Saturday 9 April 2016

Padah ep. 3

“Bun, mari makan. Panggil abang sekali, nak. Makanan dah siap ni.” Mak Ca memanggil anak-anaknya makan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Simah, Mai dan Acu sudahpun berada di hadapan juadah yang menunggu untuk di suap malam itu. Sementara Bun memanggil abangnya Jai dan Am yang masih berada di dalam bilik. Entah apa yang mereka lakukan di dalam bilik bagaikan perempuan pula tingkahnya berkurung di dalam bilik.

“Mak, bila ayah nak balik? Sudah lama ayah tak belikan baju baru,” Acu anak bongsu Mak ca merengek manja.

“Ayah sibuk lagi tu. Nanti dia baliklah,” kata Mak Ca pendek. Pak Nas, suami Mak Ca sering bekerja di luar negeri untuk mencari rezeki buat isteri dan anak-anaknya yang enam orang itu. Pak Nas hanya akan pulang ke kampung sebulan sekali. Kadang-kadang tak balik langsung kerana masalah kewangan.

“Mak, Bun ingat nak berhenti sekolahlah. Susahlah belajar. Bun tak dapat masuk. Penat. Abang Jai dengan abang Am pun tak sekolah. Bolehlah, mak,” tiba-tiba Bun mengadu ingin berhenti sekolah.

“Bun, cubalah lagi. Kawan-kawan Bun boleh buat takkan Bun tak boleh,” Mak Ca cuba memujuk Bun. Dia tidak mahu Bun mengikut jejak langkah abang-abangnya yang belajar hanya sekerat jalan saja. Simah, anak sulung Mak Ca pula sudah berhenti sekolah ketika di tingkatan 2. Tinggal Mai, adik kepada Simah yang bersekolah. Pelajaran Mai memang agak memberangsangkan. Acu pula tahun depan masuk darjah satu. Mak Ca tidak mahu meletakkan harapan yang tinggi pada anak-anaknya, dia Cuma mahu ank-anaknya bahagia bila besar nanti.

Esoknya Bun pergi ke sekolah seperti biasa. Tetapi sahabat baiknya tidak kelihatan. Puas dia mencari di kawasan sekolah yang menjadi tempat mereka melepak tetap tidak berjumpa.

‘Mana pula si Mail ni? Sehari tak Nampak batang hidung. Bosanlah macam ni. Takkan aku nak main sorang-sorang. Ish! Belajar lagi bosan.’

Akhirnya, Bun mengambil keputusan keluar dari kawasan sekolah untuk mencari Mail. Ketika melintasi kedai runcit Pak Lebai, Bun ternampak Mail dengan basikalnya. Bun terus memberhentikan basikalnya di depan Mail.

“Mail, apasal kau tak sekolah hari ni?”

“Bapak aku tak bagi aku sekolah dah. Bukan belajar pun. Lantaklah. Aku pun dah malas nak pergi sekolah.”

“Seronoklah kau. Mak aku tak bagi berhenti sekolahlah. Bosanlah macam ni.”

“Tak payahlah sekolah. Abang-abang kau pung tak habis sekolah apasal pula kau nak sekolah sampai habis,”Mail mula mempengaruhi Bun. “Kau tak malu. Dah kena turun kelas masih lagi nak belajar. Buang masa saja. Tak payah pergi sekolah. Kau ikut aku. Kita jalan-jalan ronda kampung,” tambah Mail lagi.

“Betul juga. Mak aku tak adillah. Apasal pula aku kena pergi sekolah. Abang-abang aku tak payah pergi pun. Ok. Aku ikut kau,” kata Bun pula bersetuju dengan pendapat Mail.

“Ok. Jom,”kata Mail dengan gembiranya.

**************

Bersambung...

si Pembunuh Senyap

Hisap berasap
Hembus berkepul
Wangi meresap
Bibir menyimpul

Mendabik dada
Bak Obama
Mewah dipuja
Sengkek dinista

Hisap berasap
Hembus berkepul
Asap diusap
Bara terkumpul

Sakit bertandang
Ringgit melayang
Kawan menghilang
Nafas terhalang
Asap berbilang
Maut terbayang

Hisap berasap
Hembus berkepul
Jasap berkasap
Batin menumpul

Kasih terbelah
Racun melapah
Tiada terpapah
Sendiri melatah
Sesal tak sudah
Tinggal sejarah

Padah ep. 2

Murid-murid kelas tahun 5 kenanga sibuk menelaah pelajaran yang diajar. Di hadapan kelas kelihatan cikgu Syukri bersungguh-sungguh memberi penerangan agar apa yang diajar dapatkan diterima oleh murid-muridnya. Di tengah kesibukan sesi pembelajaran itu di luar kelas pula kelihatan Bun bersama kawannya Mail sedang bermain basikal sambil bergurau senda.

“Kau ni bisinglah, Bun. Orang tengah belajar tu.” Kata Mail.

“Alah, buang saja belajar. Buat apa belajar tu? Bukan dapat apa pun. Main lagi seronok. “ Bun dan Mail ketawa serentak.

“Mail! Bun! Masuk kelas!! Asyik main saja. Berapa kali cikgu nak cakap.” Tiba-tiba terdengar pekikan dari cikgu Is merangkap guru disiplin sekolah. Entah dari mana pula datangnya mengejutkan Mail dan Bun yang sedang bergelak ketawa. Cepat-cepat mereka meninggalkan tempat tersebut, tetapi bukan pergi ke kelas sebaliknya menyimpang entah ke mana-mana yang mereka suka.

Begitulah kerenah mereka setiap hari. Bagi mereka datang ke sekolah bukan untuk belajar tetapi untuk suka-suka. Setiap hari mereka akan pergi ke sekolah tetapi tidak pula mahu mengikuti sesi pembelajaran. Puas guru-guru menasihati, menegur dan memarahi mereka tetapi semuanya bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Ibu bapa juga sudah dipanggil tetapi perangai mereka semakin menjadi-jadi. Setiap kali ujian dan peperiksaan mereka pasti mendapat keputusan yang teruk dan ibu bapa mereka pasti akan dipanggil. Disebabkan kegagalan mereka setiap kali ujian atau peperiksaan, mereka diturunkan kelas daripada kelas darjah 5 kepada kelas darjah 1 dan 2.Bun ditempatkan dikelas tahun 1 manakala Mail pula di kelas tahun 2. Mungkin disebabkan otak Mail lebih bergeliga daripada otak Bun agaknya. Keadaan ini membuatkan ibu bapa Bun dan Mail malu. Apalagi bila cerita Bun dan Mail diturunkan kelas menjadi bualan terhangat pada masa itu.

“Mail, kalau dah tak nak belajar berhenti sajalah. Jangan nak menyusahkan aku.” Satu hari ayah Mail bersuara pada Mail. Mail hanya mendiamkan diri.

“Dah banyak kali cikgu panggil aku ke sekolah. Kalau berita baik tak apalah juga. Ini semua yang tak elok. Sakit telinga dengar orang dah mula bercakap. Aku ni tak pandai jaga anaklah..itulah inilah..pergi sekolah tu pun kena pakai duit. Aku ni bukan orang kaya.”

“Mulut orang, kita tak boleh tutup, bang,” ibu Mail menyampuk.

“Kau pun sama. Tak reti nak jaga anak. Duduk rumah anak terbiar. Jangankan si Mail, Nurul tu pun dah pandai nak warnakan rambut. Nasib baiklah sekolah dia pandai. Selalu dapat nombor satu.”

“Amboi! Kita pula yang disalahkannya. Dahlah saya nak masuk tidur. Mengantuk.”

“Hah, tengoklah cakap sikit nak tidurlah, makanlah, apalah..nak mengelaklah tu. Bukan aku tak tau.”

“Kau Mail esok tak payah pergi sekolah. Buang masa saja sekolah kalau dah tak minat belajar. Duduk rumah.”

Mail hanya diam lalu masuk ke biliknya. Pada ketika itu kedengaran pintu rumah diketuk. Cepat-cepat ayah Mail membuka pintu. Kelihatan Nurul dengan rambut perangnya berdiri di depan pintu. Bila melihat ayahnya yang panas baran di hadapannya, cepat-cepat Nurul masuk ke dalam. Dia tidak mahu disoal siasat bagaikan pesalah di penjara.

“Hah, ni lagi satu. Dah malam-malam buta baru nak balik. Rambut dah macam tupai. Warna sana..warna sini.”

“Dah tahu malam buta tak tidur lagi kenapa?,” suara Nurul seakan berbisik memperli ayahnya.

“Amboi! Apa kau kata, Nurul? Kau nak melawan aku?.”

Nurul cepat-cepat masuk ke biliknya. Takut nanti tak pasal-pasal kena penampar ayahnya pula. Sebenarnya malam itu Mail cukup bernasib baik kerana kebiasaannya bila ayahnya marah pasti disertakan dengan tali pinggang dan sepak terajang .

*************

Bersambung...

Hitam

Syeeda semakin tertekan. Dengan keadaan perutnya yang semakin membesar. Sudah acapkali dia berfikir, mengapa dia perlu mengandung dan melahirkan benih itu. Yang kemudiannya terpaksa dibesarkannya sendiri. Mengapa ini semua harus terjadi kepadanya.

Syeeda, baru sahaja menjejak usia 14 tahun melalui alam remaja seperti remaja yang lain. Pergi ke sekolah seperti biasa, kemudian habis sekolah pulang ke rumah. Petang beriadah bersama rakan-rakannya dan kadangkala berjumpa di pusat membeli-belah untuk menghilangkan tekanan belajar.

Entah apa malangnya nasib Syeeda, malam itu setelah selesai mandi, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk dari luar. Pada malam itu ayahnya sedang bertugas di luar daerah memungkinkannya untuk tidak pulang awal ke rumah. Bermakna hanya Syeeda dan ibunya sahaja berada di rumah ketika itu.

Tanpa berfikir panjang Syeeda terus sahaja membuka pintu. Sebaik sahaja tombol pintu dipusing, daun pintu terus ditolak dengan kuat dari luar membuatkan Syeeda terdorong ke belakang dan membuatnya terjatuh. Serentak dengan itu dua orang yang memakai topeng menyerbu masuk ke dalam rumah. Salah seorang dari mereka mengarahkan Syeeda menutup dan mengunci semula pintu dengan mengacukan muncung senapang di kepala Syeeda.

Ibu Syeeda yang baru selesai solat Isyak bergegas ke depan rumah sebaik terdengar bunyi bising. Sebaik tiba, salah seorang lelaki bertopeng tadi mengacukan muncung senapang ke arahnya. Keadaan itu membuatkan ibu Syeeda menggigil ketakutan. Ibu syeeda dapat menduga orang-orang bertopeng itu adalah perompak, kerana tidak lama selepas itu mereka mengarahkan ibu Syeeda mengeluarkan semua barang-barang berharga.

Ibu Syeeda hanya mengikuti arahan dua orang perompak itu. Dia terus membawa mereka ke biliknya dengan diikuti oleh Syeeda yang sudah terikat tangannya ke belakang. Ibu Syeeda berharap selepas dia menyerahkan apa yang perompak itu inginkan mereka akan segera beredar. Sangkaannya meleset apabila dia kemudiannya turut diikat dengan kemas di tiang katil.

Dan di situlah berlakunya peristiwa hitam dalam hidup Syeeda. Dalam keadaan masih terikat Syeeda ditolak ke atas katil, dibogelkan dan dirogol bergilir-gilir oleh dua perompak itu. Malam itu Syeeda dijadikan tempat kedua orang perompak itu melampiaskan nafsu serakah mereka. Syeeda diperkosa di hadapan mata ibunya sendiri sehingga tidak bermaya. Setelah puas barulah dua perompak itu beredar dengan membawa barang-barang berharga yang terdapat di dalam rumah itu. Ibu Syeeda hanya mampu menangis sambil cuba melepaskan diri dari ikatan yang membelenggunya tetapi gagal. Sehinggalah ayah Syeeda pulang, Syeeda masih lagi terbaring lemah di atas katil. Keadaan itu membuatkan ayahnya terkejut. Ibu Syeeda menceritakan semuanya setelah suaminya membuka ikatan yang membelenggunya dan menyelimuti tubuh Syeeda yang terdedah.

Apa yang lebih menyayat hati, kerana malu ibu bapa syeeda tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib. Sebaliknya Syeeda diberhentikan sekolah oleh ayahnya dan hanya terperap di rumah sahaja dengan kandungannya yang semakin memboyot ke hadapan. Sudah enam bulan Syeeda tidak ke luar rumah. Tidak berjumpa kawan-kawannya. Dia pasti akan mengelak bila ada kawan-kawan yang datang mencarinya di rumah.

Akhirnya, setelah Sembilan bulan Syeeda mengandungkan benih perompak itu, Syeeda selamat melahirkan sepasang kembar perempuan. Tetapi bagi Syeeda itu bukanlah berita gembira buatnya malah menambahkan lagi tekanan yang sedia ada. Sedikit pun dia tidak mahu memandang kembar itu apatah lagi untuk menyusukannya. Dia sangat benci pada anak yang dilahirkannya itu sama seperti kebenciannya terhadap perompak yang bertanggungjawab menanam benih itu di dalam rahimnya.

Sudah sebulan Syeeda keluar dari hospital, sekali pun dia tidak pernah mempedulikan anak kembarnya itu. Semuanya dilakukan oleh ibu Syeeda. Dari memandikan sehinggalah menidurkan pasangan bayi kembar yang tidak berdosa itu dilakukan oleh ibunya. Syeeda pula semakin tidak terurus. Jiwanya semakin tertekan memikirkan masa depannya yang hancur. Ibu bapanya pula sepertinya lebih memberi perhatian kepada pasangan kembar itu daripada dirinya. Syeeda semakin merasa dirinya disisihkan.

Sampai di satu tahap, keadaan Syeeda menjadi semakin teruk. Fikirannya semakin sarat dengan masalah yang sepertinya bertimpa-timpa. Syeeda merasakan kepalanya bagaikan hendak pecah. Syeeda seperti hilang kawalan diri. Syeeda yang duduk terperuk di tepi dinding bagaikan takut dengan bayang-bayangnya sendiri mula menghantukkan kepalanya ke dinding sambil menangis. Semakin lama hantukkannya semakin kuat. Bunyi hantukan berselang seli dengan bunyi tangisannya. Darah mula mengalir dari kepalanya. Syeeda mula merasakan dirinya seperti diawang-awangan, kemudian pandangannya berpinar-pinar. Akhirnya, dunia Syeeda menjadi gelap segelap-gelapnya.