Friday 24 June 2016

Padah ep. 5

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Hasil dari siasatan pihak berkuasa akhirnya Mail tertangkap dan disabitkan bersalah atas tuduhan khianat yang menyebabkan berlakunya kebakaran di kedai runcit Pak Lebai. Mail dihukum penjara selama dua bulan. Bun pula semakin tertekan dengan ketiadaan kawannya Mail. Bun mula bergaul dengan budak-budak nakal di kampung sebelah. Melepak tidak  tentu masa dan jarang pulang ke rumah. Satu hari berlaku perselisihan faham antara Bun dengan kakaknya Mai yang ketika itu sudah bekerja.

“Bun, kau ada nampak duit aku? Tadi aku letak atas meja,” Mai bersuara pada Bun.

“Manalah aku tau. Aku baru balik ni kan.”

“ Aku Tanya saja. Tak payahlah marah-marah.”

“Cakap sajalah kau tuduh aku ambil. Aku tahulah aku ni bukannnya baik sangat tapi tak adalah sampai aku nak curi duit kau.”

“Aku Tanya saja kan. Bila pula aku tuduh kau ni,” Mai pula semakin tegang.

“Yelah, kau tu banyak duit. Aku ni apa yang ada,”sindir Bun lagi. Seolah-olah ingin menyalakan api di atas bara pula lagaknya.

“Bun, kau ni tak faham bahasa kan. Aku dah kata aku tanya saja. Kau nak lebih-lebih kenapa? Macam aku tak tahu. Kau bergaul dengan budak-budak nakal dari kampung sebelah. Pakat-pakat pecah rumah orang. Mail dah kena tangkap pun kau tak reti nak insaf,”Mai pula menghamburkan kemarahannya.

“Kau jangan nak cakap pasal kawan aku,” mata Bun mula bertukar menjadi merah.

“Lagi satu kau ikut budak-budak tu hisap gam. Pasal tu kau jarang balik rumah.”

“Aku dah cakap jangan ungkit pasal kawan aku,” Bun bangun dari tempat duduknya dan masuk ke biliknya. Dia keluar semula dengan sebatang besi berantai ditangannya. Bila melihat sahaja Bun membawa besi itu, Mai terus lari turun ke bawah rumah untuk menyelamatkan diri. Bun seperti hilang akal. Bun mengejar kakaknya, Mai dengan terjun melalui tingkap yang hanya dibuat daripada papan. Tiba-tiba sahaja Bun berada di belakang Mai tanpa disedari oleh Mai. Bun terus sahaja menghentakkan batang besi ditangannya ke belakang Mai.

Baaam!!

Mai tersentak. Dalam kesakitan yang amat Mai cuba melarikan diri. Dari jauh Mak Ca yang baru balik dari gerai berlari-lari anak bila melihat anaknya sedang bergaduh.

“Bun! Sudah, Bun. Ini kakak kau Bun. Kenapa ni?”

“Dia ni kurang ajar sangat, mak. Nak menyibuk cari pasal saja,” Bun masih lagi marah. Dia terus mengejar Mai dan membantainya sekali lagi dengan batang besi ditangannya. Mai muntah darah dan rebah tidak mampu berdiri.

“Ya Allah, Bun!Apa dah jadi dengan anak-anak aku ni.”Mak Ca merintih lalu terus mendapatkan Mai yang tercungap-cungap. Mak Ca terus mengurut belakang Mai. Melihat keadaan Mai, Bun seperti terbangun dari tidur. Kerana panik Bun lari meninggalkan Mak Ca dan Mai. Terpaksalah Mak Ca yang menguruskan Mai sendirian. Jai dan Am pula hilang entah ke mana. Acu masih belum pulang dari sekolah.

‘Apa aku dah buat ni? Apa aku dah buat pada kakak aku sendiri? Kalau dia mati? Tak. Aku tak nak masuk penjara,’Bun menangis teresak-esak menyesal dengan apa yang telah dilakukannya. Semenjak hari itu Bun cuba mengurangkan pergaulannya dengan budak-budak nakal di kampung sebelah. Mail pula selepas keluar dari penjara mendapat habuan dari bapanya. Tidak cukup dengan sepak terajang, Mail menerima libasan demi libasan tali pinggang kulit millik bapanya. Basikalnya juga turut digantung ditiang rumah agar Mail tidak pergi jauh dan berjumpa kawan-kawannya. Akhirnya, akibat malu dan rasa terkongkong Mail melarikan diri dari kampung dan membawa diri ke Bandar.

*****************

Bersambung…

Padah ep. 4

Penduduk Kampung Semarak mula heboh dengan kehadiran pencuri di kampung itu. Mula-mula kedai runcit Pak Lebai di pecah masuk. Tetapi Pak Lebai mengambil tindakan untuk tidak melaporkannya kepada pihak polis kerana pencuri tersebut hanya mengambil sekotak rokok. Apa yang mengejutkan, seminggu selepas itu pencuri sudah berani memecah masuk rumah orang-orang kampung pula. Apa yang memelikkan penduduk kampung, kesan rumah dipecah masuk memang ada tetapi tuan rumah tidak menemui apa-apa yang hilang. Keadaan itu membuatkan kejadian pecah rumah ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Bodoh betullah orang kampung kita ni kan,”kata Mail pada Bun. Mereka ketika itu berada di belakang rumpun bambu di belakang rumah Mail tempat selalu mereka menghabiskan masa selepas dibuang sekolah.

“Dah kita curi benda-benda kecil saja mana mereka nak perasan. Curi duit pun sepuluh ringgit saja. Apalah sangat sepuluh ringgit tu pada mereka. Tapi kita boleh beli macam-macam. Beli keropok, mainan. Beli ..rokok..,”

“Hahahaha…” ketawa Bun dan mail memecahkan kesunyian di kawasan pohon bambu itu.

Begitulah persahabatan Bun dan Mail yang sentiasa sebulu sehingga mereka dewasa. Kini masing- masing sudah mencapai usia 19 tahun. Tetapi usia tidak membuktikan kematangan mereka malah semakin menjadi-jadi pula perangai mereka. Apa yang dilarang itulah yang akan dibuat.

“Hah, Mail kau ni asyik nak menyusahkan mak bapak kau saja. Pergilah cari kerja elok sikit. Ni tidak asyik nak bergaul dengan Bun tu saja, mana nak dapat hidayah,” Pak Lebai merangkap bapa saudara tiri kepada Mail sering menasihati Mail. Tetapi seperti biasa nasihat Pak lebai bagaikan air yang mengalir di daun keladi.

“Saya tahulah apa saya buat, Pak Lebai. Pak Lebai jangan nak buruk-burukkan kawan saya,” Darah muda Mail mula tersirap ke muka. Kalau diikutkan hati mahu disekehnya orang tua itu. Suka sangat nak masuk campur hal orang.

Malam itu, riuh rendah suara orang kampung yang tinggal di kawasan berhampiran kedai Pak Lebai. Mana tidaknya kedai runcit Pak Lebai sedang terbakar. Api marak dengan begitu cepat sekali. Keadaan itu membuatkan orang kampung menjadi kelam kabut. Mereka risau kalau api merebak ke rumah berhampiran.Bomba segera dipanggil dan api berjaya dipadamkan. Malangnya kedai runcit Pak Lebai habis hangus hanya tinggal arang.

“Hahaha, puas hati aku. Padan muka kau orang tua suka sangat jaga tepi kain orang,” kedengaran suara di belakang pokok bambu. Suara Mail.

“Kau yang buat? Kenapa tak ajak aku. Kau ni buat projek sorang-sorang,”Bun seolah-olah tidak berpuas hati.

“Maaflah, aku tak sempat nak ajak kau. Geram aku dengan orang tua tu. Boleh dia buruk-burukkan kau depan aku.”

“Hah, dia kata apa pasal aku,”Bun pula mula marah mendengar kenyataan dari Mail.

“Tak payahlah kau nak marah-marah lagi. Aku dah balas dendam dah pun. Kau tengoklah kedai dia dah habis. Lepas ni pandai-pandailah dia nak cari makan.”

“Terima kasiih, kawan,”Bun menepuk-nepuk bahu Mail.

********************
Bersambung…