lagi.

“Tak adalah, Pian. Pisang pun belum masak lagi. Tengoklah minggu depan boleh ambil,” jawab Mak Ca.

“Bukan apa Mak Ca. Mak Ca dapat untung saya pun dapat juga. Hehehe…,” Pian bergurau. Memang Mak Ca akan memberi sedikit bahagian kepadanya setiap kali buah-buahan Mak Ca yang diletakkan di gerainya dibeli orang.

“Yelah! Aku balik dulu. Nak Masak,” selepas menyerahkan bahagian Pian, Mak Ca minta diri.

“ Ok. Baik-baik jalan Mak Ca,” Pian sempat berpesan.

Sesampainya di kawasan rumah  Mak Ca ternampak kelibat manusia berpakaian seragam polis. Mak Ca berlari-lari anak menghampiri rumahnya. Apa pula malapetaka selepas ini. Hatinya berdebar-debar. Tidak pernah pula polis datang ke rumahnya sebelum ini. Mak Ca terus menghampiri seorang pegawai polis yang berdiri tegak di hadapan tangga.

“Ada apa ni, encik?,” soal Mak Ca.

“Boleh saya tahu mak cik ni siapa?,” pegawai polis itu tidak menjawab soalan Mak Ca sebaliknya menyoal semula.

“Saya tuan punya rumah ni, encik,” jawab Mak Ca. Wajahnya kelihatan panik.

“Mohd. Amran Bin Nasrudin dan Mohd. Jaidi Bin Nasrudin…,”

“Mereka anak saya encik. Kenapa dengan mereka, encik?,” belum sempat pegawai polis tersebut menghabiskan kata-katanya, Mak Ca terus menjawab.

“Anak-anak mak cik terlibat dengan satu pergaduhan  yang menyebabkan kecederaan. Kami menerima arahan untuk menggeledah rumah mak cik dan memberkas anak-anak mak cik,” terketar-ketar tangan Mak Ca mendengar penjelasan daripada pegawai polis itu. Mak Ca bergegas naik ke rumahnya. Di dalam rumah juga terdapat beberapa pegawai polis yang sedang menjalankan tugas mereka. Simah dan anak-anaknya duduk di satu sudut rumah. Mai ketika itu sudahpun balik ke tempat kerjanya di Bandar. Acu pula belum pulang dari sekolah. Bun dan Pak Nas pula tidak kelihatan. Tercegat di hadapan pintu bilik, Mak Ca melihat Am dan Jai dengan tangan bergari ke belakang. Keadaan itu menyebabkan air mata Mak Ca yang dibendung di kelopak matanya menitik satu-persatu dan jatuh mengenai kakinya sendiri. Sementara Am dan Jai hanya menundukkan kepala. Tidak mahu melihat wajah sedih seorang ibu yang pernah mengandungkan mereka selama sembilan bulan.

“Mak Cik, kami terpaksa membawa anak-anak mak cik ke balai untuk siasatan dan merampas barang-barang ini sebagai bahan bukti,” seorang pegawai polis memberitahu Mak Ca. Di tangannya memegang sebilah samurai panjang milik Jai, batang besi berantai milik Am, dan sebilah pisau kecil yang dijumpai di bilik Jai. Walaupun tidak merelakan anak-anaknya ditangkap, Mak Ca menggangguk lemah. Pegawai-pegawai polis itu pun berlalu dengan membawa Am dan Jai yang bergari.

************
Bersambung…


Padah ep.7

Malam itu rumah Mak Ca riuh dengan bunyi suara Bun,Jai dan Am. Kedengaran juga suara orang sedang mengerang kesakitan. Begitu juga suara tangisan.

“Ayah, baik ayah bagitahu mana ayah simpan duit tu,” Jai berteriak pada Pak Nas. Am dan Bun pula masing-masing memegang  tangan kanan dan kiri Pak Nas. Satu tumbukan dilepaskan oleh Jai lalu mengenai pipi kiri Pak Nas. Muka Pak Nas sudah lebam di sana-sini.

“Kau nak buat apa dengan duit tu?,” suara Pak Nas lemah.

“Kami nak buat apa dengan duit tu suka hati kamilah. Sekarang ni ayah bagitahu di mana ayah letak duit tu,” Am pula mencelah.

“Itu duit Udin, bukan duit kamu,”jawab Pak Nas lagi.

“Lantaklah duit Udin pun. Yang penting kami nak duit tu,” sekali lagi Jai melapaskan tumbukan. Kali ini tepat ke perut Pak Nas. Pak Nas terbatuk dan serentak itu juga keluar darah merah dari mulut Pak Nas.

“Sudahlah tu. Jai! Bun! Am! Sudahlah tu. Kamu nak bunuh ayah kamu ker?,” Mak Ca berteriak dalam tangisnya. Dia sudah menjangka ini akan berlaku.itulah sebabnya dia merahsiakan ke mana Udin siang tadi. Tetapi rupanya Acu terlebih dahulu memberitahu abang-abangnya itu. Acu memberitahu abang-abangnya  yang kononnya, ayah telah memberikan Udin duit dan membelikan Udin baju baru.

“Ayah, bagi sajalah duit tu. Ayah bagi Udin duit, ayah tak bagi kami pun,”Bun pula bersuara  tetapi lebih rendah berbanding suara abang-abangnya tadi. Dia seakan tidak sampai hati melihat ayahnya diperlakukan seperti itu.

“Betul, ayah tak nak bagi?,” Jai menyoal dengan geram.

“Betul, ayah tak nak bagi?,” Jai menyoal sekali lagi. Selepas melihat Pak Nas menggelengkan kepalanya, Jai terus menendang perut ayah kandungnya sendiri. Am melepaskan pegangannya lalu menumbuk muka ayahnya bertubi-tubi. Muka Pak Nas dipenuhi darah dan lebam di sana-sini kerana mempertahankan duit bantuan Udin. Pak Nas rebah tidak berdaya di atas lantai.

“Abang, sudahlah tu. Ayah dah pengsan,” Bun bersuara. Melihat  keadaan ayah mereka, Jai dan Am terus keluar rumah tanpa memberitahu Mak Ca yang ketika itu sedang menangis bersama Mai dan Acu. Kerana geram tidak mendapat  apa yang diingini, Am sempat menyepak kepala ayahnya yang sudah terkulai sebelum keluar dari rumah mengikut abangnya, Jai.

Tanpa berlengah, Bun segera pergi ke dapur mengambil tuala kecil dan sebesen air. Tanpa disuruh dia membersihkan luka-luka di muka dan badan Pak Nas. Bagaikan hendak menangis Bun melihat keadaan ayahnya pada ketika itu. Ada sedikit rasa kesal di hati Bun kerana mengikut kehendak abang-abangnya untuk memukul ayahnya semata-mata kerana wang. Sepanjang malam, Bunlah yang menjaga ayahnya sehingga ayahnya sedar dan meminta air untuk minum. Jai dan Am pula tidak pulang-pulang hingga ke pagi.
************
“Assalamualaikum, Mak,” keesokan paginya, kedengaran suara memberi salam di luar rumah. Acu terus berlari dan membuka pintu rumah. Ayam-ayam Pak Nas sudah pun mula sibuk mengais-ngais tanah untuk mencari cacing. Kucing Mak Ca pula berlingkar dihujung tangga kerana kesejukan.

“I love you! I love you!,” burung tiung milik Am menyapa kedatangan Simah. Semenjak Am menjumpai burung tiung tersebut beberapa tahun yang lalu, setiap hari Am akan mengasah lidah burung itu dan mengajarnya berkata-kata. Tidak disangka pula burung tiung tersebut boleh mengikut perkataan yang diajarkan oleh Am. Simah hanya menjeling burung tiung tersebut. ‘Hish! Am ni kalau ya pun ajarlah bahasa melayu,’ bisik Simah di dalam hatinya.

“Kak Simah!,”terkejut Acu apabila melihat kakaknya Simah tercegat ditangga bersama dua orang anaknya yang masih kecil. Simah pula dengan keadaan tangan berbalut dan pipi yang bengkak. Simah terus membawa anak-anaknya naik ke rumah. Mak Ca terus bergegas dari dapur mendapatkannya.

“Acu pergi buat air kopi,”Mak Ca bersuara kepada Acu.

“Malaslah, Mak,”itulah jawapan yang sering keluar dari mulut Acu bila Mak Ca memintanya melakukan sesuatu.

“Ya Allah, kenapa ni Simah?,”soal Mak Ca sebaik saja duduk di sebelah Simah anak sulungnya itu. Sementara Bun hanya mendiamkan diri . Masih setia di sisi ayahnya yang terlentang.

“Zul dah ceraikan Simah, Mak,” menghamburlah tangisan Simah di hadapan ibunya setelah selesai berucap demikian.

“Sabar Simah, cuba ceritakan pada mak, macamana boleh jadi macam ni?,” Mak Ca cuba memujuk.

“Minggu lepas Simah keluar rumah pergi jumpa kawan. Sekejap saja, jadi Simah ingat tak payahlah bagitahu Zul. Tapi lepas Simah balik rumah, Zul terus marah-marah. Zul pukul Simah. Dan semalam dia dah ceraikan Simah, mak,” terang Simah panjang lebar.

“Mungkin jodoh kau dengan dia sampai sini saja. Tak mengapalah simah. Kau masih muda lagi. Banyak lagi lelaki yang nakkan kau, Simah. Anak-anak kau dah makan? Mak dah siapkan sarapan tu. Kopi saja belum bancuh. Si Acu ni pemalas sangat,” kata Mak Ca bersahaja lalu pergi ke dapur.

“Bun, kenapa ayah tu?,” Simah tidak terus mengikut ibunya ke dapur. Dia pergi ke tempat Bun dan ayahnya. Bun hanya menggelengkan kepalanya kerana malas hendak bercerita pada kakaknya.  Dia tahu perangai kakaknya juga lebih kurang perangai ibu dan abang-abangnya. Bercakap ikut sedap mulut sahaja. Bagi mengelakkan benda yang lebih buruk berlaku lebih baik dia mendiamkan diri sahaja.

“Aku tanya kau ni. Apasal tak jawab. Dah bisu?,” Bun tunduk.

“Dahlah malas aku nak bercakap dengan orang macam kau ni. Bukannya penting sangat pun,”perli Simah lalu pergi ke dapur . Anak-anaknya sudahpun mula menikmati hidangan sarapan pagi yang disediakan oleh Mak Ca.

*************

Bersambung…

Padah ep. 6

Hari itu, saat yang dinanti-nantikan Acu telah tiba iaitu kepulangan ayahnya. Sebenarnya apa yang diharapkan oleh Acu bukanlah kehadiran ayahnya tetapi  ‘ole-ole’ yang akan dibawa ayahnya dari luar negeri. Belum sempat ayahnya, Pak Nas memijak tangga rumah Acu sudah terlebih dahulu menyerbu ke arahnya.

“Ayah! Ada beli baju baru untuk Acu?,” Tanya Acu dengan suara yang lantang. Bagaikan kucing yang kelaparan tidak sabar menanti habuannya.

“Sabarlah. Bagi ayah naik dulu. Ayah penat ni. Ada ni dalam beg,”ujar Pak Nas dengan suara lembut. Tanpa mempedulikan kata-kata Pak Nas, Acu terus saja merebut beg yang digalas dibahu Pak Nas. Acu terus berlari naik ke rumah meninggalkan Pak Nas yang masih terkial-kial menanggalkan kasut kulitnya di hujung tangga.

“Mak, tengoklah ayah beli baju baru untuk Acu,” Acu menggeledah beg ayahnya sambil berteriak memberitahu Mak Ca yang berada di dapur.  Acu mula leka melihat baju-baju yang dibelikan oleh ayahnya. Pak Nas pula terus mendapatkaan Mak Ca di dapur.

“Ca, Udin mana?,” Tanya Pak Nas kepada Mak Ca. Setiap kali pulang ke kampung Udinlah orang pertama yang akan dicarinya. Udin adalah anak tunggal Mak Ca bersama suami pertamanya dahulu. Anak-anak Mak Ca dengan suaminya sekarang iaitu Pak Nas kurang menyukai Udin kerana Udin seorang kurang upaya(OKU). Udin mengalami gangguan mental setelah menghidap demam panas ketika kecilnya. Walaupun Udin hanya anak tiri kepada Pak Nas, tetapi Pak Nas sudahpun menganggap Udin seperti anak kandungnya sendiri. Pak Naslah yang sering menguruskan kebajikan Udin jika berada di kampung.

“Ada kat pondok dia tu,” jawab Mak Ca pendek. Sememangnya hubungan Mak Ca dan Pak Nas agak dingin sedikit sejak kebelakangan ini. Mak Ca sering saja marah-marah tanpa sebab pada Pak Nas. Pak Nas pula tetap bersabar dengan kerenah isteri dan anak-anaknya. Pak Nas meninggalkan Mak Ca dan terus pergi ke sebuah pondok kecil di sebelah bilik air di mana Udin ditempatkan. Pak Naslah yang menyediakan pondok itu untuk Udin berteduh. Hal ini kerana enam orang anaknya tidak suka Udin dengan kaki kotor masuk ke dalam rumah.

“Udin, ayah balik ni,” Pak Nas memanggil Udin yang sedang berbaring di lantai pondok. Tidak ada respon dari Udin. Pak Nas memegang badan Udin yang tidak berbaju. Panas.

“Udin, Udin demam?,” Pak Nas terus meramas-ramas dahi dan tengkuk Udin. Tanpa berlengah Pak Nas memapah Udin untuk membawanya ke hospital. Pak Nas menggunakan kudratnya untuk mengangkat Udin yang agak gempal di belakangnya.

“Nak dibawa ke mana Udin tu?,”Mak Ca berteriak dari atas rumah apabila melihat Pak Nas sedang memapah Udin.

“Aku nak bawa pergi hospital. Udin demam.”

“Tengoklah kalau budak tu yang sakit, cepat saja bawa pergi hospital. Hari dah senja macam ni mana ada kereta pergi pekan lagi…,” Mak Ca membebel sambil meneruskan kerjanya di dapur.

Pak Nas terus membawa Udin ke perhentian bas. Pak Nas cuba menahan apa saja kereta yang lalu ketika itu. Pak Nas bernasib baik apabila sebuah kereta kancil berhenti  di hadapannya.

“Nak pergi mana Pak cik?,” Tanya pemandu kereta kancil itu.

“Tolong hantar kami ke hospital,” Pak Nas seakan merayu sambil menunjukkan Udin kepada pemandu kereta kancil tadi. Pemandu yang baik hati itu pun terus bersetuju menghantar Pak Nas dan Udin ke hospital. Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran pada Pak Nas. Dan akhirnya malam itu Udin ditahan di wad kecemasan kerana suhu badannya melebihi paras normal. Pak Nas juga difahamkan badan Udin tidak mendapat nutrisi yang seimbang. Itulah sebabnya badan Udin semakin susut. Esoknya, Udin dipindahkan ke wad sebagai pesakit luar. Selepas tiga hari barulah Udin dibenarkan keluar. Apa yang menyedihkan sepanjang Udin ditahan di wad, Mak Ca dan anak-anaknya yang lain langsung tidak datang melawat. Pak Nas sendiri tidak pasti mengapa Mak Ca ibu kandung Udin sendiri seakan tidak ambil peduli tentang anaknya yang seorang itu.

“Udin, pakai ni,” sebelum keluar dari wad Pak Nas memberikan pakaian yang baru dibelinya tadi kepada Udin. Sehelai baju t-shirt  dan seluar jeans. Udin pun memakai pakaian tersebut dengan gembira sekali. Senyumnya sampai ke telinga. Maklum sajalah sebelum ini dia jarang mendapat peluang untuk memakai pakaian cantik seperti itu. Pakaian yang Pak Nas belikan sebelum ini sudah diambil dan ditukar milik kepada Bun, Jai dan Am.

“Udin, lepas ni kita pergi jalan-jalan,” kata Pak Nas lagi.

Setelah keluar dari hospital, Pak Nas terus mencari teksi untuk pergi ke pejabat kebajikan. Tujuan dia membawa Udin ke sana adalah untuk mengambil duit bantuan Udin sebagai orang kurang upaya. Setelah mendapatkan wang bantuan tersebut, Pak Nas tidak terus membawa Udin balik sebaliknya dia membawa Udin makan angin. Pak Nas membawa Udin makan di restoran dan membeli sedikit barang keperluan Udin. Setelah puas berjalan-jalan barulah Pak Nas mengajak Udin balik.Udin kelihatan ceria sekali.

“Amboi, shoping sakan nampaknya,” perli Mak Ca sebaik Pak Nas dan Udin sampai di kaki tangga.

“Bukan selalu,” ujar Pak Nas pendek lalu terus mengajak Udin naik ke rumah.

************

Bersambung…