Wednesday, 20 July 2016

Padah ep. 6

Hari itu, saat yang dinanti-nantikan Acu telah tiba iaitu kepulangan ayahnya. Sebenarnya apa yang diharapkan oleh Acu bukanlah kehadiran ayahnya tetapi  ‘ole-ole’ yang akan dibawa ayahnya dari luar negeri. Belum sempat ayahnya, Pak Nas memijak tangga rumah Acu sudah terlebih dahulu menyerbu ke arahnya.

“Ayah! Ada beli baju baru untuk Acu?,” Tanya Acu dengan suara yang lantang. Bagaikan kucing yang kelaparan tidak sabar menanti habuannya.

“Sabarlah. Bagi ayah naik dulu. Ayah penat ni. Ada ni dalam beg,”ujar Pak Nas dengan suara lembut. Tanpa mempedulikan kata-kata Pak Nas, Acu terus saja merebut beg yang digalas dibahu Pak Nas. Acu terus berlari naik ke rumah meninggalkan Pak Nas yang masih terkial-kial menanggalkan kasut kulitnya di hujung tangga.

“Mak, tengoklah ayah beli baju baru untuk Acu,” Acu menggeledah beg ayahnya sambil berteriak memberitahu Mak Ca yang berada di dapur.  Acu mula leka melihat baju-baju yang dibelikan oleh ayahnya. Pak Nas pula terus mendapatkaan Mak Ca di dapur.

“Ca, Udin mana?,” Tanya Pak Nas kepada Mak Ca. Setiap kali pulang ke kampung Udinlah orang pertama yang akan dicarinya. Udin adalah anak tunggal Mak Ca bersama suami pertamanya dahulu. Anak-anak Mak Ca dengan suaminya sekarang iaitu Pak Nas kurang menyukai Udin kerana Udin seorang kurang upaya(OKU). Udin mengalami gangguan mental setelah menghidap demam panas ketika kecilnya. Walaupun Udin hanya anak tiri kepada Pak Nas, tetapi Pak Nas sudahpun menganggap Udin seperti anak kandungnya sendiri. Pak Naslah yang sering menguruskan kebajikan Udin jika berada di kampung.

“Ada kat pondok dia tu,” jawab Mak Ca pendek. Sememangnya hubungan Mak Ca dan Pak Nas agak dingin sedikit sejak kebelakangan ini. Mak Ca sering saja marah-marah tanpa sebab pada Pak Nas. Pak Nas pula tetap bersabar dengan kerenah isteri dan anak-anaknya. Pak Nas meninggalkan Mak Ca dan terus pergi ke sebuah pondok kecil di sebelah bilik air di mana Udin ditempatkan. Pak Naslah yang menyediakan pondok itu untuk Udin berteduh. Hal ini kerana enam orang anaknya tidak suka Udin dengan kaki kotor masuk ke dalam rumah.

“Udin, ayah balik ni,” Pak Nas memanggil Udin yang sedang berbaring di lantai pondok. Tidak ada respon dari Udin. Pak Nas memegang badan Udin yang tidak berbaju. Panas.

“Udin, Udin demam?,” Pak Nas terus meramas-ramas dahi dan tengkuk Udin. Tanpa berlengah Pak Nas memapah Udin untuk membawanya ke hospital. Pak Nas menggunakan kudratnya untuk mengangkat Udin yang agak gempal di belakangnya.

“Nak dibawa ke mana Udin tu?,”Mak Ca berteriak dari atas rumah apabila melihat Pak Nas sedang memapah Udin.

“Aku nak bawa pergi hospital. Udin demam.”

“Tengoklah kalau budak tu yang sakit, cepat saja bawa pergi hospital. Hari dah senja macam ni mana ada kereta pergi pekan lagi…,” Mak Ca membebel sambil meneruskan kerjanya di dapur.

Pak Nas terus membawa Udin ke perhentian bas. Pak Nas cuba menahan apa saja kereta yang lalu ketika itu. Pak Nas bernasib baik apabila sebuah kereta kancil berhenti  di hadapannya.

“Nak pergi mana Pak cik?,” Tanya pemandu kereta kancil itu.

“Tolong hantar kami ke hospital,” Pak Nas seakan merayu sambil menunjukkan Udin kepada pemandu kereta kancil tadi. Pemandu yang baik hati itu pun terus bersetuju menghantar Pak Nas dan Udin ke hospital. Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran pada Pak Nas. Dan akhirnya malam itu Udin ditahan di wad kecemasan kerana suhu badannya melebihi paras normal. Pak Nas juga difahamkan badan Udin tidak mendapat nutrisi yang seimbang. Itulah sebabnya badan Udin semakin susut. Esoknya, Udin dipindahkan ke wad sebagai pesakit luar. Selepas tiga hari barulah Udin dibenarkan keluar. Apa yang menyedihkan sepanjang Udin ditahan di wad, Mak Ca dan anak-anaknya yang lain langsung tidak datang melawat. Pak Nas sendiri tidak pasti mengapa Mak Ca ibu kandung Udin sendiri seakan tidak ambil peduli tentang anaknya yang seorang itu.

“Udin, pakai ni,” sebelum keluar dari wad Pak Nas memberikan pakaian yang baru dibelinya tadi kepada Udin. Sehelai baju t-shirt  dan seluar jeans. Udin pun memakai pakaian tersebut dengan gembira sekali. Senyumnya sampai ke telinga. Maklum sajalah sebelum ini dia jarang mendapat peluang untuk memakai pakaian cantik seperti itu. Pakaian yang Pak Nas belikan sebelum ini sudah diambil dan ditukar milik kepada Bun, Jai dan Am.

“Udin, lepas ni kita pergi jalan-jalan,” kata Pak Nas lagi.

Setelah keluar dari hospital, Pak Nas terus mencari teksi untuk pergi ke pejabat kebajikan. Tujuan dia membawa Udin ke sana adalah untuk mengambil duit bantuan Udin sebagai orang kurang upaya. Setelah mendapatkan wang bantuan tersebut, Pak Nas tidak terus membawa Udin balik sebaliknya dia membawa Udin makan angin. Pak Nas membawa Udin makan di restoran dan membeli sedikit barang keperluan Udin. Setelah puas berjalan-jalan barulah Pak Nas mengajak Udin balik.Udin kelihatan ceria sekali.

“Amboi, shoping sakan nampaknya,” perli Mak Ca sebaik Pak Nas dan Udin sampai di kaki tangga.

“Bukan selalu,” ujar Pak Nas pendek lalu terus mengajak Udin naik ke rumah.

************

Bersambung…

No comments:

Post a Comment