Monday 12 December 2016

Padah(Penutup)

Sebenarnya kisah yang aku beri judul Padah ini adalah aku inspirasikan dari kisah sebenar. Di mana kisah ini berlatar belakangkan sekitar tahun 90-an hingga 2015.

Di mana kisahnya bermula dari seorang ibu yang terlalu sayangkan anak sehingga anak-anaknya membesar dengan kebebasan tanpa ada kongkongan. Dan akhirnya mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan dalam kehidupan seharian mereka tetapi masih dianggap betul.

Dan akhirnya, satu-persatu dari mereka menerima balasannya ataupun lebih dikenali sebagai karma. Ataupun hendak lebih dramatik lagi ianya dikenali dengan nama kifarah.

Semoga kisah ini dapat memberikan pengajaran kepada mereka diluar sana yang masih bebas melakukan kesalahan tanpa memikirkan akibatnya. Setiap kesalahan pasti ada balasannya dan setiap kebaikan pasti ada ganjarannya. Hanya masa sahaja yang menentukannya.

Sekian terima kasih.

Padah ep.12(Akhir)

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan itu mengejutkan Jai yang sedang diulit mimpi bersama isterinya, Ida.

"Siapa pula yang datang tengah-tengah malam ni,"rungut Jai. Ida pula masih lagi belum membuka mata. Anak-anaknya juga masih tidur. Jai duduk di atas katil. Kemudian perlahan-lahan keluar dari biliknya.

"...kami diarahkan untuk menggeledah rumah ni, pak cik. Ni waran dari pihak kami,"seorang pegawai polis sedang bercakap dengan Pak Nas sambil menghulurkan sekeping kertas.

Jai yang terkejut dengan kehadiran pegawai polis itu cuba untuk meloloskan diri tetapi berjaya ditangkap oleh pegawai polis yang lain.

Malam itu seramai sepuluh orang pegawai polis diarahkan untuk menggeledah rumah PPRT milik Pak Nas. Hal itu kerana pihak polis mendapat aduan dari beberapa orang penduduk kampung yang mengatakan rumah itu menjadi tempat pengedaran dadah.

Akhirnya, hasil daripada siasatan yang dibuat, Simah, Jai, Ida, dan Anan terpaksa meringkuk di dalam penjara. Mai pula berjaya ditangkap di tempat kerjanya keesokan harinya.

Ramai orang kampung yang tidak menyangka dalam diam rupanya Ananlah yang menjadi dalang dalam pengedaran dadah di kampung itu dan Anan jugalah yang mempengaruhi Jai, Mai, Simah, dan Ida untuk mengikut jejak langkahnya dengan mengaburi mata mereka dengan wang.

Hanya Acu sahaja yang tidak mahu terlibat dengan aktiviti kotor Anan itu. Tinggallah Acu bersama suaminya membesarkan anak-anaknya dengan berniaga.

Pak Nas pula kerap berulang-alik ke hospital untuk rawatan penyakit tibinya. Kadang-kadang Pak Nas akan ditahan sehingga berhari-hari di hospital. Aculah yang selalu melawat ayahnya itu apabila ditahan di wad. Dan sekali-sekala Mamat juga datang menziarah.

Anak-anak Simah, Mai dan Jai pula masih lagi tinggal di rumah Pak Nas. Mungkin terpaksa membesar tanpa kasih sayang dari seorang ibu dan ayah.

Jai, Mai, Simah dan Ida yang meringkuk di dalam penjara, Mamat sudah sedaya upaya memohon untuk menjamin mereka. Menunggu proses sahaja.

~Tamat~

R.O.M.(Roh Orang Mati) - Rumah Sakit

"Morning."

Terdengar sapaan yang datangnya dari Timah. Timah baru sahaja sampai di lobi klinik onkologi. Sapaan itu ditujukan pada seorang nyonya yang duduk di kerusi paling hujung lobi klinik onkologi. Timah hanya membiarkan sahaja sapaannya tidak bersambut. Timah mengambil tempat duduk di belakang sekali.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, Timah kerap berulang alik ke rumah sakit. Kisahnya bermula apabila Timah disahkan menghidap kanser payudara tahap 3 dan akhirnya dia dinasihatkan doktor agar menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada payudaranya. Jika dibiarkan takut merebak ke organ badan yang lain. Selepas pembedahan Timah terpaksa pula menjalani rawatan kemoterapi yang menyebabkan rambutnya gugur dan badannya lemah. Tetapi rawatan itu terpaksa juga dilaluinya untuk mengelakkan sel kanser aktif semula. Setelah beberapa lama berehat dari rawatan kemoterapi Timah diarah pula untuk menjalani fisioterapi bagi menguatkan semula otot-otot selepas pembedahan. Setelah bermacam-macam jenis terapi dilaluinya, Timah terpaksa pula berulang alik ke rumah sakit untuk menjalani rawatan susulan yang berterusan dengan mengambil bekalan ubat setiap bulan.

Hari itu Timah datang awal ke hospital untuk rawatan susulan akibat kanser yang dihidapinya. Baru 2 orang pesakit yang datang iaitu nyonya itu dan dirinya sendiri.

Di bahagian kaunter pula masih kosong. Belum ada kelibat jururawat bertugas. Timah melihat jam pada telefon pintarnya.

"6.36 am. Huh! Awalnya lagi. Sarapan pun dah. Apa aku nak buat ni."

Sedang Timah bermonolog sendirian dia teringatkan nyonya tadi. Nyonya itu masih di situ. Perlahan-lahan Timah menghampiri nyonya itu lalu duduk selang dua kerusi darinya.

"Awal datang hari Nya,"Timah memulakan bicaranya. Sememangnya Timah seorang yang agak peramah. Siapa sahaja yang ada berdekatan dengannya tidak terlepas dari tegurannya.

Nyonya itu tidak memberi sebarang respon. Timah terus memerhatinya menunggu jawapan. Wajah nyonya itu agak berkedut mungkin faktor usia. Ditambah pula dengan bintik-bintik hitam di kulitnya membuktikan nyonya itu sudah agak berusia. Timah mengagak mungkin nyonya itu sudah menjangkau 80 tahun.

"Sakit apa 'Nya,"Timah masih mencuba untuk beramah mesra. Namun masih tidak diendahkan oleh nyonya yang memakai skirt oren lusuh dan blaus putih itu. Dia hanya melihat lurus ke hadapan dan tidak sesekali memandang wajah Timah.

Timah pasrah setelah melihat nyonya itu seperti tidak berminat untuk bercerita dengannya.

"Selamat pagi."

Kedengaran sapaan dari kaunter pesakit. Timah senyum senang bila melihat kehadiran jururawat bertugas. Tidaklah dia perlu menunggu lama lagi.

"Selamat pagi, nurse,"balas Timah ramah. Lalu dia meninggalkan nyonya yang masih lagi senyap dan menghampiri jururawat yang berada di kaunter. Timah melihat tanda nama jururawat itu. Murni.

Tidak pernah pula Timah berjumpa dengan jururawat bernama Murni selama dia menjalani rawatan di situ.

"Baru posting ker? Sebelum ni tak pernah nampak pun,"Timah meluahkan kemusykilannya.

"Dah lama dah kak saya kat sini. Saya kerja malam sampai siang. Kejap lagi nak baliklah ni,"jururawat itu menjawab sambil tersenyum manis. Senyuman yang sangat manis.

Timah sangat gembira dengan respon jururawat yang sangat peramah itu. Kekecewaannya pada layanan nyonya tadi terbalas. Timah dan jururawat itu terus berborak. Macam-macam yang mereka borakkan dari yang dalam kain perempuan hinggalah sampai kepada isu dalam dan luar negara. Isu kenaikan minyak, Trumph, Rohingya dan banyak lagi.

"Morning,"kedengaran suara perempuan menyapa di telinga Timah. Automatik pula Timah menjawab lalu menoleh ke arah datangnya suara itu.

"Morning."

"Awal hari ni kak,"jururawat yang baru sampai itu berbasa basi dengan Timah. Khadijah. Dialah jururawat yang selalu 'melayan' Timah apabila tiba temujanji.

"Ha'ah, tulah terawal pula hari ni,"Timah tersengih. Timah beralih semula kepada Murni. Tetapi Murni sudah tiada di tempatnya. Timah terus mencari-cari kelibat Murni.

"Nurse, mana nurse yang duduk kat sini tadi?,"Timah terus bertanya kepada Khadijah.

"Nurse mana?,"Soalan dijawab dengan persoalan. Berkerut dahi Khadijah dengan soalan Timah. Setahunya masa dia datang tadi dialah nurse pertama yang ada di situ. Pasti Timah pun dah terkena.

"Nurse yang nama Murni tu,"jawab Timah sambil mencari kelibat Murni.

Khadijah menarik nafas panjang lalu melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan dia membuka mulut.

"Kak, dia dah tak ada. Dah lama."

Jawapan itu membuatkan Timah keliru.

"Dia dah tak ada? Apa maksud kamu?,"Timah bertanya.

"Dia dah meninggal kak. Sebelum saya kerja kat sini lagi dia dah meninggal."

"Huh! Meninggal? Apa kau cakap ni. Aku jumpa dia kat sini tadi. Sembang macam-macam lagi sampai isu luar negara yang terbaru lagi,"Timah cuba menjelaskan pada Khadijah.

"Hah..tak percaya kau tanya nyonya tu," Timah lalu menunjukkan ke arah nyonya yang masih duduk di tempatnya.

"Betulkan 'Nya, Murni ada kat sini tadi?."

Nyonya tadi tetap tidak bersuara tetapi dia bangun perlahan-lahan dengan terbongkok-bongkok. Di situ barulah Timah perasan yang nyonya itu memakai alat bantu pendengaran yang terlekat ditelinganya.

'laa..pekak rupanya,'keluh Timah di dalam hati. Tetapi ada sesuatu yang membuatkan Timah melopong melihat nyonya itu. Nyonya itu terapung. Tidak kelihatan kakinya. Dan nyonya itu sempat menoleh memandang tepat ke arah Timah sebelum hilang menembusi dinding putih di sebelah tempatnya duduk tadi.

"Kak Timah! Kak Timah!,"Timah merasa bahunya digoncang berkali-kali. Khadijah sudah berdiri di sisinya.

"Kak dah kena main ni. Nyonya tu pun dah tak ada kak. Mati sebab sakit jantung. Dia mati atas kerusi tu lah."

"Habis..Murni..?,"Timah bertanya dengan suara berat.

"Entahlah kak. Saya pun dengar dari cerita orang. Kononnya, Murni ni dulu nurse yang paling rajin kat sini. Selalu tersenyum. Selalu layan patient. Masa tu dialah jururawat yang paling rapat dengan pesakit. Malangnya dia meninggal sebab kemalangan semasa dalam perjalanan ke sini,"cerita Khadijah panjang lebar.

"Assalamualaikum, Kak Timah,"seorang jururawat lagi baru sampai lalu mengeluarkan buku rekod pesakit.

"Maaflah, kak lambat sikit hari ni. Tiba-Tiba dapat call Khadijah kemalangan. Saya diminta ganti,"kata jururawat yang bernama siti itu.

Sekali lagi Timah ternganga dengan jawapan yang didengarinya sebentar tadi. Cepat dia menoleh di sisinya. Khadijah sudah tiada. Timah memandang ke arah tempat duduk lobi, sudah ramai pesakit yang sedang menunggu giliran.

Hati Timah jadi tidak tenang. Dalam keadaan yang sudah mula sibuk itu Timah cuba bertanya pada jururawat yang ada di situ.

"Nurse, Khadijah..,"suara Timah seakan tersekat di kerongkong untuk bertanya soalan itu. Nurse yang berada di hadapannya itu pula seakan faham.

"Dia dah tak ada, kak,"nurse itu menjawab perlahan. Jelas terlihat kesedihan di raut wajahnya.

"Dia meninggal masa dalam perjalanan ke hospital tadi."

Nafas Timah merasa berat. Dia seakan sukar menerima apa yang berlaku sebentar tadi. Adakah 'mereka' semua itu roh orang-orang yang telah tiada...ataupun mainan syaitan semata. Dia pun tidak pasti.

Perlahan-lahan Timah membaca surah Al Fatihah untuk disedekahkan pada arwah. Tidak sangka pula Khadijah..arwah Khadijah, menerima nasib yang sama seperti Murni. Semoga mereka yang telah pergi tenang hendaknya di sana.

~Tamat~















Thursday 17 November 2016

Padah ep. 11

Kini Ramadhan telah tiba. Semua orang-orang Islam akan berpuasa selama sebulan. Begitu juga dengan penduduk Kampung Semarak. Ramadahan yang ke tujuh, Mak Ca datang berkunjung ke rumah Jali. Hajatnya hanyalah untuk menhulurkan sedikit juadah berbuka tanda sedekah di bulan baik itu.

“Assalamualaikum, Jali..oh..Jali,” jerit Mak Ca dari bawah rumah Jali.

“Waalaikummussalam, eh Mak Ca..naiklah,”Yana, anak Jali menyambut Mak Ca di muka pintu.

“Ayah kau mana, Yana?,”Tanya Mak Ca.

“Ayah belum balik lagi. Pergi kebun dengan mak.”

“Nah, ni ada juadah sikit. Nanti waktu berbuka makanlah,” beritahu Mak Ca.

“Amboi, Mak Ca. Susah-susah saja. Terima kasih Mak Ca.”

“Yelah, Mak Ca balik dululah.”

“Tak naik dulu Mak Ca?,”

“Tak payah. Mak Ca ada kerja lagi kat rumah tu.” Mak Ca pun berlalu meninggalkan Yana yang mengintai bekas makanan untuk melihat apa juadah yang diberikan oleh Mak Ca.

*************

‘Bila pula aku masak lemak pucuk ubi ni?,’ Bisik ibu Yana. Petang itu tidak ada dia melihat Yan menolongnya memasak. Habis dari mana pula datangnya juadah yang satu ini. Nampak sedap dan menyelerakan. Hal itu membuatkan Mak Yana tertelan air liurnya sendiri.’Astaghfirullahaladzim’. Cepat-cepat Mak Yana mengucap mengelak bagi mengawal nafsu laparnya.

“Mak, tu Mak Ca bagi tadi,” beritahu Yana yang melihat ibunya yang lams merenung juadah pemberian Mak Ca.

“Mak Ca bagi?,” tiba-tiba ayahnya, Jali yang duduk di anjung rumah menyampuk. Kuat pula deria pendengarannya sehingga perbualan mereka yang berada di dapur pun boleh didengarinya.

“Ya, ayah.”balas Yana.

“Jangan makanlah. Pergi buang,”kata Jali lagi.

“Ayah ni dah kenapa pula. Sedap tu masak lemak pucuk ubi.”

“Jangan nak temberang. Macam aku tak tau kau kalau makan memang ketinggalan. Nafsu saja lebih tu. Berbuka makan kuih separuh pun tak habis,” sindir ayahnya.

“Bukan ayah tak nak, tapi kau tak ingat dulu masa Simah masih tinggal dengan laki dia,” tambah Jali lagi. Sempat juga Jali mengerling sekeliling rumahnya, manalah tahu Mak Ca tiba-tiba terpacul di depan matanya.

“Apa pula kena mengenanya dengan kak Simah, Ayah?,” Yana menghampiri ayahnya.

“Tanyalah mak kau tu,” jawab Jali seolah meminta isterinya untuk menerangkan pada Yana perkara sebenar.

“Ish, kita pula.erhm…,”Mak Yana yang mengikut jejak Yana menjeling suaminya.

“Yana ingat dulu kan Simah masa dia masih tinggal dengan laki dia, selalu telefon rumah kita kalau nak bercakap dengan Mak Ca. Yalah rumah Mak Ca kan tiada lagi talian masa tu,”Yana mengangguk setuju dengan kata emaknnya.

“Masa Mak Ca bercakap dengan Simah kat telefon tu mak ada dengar.Yang Mak Ca suruh Simah letakkan benda kotor kat makanan laki dia,”terang Mak Yana dengan suara yang agak perlahan. Takut pula ada telinga yang mendengar.

“Jadi?,” Yana seolah-olah tidak memahami akan maksud cerita ibunya. Apa pula kena mengena dengan masak lemak pucuk ubi yang sedap tu.

“Jadi tak mustahil kalau Mak Ca kau tu buat benda yang sama. Entah-entah ada dia letak kat lemak pucuk ubi tu. Mana kita tahu. Kenalah berhati-hati sebelum terkena,” jawab Jali.

“Eee..ayah ni..yelah Yana buang. Eh tak. Bagi cik yam makan,”kata Yana sambil berlalu.

“Siapa pula cik yam ni?,” tanya Jali.

“Ayam la tu,” jawab isterinya bersahaja. Jali menggeleng-gelengkan kepala. Itulah perangai semulajadi Yana, haiwan pun diberikan nama. Yana akan meletakkan nama pada haiwan yang dipelihara dengan nama yang difikirkannya sesuai dengan haiwan tersebut.

‘Patutlah sampai bercerai berai. Main kotor rupanya. Dah laki dia pun asyik naik tangan saja mana tahan,’sambil berjalan ke reban di belakang rumahnya Yana bermonolog di dalam hati. ‘Untung kau cik yam dapat makan lemak pucuk ubi.’

************

Setelah sebulan berpuasa, Hari Raya Aidilfitri hari dinanti-nantikan pun tiba. Malam raya kelihatan bunga api berkelipan di udara menjadi percikan-percikan yang menghasilkan pelbagai bentuk yang menarik. Tidak tahu pula siapa yang melepaskan bunga api itu ke udara. Kedengaran juga bunyi meriam buluh bersahut-sahut seakan mengajak berperang pula bunyinya. Dalam kemeriahan malam itu, tidak ketinggalan bunyi takbir yang silih berganti di surau-surau kampung bersebelahan.

‘Allahhu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar,’

‘Lailahailallahu Wallahu Akhbar,’

‘Allahu Akhbar Wa Lillahilhamdu.’

Di halaman rumah Mak Ca kelihatan kelibat Am dan Jai yang sedang menyiapkan rendang ayam kawah dan lemang untuk juadah di pagi raya esok. Am sempat meminta seikat serai dari Jali. Di kawasan rumah Jali memang di tanam dengan bahan masakan seperti halia, kunyit, cekur, serai dan lada. Semua itu ditanam oleh Mak Yana. Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa Mak Yana akan berkebun jika ada masa terluang. Untuk kesihatan katanya.

Di rumah Jali pula sibuk menyusun kuih-muih ke dalam bekas. Memang setiap kali Hari Raya menjelang Jali tidak suka berlebih-lebihan. Dia lebih suka menyediakan persiapan ala kadar sahaja kerana baginya Hari Raya hanya untuk sehari sahaja. Esoknya bekerja semula dan akan menjalankan rutin seperti biasa. Orang kaya sahaja rayanya sampai sebulan.
Keesokan harinya, selepas sembahyang raya kedengaran suara orang memberi salam di halaman rumah Jali.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikummussalam, hah, Am naiklah. Kamulah orang pertama yang beraya ke rumah aku ni,” seloroh Jali. Am tidak datang seorang. Tetapi bersama seorang perempuan yang agak berisi dan seorang kanak-kanak perempuan sekitar umur dua tahun. Itulah isteri dan anak sulung Am. Selepas dibebaskan dari penjara, Am telah pun berhijrah membina hidup baru bersama perempuan yang pernah menjadi teman wanitanya semasa kejahilannya dahulu. Kini telah hampir tiga tahun usia perkahwinan mereka dan mereka telah pun mempunyai seorang anak.

“Wah, besar dah anak kau Am,” sapa Mak Yana setelah mempersilakan mereka duduk. ‘insaf juga budak Am ni. Syukurlah,’bisik Mak Yana dalam hati.

“Bang, saya sebenarnya nak minta maaf. Sebelum ni saya banyak buat salah. Saya ingat nak minta maaf dengan semua orang kampung,”beritahu Am pada Jali. Dari riak wajah Am, nampaknya dia telahpun menyedari dan menyesali akan kesilapannya dahulu.

“Kau tak buat salah apapun kat aku, Am. Kalau adapun aku dah lama maafkan. Aku tengok kau sekarang pun dah banyak berubah. Lagipun benda dah lepas, Am. Janganlah dikenangkan lagi. Jagalah isteri dengan anak kau elok-elok,” kata Jali memberi nasihat. Jali yakin Am sudah berubah. Dengan keadaan Am sekarang yang jauh berbeza daripada Am yang dulu. Sekarang Am sudah sering pergi ke surau, ke majlis-majlis kampung dan banyak juga membantu orang kampung.

**********

Am yang baru sahaja selesai membeli barang keperluan di pekan, berjalan perlahan ke tempat dia meletakkan motorsikalnya tadi. Perlahan-lahan dia menghidupkan enjin motorsikal Honda ‘secondhand’ itu.

“Betul ker kau ni dah bertaubat??,” tiba-tiba Am terdengar suara bergema di telinganya. Itu membuatkan Am agak terkejut.

“Siapa tu?,”spontan soalan itu terpacul dari mulut Am. Dia menoleh ke kiri ke kanan tetapi langsung tidak kelihatan kelibat seseorang. Am berfikiran mungkin hanya perasaannya sahaja.

“Tak payah nak tunjuk baik lah,”suara itu bergema lagi di gegendang telinganya. Sekali lagi Am tersentak. Kali ini dia betul-betul pasti dia mendengar suara itu.

“Hahahaha,”tiba-tiba suara itu ketawa terbahak-bahak.

“Siapa kau? Keluarlah,”dalam gementar Am bersuara.

“Dosa kau takkan diampunkan,”gema suara itu lagi.

“Kau tak ingat, apa yang kau dah buat dengan ayah kandung kau?,”

“Hei, kau siapa hah?,”Am semakin tidak keruan. Dia mula terbayang bagaimana ayahnya teruk dibelasah olehnya suatu ketika dahulu. Rasa bersalah pada ayahnya tiba-tiba datang tanpa diundang.

“Kau tak ingat berapa ramai perempuan yang kau dah rampas mahkotanya?,” suara itu semakin lantang di gegendang telinganya. Am cuba menutup telinganya. Tapi suara itu tetap kedengaran.

“Hahahaha,”ketawa suara itu. Memang zaman bujang Am dipenuhi dengan maksiat. Dia sering bertukar perempuan yang dikenali dari kelab-kelab malam. Dia akan membawa perempuan yang baru dikenalinya tidur di mana-mana sahaja demi melunaskan nafsunya serakahnya. Sebab itulah dia jarang pulang ke rumah. Jai, abangnya sendiri yang mengajarnya berbuat demikian. Katanya untuk membuktikan kelakian mereka.

“Dosa kau takkan diampunkan,”Am semakin takut. Dia mula berfikiran yang bukan-bukan. Mungkinkah itu suara malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menghukumnya. Am takut akan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Dan dia sebenarnya belum berkesempatan untuk memohon ampun kepada ayahnya. Mungkin disebabkan ayahnya terlalu sekejap berada di rumah dan terpaksa balik ke luar negeri untuk menjalankan tugas mencari rezeki.

“Hahaahaahhaa,”mendengar ketawa yang tidak putus-putus itu Am segera menekan pedal minyak. Motorsikal Honda miliknya meluncur laju di atas jalan raya. Setiap kenderaan yang ada di depannya semua dipintasnya. Suara itu masih bergema di gegendang telinganya. Setiap dosa yang pernah dilakukan oleh Am, bermain di kepalanya silih berganti. Badan Am berpeluh walaupun angin yang dihasilkan oleh kelajuan motorsikalnya cukup kuat untuk menyejukkan tubuhnya. Setelah sampai dipersimpangan kampungnya, tak semena-mena motorsikal Am hilang kawalan membuatkan Am tercampak di atas jalan raya. Am cuba bangun tetapi dia merasakan seluruh tubuhnya sakit dan tidak dapat bergerak. Tanpa disangka, sebuah lori tangki datang dengan laju di hadapannya. Sebelum lori itu melanggarnya Am sempat mendengar suara itu buat kali terakhir.
“Hahahaahhaaaha…manusia memang bodoh,”suara itu ketawa puas.

****************

Hari itu, lima bulan selepas raya, dan selepas lima tahun kematian Bun, Mak Ca dikejutkan lagi dengan satu berita yang tragis di mana Am telah ditimpa kemalangan. Am meninggal di tempat kejadian serta merta kerana kepalanya pecah. Otaknya berhambur di atas jalan raya. Pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu membersihkan kawasan jalan raya yang dipenuhi darah Am.

“Ya Allah!,” Mak Ca hampir pengsan ketika menerima berita itu. Itupun setelah orang kampung yang melihat kejadian itu datang ke rumahnya. Acu cuba menenangkan Mak Ca.

“Macamana boleh kemalangan?,”tanya Jai pada saksi yang melihat kemalangan itu.

“Aku cuma nampak Am bawa motorsikal lalu depan kedai tempat kami selalu lepak. Laju. Memang laju. Tiba-tiba jer aku dengar bunyi dentuman kuat. Am dah ada kat atas jalan. Terbaring. Tak sempat kami nak tolong dia, tiba-tiba satu lori tangki lalu, pijak kepala dia..ish..dahsyat,” tidak sanggup orang itu mengingat kembali apa yang dilihatnya. Sangat ngeri.

Ketika itulah Jai teringat akan peristiwa pergaduhan mereka dengan ayahnya dahulu. Mungkin inilah balasan untuk Am. Dia bila pula akan menerima balasan daripada Allah.’Mungkin inilah balasan Allah.’bisik Jai.

*************

Bersambung…

Padah ep. 10

“Kau ni Mai mengalahkan kak Simah kau. Dia baru sekali bercerai. Yang kau ni dah tiga kali kahwin cerai. Tapi anak seorang saja. Kau tak penat ker Mai asyik kahwin cerai saja. Mak ni yang penat tau,” Mak membebel di hadapan Mai ketika Mai balik bercuti ke kampung.

“Mak ni, dah sampai situ jodoh Mai nak buat macamana. Rezeki dapat anak seorang, syukurlah mak daripada langsung tak ada anak,”tingkah Mai.

“Mak ni bukan apa tak lama lagi nak mati dah. Mak nak juga tengok anak-anak mak bahagia macam anak orang lain.”

“Ish! Mak ni ada ke situ pula kisahnya. Bun pergi mana mak dari tadi tak Nampak batang hidung,” Mai sengaja bertanyakan tentang Bun supaya ibunya keluar dari topik tentang dirinya.

“Bun biasalah ikut ayah kau. Semenjak dua menjak ni selalu pula dia ikut ayah kau pergi kebun. Ayah kau pula dah selalu balik.” Sebenarnya seminggu selepas Bun mengajak Adi menghisap dadah hari itu, adi sudah tidak boleh bertemu dengannya lagi kerana dikawal ketat oleh Jali. Jali mendapat tahu Adi belajar menghisap dadah dari kawan Bun sendiri. Sejak itu Jali tidak membenarkan Adi keluar rumah apalagi untuk bertemu dengan Bun.Jali memberi amaran kepada Adi jika dia masih juga bergaul dengan Bun dan kawan-kawannya, dia sendiri yang akan menyerahkan Adi kepada pihak berkuasa. Kerana takut dengan amaran tersebut Adi akur dengan perintah ayahnya.

“Pandai pula dia rapat dengan ayah. Pelik. Selalu tengok ayah pun tak nak,” kata Mai.

“Adik kau Bun tu dah banyak berubah. Tak macam dulu. Dah selalu ada kat rumah. Esok dia kata nak pergi tengok air terjun kat hujung kampung. Mai nak ikut?,” Mak Ca teringat yang Bun memberitahunya ingin pergi ke sungai terjun pada keesokan hari.

“Boleh juga. Mai pun dah lama tak pergi tengok air terjun.”

Keesokan harinya seperti yang dirancang Bun, Mai dan beberapa budak-budak remaja kampung Semarak berangkat ke kawasan air terjun yang di hajati dengan menaiki kereta. Kemudian mereka berjalan kaki pula sejauh 250m dengan melalui jalan denai untuk sampai ke kawasan air terjun. Sesampainya di air terjun mereka pun bersuka ria. Yang perempuan termasuklah Mai menyediakan juadah untuk menjamu selera. Yang lelaki pula ada yang menyelam, berenang kuak kupu-kupu, ada pula yang menyalakan unggun untuk menghalau nyamuk.

Tiba-tiba Mai mendapati adiknya Bun tiada di situ. Dengan senyap-senyap Mai meninggalkan kawannya yang lain dan meninjau-ninjau kelibat adiknya. Dia ternampak sesuatu di sebalik batu. Kepala Bun yang sedang tertunduk-tunduk melakukakn sesuatu. Mai terus pergi ke tempat Bun. Sebaik sahaja Mai mendekati Bun, Mai terperanjat melihat di tangan Bun adalah sebotol racun. Dia pasti itu adalah racun rumput yang selalu digunakan oleh ayahnya untuk menyembur dan mematikan rumput di halaman rumah. Dia melihat Bun hendak menuangkan racun tersebut ke dalam mulutnya. Mai cepat-cepat menepis tangan Bun dan merampas botol racun tersebut lalu menghumbaankannya ke dalam sungai. Botol tersebut kelihatan tenggelam timbul dibawa arus sungai.

“Apa kau Buat ni, Bun? Kau nak bunuh diri?,” Mai bersuara dengan marahnya. Bun terkejut melihat kakaknya ada di situ dan kemudian melompat keluar dari balik batu lalu meninggalkan kakaknya yang masih terkebil-kebil.

“Mai, kau pergi mana. Dari tadi aku cari kau. Jom makan,” kawan Mai datang dari belakang. Mai lalu mengikut kawannya pergi ke tempat juadah telah tersedia. Sepanjang masa Mai memerhatikan tingkah laku Bun. Selepas makan Mai terus mengajak kawan-kawannya dan yang lain untuk balik kerana tidak sedap hati. Sepanjang perjalanan Bun hanya mendiamkan diri sehinggalah sampai ke rumahnya dia tidak berkata sepatahpun pada Mai. Sesampainya di rumah Bun terus pergi ke pondok Udin. Mai pula terus naik ke rumah dan ternyata tidak ada sesiapa ketika itu. Mai terus pergi ke bilik air untuk membersihkan diri. Di fikiran masih bermain peristiwa yang berlaku di depan matanya tadi. Apa yang ingin dilakukan oleh Bun menjadi persoalan di mindanya. Tapi Bun yang masih tercegat di depan pondok Udin melihat Udin yang sedang berbaring memandangnya tidak berkedip. Bun terus menghampiri Udin dan duduk di sebelah Udin.

“Udin, aku datang nak minta maaf dengan kau,”Bun mula meluahkan isi hatinya kepada Udin. Udin hanya mendiamkan diri. Kedengaran bunyi nafas Udin turun naik. Tetapi Bun tidak mempedulikannya dan terus bercakap.

“Aku harap kau maafkanlah abang-abang dan kakak-kakak aku juga. Selama ni tak pernah pun pedulikan kau. Sedangkan kau tak pernah buat jahat pun. Kau ikut saja apa mak suruh. Maafkan kami Udin. Sebenarnya aku kecewa dengan keluarga aku Udin. Semuanya hancur. Tak macam keluarga orang lain,” Bun mula menangis teresak-esak. Bunyi nafas Udin tidak lagi kedengaran. Bun mula perasan yang dari tadi Udin langsung tidak bercakap. Bun menoleh ke arah Udin yang terbaring kaku di belakangnya. Bun cuba menggerakkan Udin dan memanggil-manggil namanya.

“Udin!Udin!,”panggil Bun sambil menggoncangkan tubuh Udin yang terbujur kaku. Matanya sudah tertutup seperti sedang tidur. Udin tidak memberi sebarang tindak balas. Bun cuba memeriksa pernafasan Udin. Bun meletakkan tangan di hidung Udin. Tiada hembusan nafas. Perlahan-lahan Bun mendekatkan telinganya ke dada Udin. Tidak kedengaran bunyi degup jantung Udin. Bun seperti terkena renjatan elektrik terus bangun dan menjauhi Udin. Bun terus berlari ke rumah meninggalkan Udin yang kaku tidak bergerak.

“Mak!Mak!,”Bun menjerit memanggil Mak Ca sambil berlari-lari anak naik ke rumah.

“Kenapa, Bun,” tiba-tiba Mai menahan Bun. Bun tercungap-cungap di hadapan Mai.

“Udin…,”Bun tidak meneruskan kata-katanya. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Kenapa dengan Udin, Bun,” tanya Mai lagi.

“Udin dah meninggal,” kata Bun sambil menangis.

“Hah! Kau jangan main-main Bun,” kata Mai seperti tidak percaya. Bun terus menarik kakaknya ke pondok Udin. Mai terus memeriksa nadi Udin. Dari situ Mai mula percaya akan apa yang diberitahu Bun padanya.

“Bun, pergi panggil mak kat gerai. Bagitahu orang-orang kampung ,”Mai terus mengeluarkan arahan kepada Bun. Dan Bun terus melakukannya dengan tergesa-gesa. Sebenarnya dalam diam Bun takut jika kematian Udin berpunca daripadanya. Hal itu kerana, Udin menghembuskan nafas terakhir ketika Bun berada bersama Udin. Dia takut kalau dia yang dituduh membunuh Udin. Lebih setengah jam kemudian orang-orang kampung mula berkumpul di kawasan rumah Mak Ca untuk menguruskan jenazah Udin. begitu juga dengan Jali. Segalanya berjalan lancar dari memandikan, mengkapankan , menyembahyangkan sehinggalah mengkebumikan jenazah Udin, segalakanya dilakukan dengan mudah. Kini Jenazah Udin sudah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Semarak. Semoga roh Allahyarham bersemadi dengan aman di sana.

*************

Sudah sebulan pemergian Udin menemui seruan ilahi. Keadaan Bun semakin bercelaru. Kadang-kadang keadaannya seperti orang kurang waras. Bun sering melakukan perkara-perkara bodoh seperti cubaan untuk membunuh diri tetapi gagal. Bila dibawa ke hospital, doktor hanya mengatakan fikiran Bun mungkin terganggu dan dia perlukan rehat yang cukup serta elakkan tekanan.

Pernah sekali ketika orang sedang sibuk menguruskan kenduri di sebuah rumah penduduk kampung, tiba-tiba Bun berlari tanpa memakai selipar lalu terus terjun ke dalam sungai. Sungai ketika itu dalamnya boleh meneggelamkan seorang dewasa kerana baru lepas musim hujan. Mujurlah ada penduduk kampung ternampak Bun yang terkapai-kapai di permukaan sungai dan penduduk kampung tersebut sempat bertindak menyelamatkan Bun. Banyak suara-suara sumbang mula bercakap tentang Bun.

Kononnya, Bun jadi begitu kerana terlebih makan dadah. Ada juga yang mengatakan itu semua balasan Allah akibat derhaka pada ayahnya dulu dan macam-macam lagi persepsi orang kampung yang tidak sedap di dengar. Sehinggalah beberapa bulan selepas dari peristiwa Bun terjun ke dalam sungai, Bun telah melakukan sesuatu yang sangat mengejutkan keluarganya dan penduduk kampung.

“Bun! Bun!,”Mamat, anak angkat Mak Ca memekik diluar pintu bilik Bun. Mamat baru dua hari balik dari latihan tentera di luar negeri.

“Bun!, bangun. Buka pintu ni,”Jai pula berteriak sambil mengetuk pintu bilik Bun. Setelah keluar daripada penjara Jai telahpun mendirikan rumahtangga bersama Ida dan telahpun melahirkan seorang anak luar nikah. Berkali-kali pintu bilik diketuk, tetapi tidak ada jawapan dari Bun. Mak Ca mula risau. Jam dinding sudah menunjukkan jam 10 pagi. Bun tidak pernah bangun selewat itu. Pintu biliknya pula berkunci dari dalam.

“Bun!,” sekali lagi Mamat yang berbadan sasa mengetuk pintu bilik Bun dengan kuat. Mai, Simah, dan Acu yang juga berada di luar bilik Bun ketika itu sudah mula risau. Apalagi Mai yang tahu akan apa yang pernah ingin dilakukan oleh Bun dahulu. Mai mula berfikir yang bukan-bukan. Dan mula menangis. Kerana keadaan itu, akhirnya Mamat mengambil keputusan memecahkan pintu bilik Bun. Dua kali Mamat menghentak pintu bilik Bun dengan badannya, pintu terbelah dua. Belum sempat Mamat melihat apa yang ada di depannya, kedengaran teriakan Mak Ca dan Acu dari belakangnya.

“Aaaarrgh! Bun! Ya Allah!,” teriak Mak Ca lagi. Mamat melihat di hadapannya. Dia melihat sepasang kaki yang tergantung. Mamat lalu mendongak ke atas. Bun yang sudah menjadi mayat tergantung di tali yang di ikat pada tulang rumah. Mamat terundur ke belakang kerana terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Astaghfirullahaladzim!,” Mamat mengucap panjang. Jai dan Ida juga masih terpinga-pinga tidak percaya dengan apa yang mereka lihat di depan mata.

Setelah berfikir sejenak Mamat memberitahu Mak Ca yang masih terduduk dilantai,”Mak, kita kena bagitahu Polis. Biar mereka siasat.” Mak Ca hanya mengangguk lemah. Bersetuju dengan apa saja yang akan dilakukan.

Hari itu sekali lagi kawasan rumah Mak Ca dipenuhi dengan sekumpulan anggota polis, dan orang-orang kampung. Tidak kurang yang hanya datang menjenguk semata-mata untuk mengorek cerita. Dari situ mulalah tersebar gossip-gosip liar mengatakan Bun sebenarnya bukan membunuh diri tapi mati dibunuh dan bermacam-macam lagi tohmahan buruk yang berlegar di kampung Semarak bahkan telah sampai ke kampung bersebelahan.

Akhirnya, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut kerana membunuh diri. Pihak polis tidak menemui sebarang bukti untuk mengaitkan kes ini sebagai kes jenayah. Tidak siapa pun mengetahui apa punca sebenar Bun nekad membunuh diri.

*************

Malam itu, Bun gembira sekali kerana semua adik-beradiknya ada berkumpul di rumahnya. Tidak pernah dia segembira seperti malam itu. Bun juga sempat bergurau senda bersama mereka.

“Acu, nanti kalau aku dah tiada kau jaga mak baik-baik. Jangan tinggal mak sorang-sorang,” tiba-tiba Bun bersuara kepada adiknya Acu. Seolah-olah meninggalkan wasiat pula lagaknya.

“Eh, kenapa pula kau cakap macam tu. Kau nak pergi mana pulak?,” kata Acu yang mula merasa tidak sedap hati.

“Entah Bun ni, tiba-tiba cakap yang bukan-bukan..Am dengan Jai pun dah balik. Mamat pun dah balik. Kau pulak yang macam nak keluar dari rumah ni. Kau nak pergi mana? Kahwin lari?,” jerkah kakaknya, Simah. Mereka ketawa serentak.

“Tak adalah. Kan tinggal Acu saja yang belum kahwin. Jadi masa dia dengan mak tu lagi banyak. Apa pulak Bun nak kahwin lari,” kata Bun bersahaja.

“Habis yang kau tu dah kahwinlah sangat,”bidas Simah lagi.

“Dahlah Bun dah ngantuk,” Bun bangun lalu bersalaman cium tangan dengan semua adik beradiknya. Sebelum ini tidak pernah pula dia begitu baik untuk bersalaman dengan keluarganya. Bun juga sempat meminta ampun dan maaf pada mereka termasuklah ibu bapanya. Lalu Bun terus masuk ke biliknya.

Di dalam biliknya, Bun seakan-akan berada di dalam dunianya sendiri. Kisah silamnya mula terbayang-bayang di mata. Kawan lamanya, Mail muncul dalam ingatannya bersilih ganti dengan kawan-kawan samsengnya yang lain. Segala kesalahan yang pernah dilakukannya pada keluarganya bermain di fikirannya. Dalam kegelapan malam yang hanya diterangi dengan sedikit cahaya dari lampu mentol berwarna kuning yang dibuatnya sendiri tiba-tiba satu suara menyapanya.

“Hai, Bun!!,” Bun terkejut dan menggelabah. Suara itu datang lagi. Bun sendiri tidak tahu siapa pemilik sebenar suara ghaib itu. Suara ghaib itu tiba-tiba sahaja muncul dalam hidupnya dan menyuruhnya melakukan perkara yang bukan-bukan. Dulu, dia terjun ke dalam sungai yang dalam adalah atas arahan suara itu. Bun hendak meminum racun semasa berada di sungai terjun itu juga atas arahan suara ghaib itu. Bun sendiri keliru setiap kali suara ghaib itu datang hatinya akan berdebar-debar dan anggota badannya seakan tidak mampu melawan arahan itu walaupun otaknya berkata tidak.

“Bun, apalagi kau tunggu Bun..,”sekali lagi suara itu bergema di dalam bilik Bun. Bun cuba menutup telinganya tetapi tetap juga kedengaran. Suara itu ketawa berdekah-dekah.

“Hahahaha…,”

“Kau dah tiada siapa lagi dalam dunia ni, Bun,”

“Apa kau nak??,”teriak Bun sambil menutup telinganya. Dunia Bun seakan terhuyung hayang. Dia masih mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Tetapi pemilik suara itu seakan tidak mahu menampakkan dirinya.

“Aku cuma nak tolong kau,” kata suara itu lembut. Tetapi ada ketawa di hujungnya. Itu membuatkan Bun menjadi takut dan gelisah.

“Aku tak perlu pertolongan kau. Aku..aku tak kenal kau,” jerit Bun lagi. Keluarganya di ruang tamu seakan tidak mendengar jeritan Bun. Mereka masih lagi bergelak ketawa sambil menonton siaran televisyen.

“Kau perlu Bun..sebab kau tak bahagia..kau dah bunuh Udin..keluarga kau tak sayangkan kau.”

“Tidak, aku tak bunuh Udin. Dia mati sebab sakit. Aku tak bunuh dia. Aku tak bunuh dia..hahaha..,”Bun tiba-tiba ketawa.

“Kau sengaja nak perangkap aku kan?,” Bun menjerkah suara itu. Tetapi suara itu senyap.

“Aku tak bunuh dia..aku..aku..ya..aku bunuh dia..aku bunuh Udin..,”perwatakan Bun bertukar pula pada orang yang sedang bersedih. Bun menangis pada sesuatu yang tidak jelas di fikirannya.

“Hahahaha,” tiba-tiba suara itu ketawa.

“Akhirnya kau mengaku juga. Kalau kau ikut perintah aku, kau akan hidup bahagia di syurga, hahaha,” gema suara itu.

“Tolong aku,” kata Bun seakan-akan merayu pada suara itu.

“Kau nak aku tolong kau pulak, tadi kau kata kau tak perlukan pertolongan aku. Lagipun kau tak kenal aku..hahahah..,”jawab suara itu.

“Tak..kau kena tolong aku. Aku akan ikut cakap kau,” kata Bun semakin gelisah. Entah apa yang membuatkan dia gelisah dia sendiri pun tidak tahu.

“Ha, macam ni kan senang. Betul kau nak aku tolong kau?,”

“Ya, cepatlah tolong aku,” jawab Bun yang sebenarnya masih keliru kenapa dia perlu meminta pertolongan pada suara ghaib itu.

“Senang saja kau nampak tali dekat tulang rumah kau tu?,” Bun mendongak ke atas dan kelihatan tali yang terikat kemas pada tulang rumah. Rumah Bun sememangnya tiadak dipasangkan syiling kerana keadaan keawangan yang tidak memberangsangkan. Dan tali itu pulak diikat sendiri oleh Bun ketika bermain tarzan-tarzan dengan abangnya ketika kecil. Tidak disangka pula tali itu masih terikat kemas di situ. Bun mengangguk pada suara itu.

“Aku nak kau pegang tali tu. Sebelum tu kau kunci pintu bilik kau ni dulu. Nanti ada pula orang ganggu kau.” Bun hanya mengikut arahan dari suara itu seolah-olah tidak mampu lagi bersuara. Bun seakan dipukau. Selepas mengunci pintu biliknya, Bun terus memanjat katil dua tingkat yang ada di biliknya untuk mencapai tali tersebut.

“Bagus, kau memang bijak Bun,” kata suara itu memuji Bun sebaik Bun Berjaya memegang tali tersebut.

“Sekarang ikatkan dekat leher kau,” Bun pun mengikatkan tali tersebut ke lehernya. Entah di mana silapnya setelah Bun bersusah payah mengikatkan tali itu di lehernya kakinya yang berpaut pada birai katil atas dua tingkat itu terlepas dari pautan. Sekelip mata badannya tergantung dengan keadaan tali yang masih terikat pada lehernya. Bun meronta-ronta. Tetapi semakin Bun meronta terasa semakin kuat pula cengkaman tali di lehernya. Sebelum Bun menghembuskan nafasnya yang terakhir dia sempat mendengar suara ghaib ketawa berdekah-dekah.

“HaaahaaaaHaaaaahaaaaa…”

“Manusia memang bodoh. Akulah syaitan. Aku akan terus menghasut mereka yang lemah. Itu janji aku pada anak-anak Adam.”

*************************

“Macam nil ah Mak Ca. Apa kata saya usulkan pada ketua kampung manalah tahu dia boleh menolong. Itupun kalau Mak Ca bersetuju,”cadang Jali pada Mak Ca yang masih kelihatan sugul.

“Yalah, Jali. Kau tolonglah buat apa yang patut. Aku mengikut sahaja. Aku dah tak tahu nak buat apa,”jawab Mak Ca lemah.

“Baiklah, Mak Ca saya pun dah lambat ni nak ke kebun. Matahari pun nak keluar tu. Nanti apa-apapun saya bagitahu Mak Ca.”

“Yelah. Terima kasih Jali,”Mak Ca berpatah balik ke rumahnya.

‘Eh orang tua ni, bukankah tadi nak ke gerai. Balik ke rumah pula. Erm..biarlah dah lambat ni,’ Jali sempat bermonolog sendiri sebelum menghidupkan motorsikal honda miliknya untuk pergi ke kebun.

Petang itu seperti yang dirancang jail berjumpa dengan ketua kampung, Pak Tam. Jali memberitahu masalah Mak Ca.

“Pak Tam saya datang ni ada hajat.”

“Apa hajatnya tu Jali. Kau ni tak payahlah nak formal sangat dengan aku. Ceritalah.”

“Mak ada mengadu kat saya. Pasal kubur arwah anaknya, Bun.”

“Kubur arwah tu..kenapa?.”

“Mak Ca kata dah masuk tiga kali dah runtuh. Timbus, runtuh lagi.”

“Eh, masalah rumit ni,”kata Pak Tam. Kelihatan Pak Tam diam sejenak mungkin sedang memikirkan akan jalan yang perlu di ambil untuk memuaskan hati semua pihak.

“Mari kita ke surau,”Pak Tam tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan mengajak Jali pergi ke surau. Walaupun hairan Jali mengikut sahaja Pak Tam dari belakang bagai lembu yang dicucuk hidung. Sesampai mereka di surau, Pak Tam berjumpa dengan imam kampung,Ustaz Din. Ustaz Din memang sentiasa berada di surau menguruskan hal jemaah surau Kampung Semarak.

“Assalamualaikum, Ustaz,” sapa Pak Tam sebaik ternampak kelibat ustaz Din.

“Walaimussalam Warahmatullah,”jawab Ustaz Din.

“Ustaz boleh kami bercakap dengan ustaz sekejap. Hal penting ni,” beritahu Pak Tam. Pak Tam member isyarat pada Jali supaya menjelaskan masalh Mak Ca kepada ustaz Din. Terpaksalah Jali mengulang tayang cerita yang diceritakn pada Pak Tam tadi kepada Ustaz Din pula.

“Masya’allah,”Ustaz Din bersuara perlahan sebaik mendengar cerita yang disampaikan oleh Jali. Lalu dia berfikir sejenak.

“Malam kita panggil semua orang kampung ke surau, adakan bacaan surah Yaasin dan Tahlil untuk arwah. Kita buat doa selamat sikit.Kita hanya berusaha selebihnya biarlah Allah yang menentukan,”beritahu Ustaz Din. Pak Tam dan Jali hanya menganggukkan kepala.

Sudah sebulan selepas bacaan Yaasin diadakan, tiada pula Mak Ca bercerita tentang keadaan kubur anaknya pada Jali. Jali pun tidak tahu samada masalh Mak ca sudah selesai ataupun belum. Segan pula Jali hendak bertanya. Mungkin juga Mak Ca sudah memberitahu imam kampung tentang keadaan kubur anaknya sekarang.

********************

Bersambung…