Wednesday 29 April 2015

Bukan Janjiku

Alhamdulillah Ya Allah. Aku bersyukur kepadamu dengan adanya Engkau aku masih bernafas dan berwujud hingga ke hari ini. Ya Allah Engkau telah memberikan peluang untukku merasa bahagia. Tanpamu pasti aku tidak akan merasa kesenangan seperti sekarang. Engkau telah berikn semula sinar mentari yang hamper pudar cahayanya. Terima kasih Ya Allah.

Jali tidak henti-henti mengucapkan syukur kepada Allah. Setelah usianya mencapai angka empat puluh dia telahpun mencapai apa yang pernah diimpikannya. Sebidang tanah dan sebuah rumah. Walaupun hanya sepersegi itu sudah cukup mengujakan hati Jali. Paling menggembirakan Jali lagi apabila Zainab menerima lamarannya untuk menjadi suri hidupnya. Kini Zainab sudahpun menjadi isteri Jali dan mereka telahpun dikurniakan cahaya mata. Sepasang. Yazid dan Yana.

“Yazid, Yana…jangan gaduh..main elok-elok,”Jali bersuara ketika mendengar anak-anaknya berkelahi.

Jali sudah berjanji pada dirinya yang dia akan menjaga kedua orang anaknya itu dengan baik. Dia tahu bagaimana rasanya hidup bersendirian tanpa kasih saying dari orang tua.

Peristiwa pahit itu menjelma kembali ke ruang fikir Jali. Pada hari itu ayahnya telah pergi buat selama-lamanya. Dia menjadi hilang arah. Sedangkan waktu itu usianya baru hendak mencecah 16 tahun. Ibunya pula tidak pernah kunjung tiba semula dari usianya seminggu lagi. Ayahnyalah yang menjaga makan minumnya dan menghantarnya ke sekolah. Masih segar diingatannya, ketika permulaan persekolahannya di sekolah rendah dia merengek dia mahu ke sekolah. Ayahnya akan mengendongnya dibelakang tulang empat keratnya dan berjalan kaki sehingga berbatu jauhnya ke sekolah.

“Jali, kalau nak jadi budak pandai Jali kena pergi sekolah. Besar nanti boleh jadi cikgu.”
Pada ketika itu Jali masih tidak mengerti akan kata-kata ayahnya. Dan kerana itulah, Jali berhenti sekolah. Jali hanya sempat mengikuti sesi persekolahannya selama seminggu. Dia tidak sanggup berjalan kaki berbatu jauhnya hanya untuk pergi ke suatu tempat yang benama sekolah.

“Kalaulah aku pergi ke sekolah dulu, ikut cakap ayah, mesti aku dah jadi cikgu sekarang ni. Gaji besar. Ni tidak, baca pun tak reti. Kerja buruh sajalah yang layak untuk aku.”
Pernah juga Jali melafazkan kekesalannya, walaupun dia cukup bersyukur dengan apa yang dimilikinya sekarang.

Lebih menyayat hati lagi apabila Jali dihalau sehelai sepinggang oleh ayah saudaranya.
“Tak sedar diri. Kau tu anak angkat arwah saja tau. Sekarang ni arwah dah tak ada. Jadi kau dah tak ada kena mengena dengan kami lagi. Kau tak ada hak nak tinggal dalam rumah ni lagi. Pergi berambus. Satu apa pun kau tak boleh bawa keluardari rumah ni. Kau tu miskin tak ada harta. Berambus!”

“Pak cik kasihanlah dekat saya. Di mana saya nak tidur malam ni pak cik. Saya tak ada orang lain lagi selain pak cik.”

Jali tahu yang dia bukanlah anak kandung arwah. Arwah tidak pernah merahsiakan hal itu. Arwah pernah memberitahu Jali, ayah kandungnya telahpun menghilangkan diri ketika dia dilahirkan. Jail menjadi bertambah sebak mengingatkan hal itu.

“Pandai-pandailah kau. Kau kan dah besar panjang. Kenalah belajar berdikari.”

Itulah kata-kata terakhir dari pak ciknya yang sentiasa terngiang-ngiang ditelinganya.

Jali tidak tahu kemana harus dituju. Dia hanya terus berjalan mengikut langkah kaki. Tanpa disedari Jali telah sampai di sebuah air terjun. Di situlah Jali menangis semahu-mahunya. Dalam tangisannya itu dia teringat akan kata-kata pakciknya tadi. Dia tidak harus mengalah. Perjalanan hidupnya masih jauh.Dia akan buktikan dia boleh berdikari.

Dengan semangat baru dan berkobar-kobar, Jali mengesat air matanya yang masih mengalir di pipi. Dia perlu membina tempat berteduh dari hujan dan panas. Dinihari, setelah bersusah payah Jali berhasil membina sebuah pondok kecil. Memadailah untuknya seorang. Dia perlu berehat kerana esok dia merancang untuk mengambil upah. Dia bersedia untuk melakukan apa sahaja kerja.

“Ayah…..,”suara kecil itu membuatkan Jali tersedar dari lamunannya.

“Ayah, tengok abang…dia ambil patung Yana,” Yana yang baru berusia 4 tahun itu menangis teresak-esak.

“Yazid…jangan kacau mainan adik, bagi balik. Jom ikut ayah kita pergi kedai. Nab, tengokkan Yana ni. Abang nak keluar sekejap bawa Yazid."

Zainab berlari-lari anak dari dapur mendapatkan Yana yang masih teresak-esak.
“Abang, beli tepung sekali. Nab ingat nak buat kuih petang ni.”

“Yelah, nanti abang beli.”Jali menghidupkan motorsikalnya dan meletakkan Yazid di hadapannya.
Zainab, isteri Jali adalah seorang qariah. Sudah banyak pertandingan mengaji yang disertainya, dialah yang menjadi juaranya.

Jali masih ingat lagi ketika dia mula-mula kenal Zainab dahulu. Jali sering lalu di kawasan rumah Zainab bila hendak pergi ke tempat kerja. Masa itulah dia terdengar suara merdu Zainab yang sedang mengaji memecah gegendang telinganya. Sejak hari itu Jali tertanya-tanya siapa gerangannya yang membaca ayat-ayat suci Al Quran itu. Dia mula jatuh hati pada suara Zainab. Jail mula memasang niat untuk memperisterikannya walaupun belum pernah bertentang mata.

“Kau kenal tak orang yang selalu mengaji kat rumah ni?” Jali terserempak dengan orang kampung yang kebetulan lalu di kawasan rumah Zainab.

“Oh..tu.. anak Mak Tam, Zainab. Dia memang qariah kat kampung ni, bang. Saya pergi dululah bang, nak cepat ni.”

“Ok. Terima kasih.”

Petang itu buat ke sekian kalinya, Jali lalu lagi di kawasan rumah Zainab. Dia ternampak seorang perempuan muda sedang menyiram pokok bunga.

‘Agaknya dialah Zainab.’ Jali berbisik sendiri.

Jali memberanikan diri mendekati Zainab. Jali memulakan bicaranya. “Assalamualaikum.”

“Waalaikummusalam.” Terkejut Zainab melihat Jali di belakangnya.

“Zainab kan? Er.. saya Jali.”

“Mana awak tahu saya Zainab?”

“Yang tu awak tak perlu tahu. Sebenarnya..er..ehm..kalau awak sudi saya nak kenal dengan awak..ehm…sedap suara awak mengaji.

Hubungan mereka pun berlangsung selama sebulan. Jali tidak menunggu lama. Dia tidak mahu Zainab dikebas orang. Selepas sebulan perkenalan mereka, Jali terus melamar Zainab. Zainab bersetuju. Keluarga zainab juga bersetuju.

Selepas berkahwin, Jali dan Zainab terpaksa menumpang di rumah ibu Zainab sementaera permohonan tanah kerajaan yang dihantar oleh Jali diluluskan.

“Ayah,.. Yazid nak tu..,”Yazid menunjuk ke arah bekas gula-gula.

“Nak yang ni..,”Jali tersenyum sambil mengambil apa yang dikehendaki Yazid tdi dan membayar di kaunter. Setelah puas membawa Yazid bersiar-siar di pecan Jali pun membawanya pulang.

Jali teringat lagi ketika dia mula terjebak dengan dunia kegelapan. Setelah keluar dari kampungnya untuk mencari pekerjaan dia mula bergaul bebas. Kerana terlalu tertekan dengan keadaan hidupnya dia mula minum minuman keras. Hampir setiap pusat hiburan akan dikunjunginya pada setiap malam. Dia mula berjinak-jinak dengan perjudian. Setiap hari Jali akan membeli nombor ekor. Zainablah yang menyuluhkan jalan untuknya. Atas dorongan dan nasihat Zainab perlahan-lahan dia meninggalkan tabiat buruknya itu.

Setiap kenangan pahit itu akan sentiasa bermain di mindanya. Walaupun sudah mempunyai kehidupan sendiri dia tidak akan pernah lupa asal-usulnya dari keluarga susah. Dia tidak akan membiarkan anak-anak dan isterinya hidup menderita. Dia akan membahagiakan mereka. Dia tidak mahu mereka merasa apa yang dirasainya dahulu. Itu bukan janji Jali,tetapi itu adalah kewajiban bagi Jali membina sebuah keluarga yang bahagia.

Tuesday 28 April 2015

Hatinya Ep. 8(Akhir)

Selama seminggu Yana tidak keruan kerana tidak menerima panggilan daripada Basyar. Akhirnya dia mengambil cuti dan balik ke kampung untuk menenangkan fikiran.

******

“ Kau bunuhlah aku. Kenapa kau buat aku begini…” Kedengaran suara riuh rendah di luar. Yana terjaga dari tidurnya. Dia melihat jam sudah menunjukkan jam 11.30 malam. Yana tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku.

“Ampunkanlah aku. Aku minta maaf, Yazid. Aku biarkan kau.” Itu suara ayahnya. Kenapa dengan abangnya. Yana memberanikan diri keluar dari biliknya.

“Ayah, ayah tak salah. Yazid yang salah ayah. Yazid dah salah pilih kawan. Yazid yang patut minta maaf dengan ayah,” suara Yazid sebak.

“Aku yang salah. Aku yang salah.,” Yana terkejut melihat ayahnya yang kelihatan tidak terurus dan terhuyung-hayang sedang dipimpin oleh kawannya pak cik Basir. Yana menghampiri Mak Nab yang sedang menangis teresak-esak.

“Mak, kenapa ni mak?”

“Yana, ayah kau mabuk Yana. Abang kau ambil dadah.” Terkedu Yana mendengar berita itu. Setahunya ayahnya sudah lama meninggalkan tabiat buruknya yang kaki botol. Abangnya pula…oh..Tuhan..dia sungguh tidak menyangka keluarganya akan ditimpa musibah seperti itu. Yana terus masuk ke biliknya dan menangis semahu-mahunya. Tujuannya balik ke kampung untuk menenangkan fikiran jadi sebaliknya pula. Dia mula teringatkan Basyar. Mungkin inilah balasan Allah untuknya yang telah melukakan hati Basyar.

******

Mesyuarat sedang berjalan. Fikiran Hani melayang teringatkan sahabat baiknya Yana. Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat sedikit pun tidak menarik minatnya. Sehinggalah selesai mesyuarat ketua jurulatih berjumpa dengan Hani.

“Hani, tunggu sekejap duduk dulu. Ada nak bincang sikit.”

“Ada apa KJ?”

“Pasal Yana,”

“Err..kenapa dengan dia KJ?”

“Dah sebulan dia tak hadir bertugas. Awak tahu dia pergi mana? Dia ada masalah ker? Takkan awak tak tahu. Awakkan rapat dengan dia. Makan sepinggan, tidur sebantal. ”

‘Eh..KJ ni lebih-lebih pula. Siap perli lagi.’ Bisik Hani.Sebenarnya Hani serba salah. Dia tidak mahu berita tentang Yana tersebar dan menjadi buah mulut orang.

“Hani, saya bercakap dengan awak ni.”

“Yang saya tahu , Yana tak sihat KJ. Itu saja.” Hani menjawab ringkas.

“Dia sakit apa. Kalau ye pun sakit hantarlah surat bagitahu. ini tak.”

“Saya minta maaf KJ, bagi pihak Yana. Mungkin dia tak sempat nak hantar kot.”

“Yelah, awak boleh pergi nanti saya bagitahu tuan komandan..”

******

Pagi Sabtu minggu keempat, Hani menghubungi Basyar. Beberapa kali juga Hani mendail nombor Basyar barulah mendapat jawapan.

“Salam, Basyar kenapa kau liat sangat nak jawab call aku ni?”

“Salam Hani, aku busy sikit la sekarang ni. Aku sambung belajar.”

“Ye ke. Baguslah. Sekarang aku bukan nak cakap pasal kau. Tapi pasal Yana. Buah hati pengarang jantung yang puja-puja dulu.”

“Malaslah aku nak cakap pasal dia. Buat sakit hati saja.”

“Yana tengah sakit. Dia perlukan kau.”

“Kenapa pula aku. Doktor kan ada. Bawalah jumpa doktor.” Basyar masih lagi mempertahankan egonya.

“Basyar, kau jumpalah dia. Sekali pun jadilah. Aku takut tak sempat.”

“Tak sempat apa maksud kau ni, Hani.” Basyar mula berdebar-debar. Hatinya tiba-tiba menjerit untuk menemui Yana.

“Basyar aku merayu dengan kau ni. Esok kau teman aku jumpa Yana, boleh kan? Please.”

“Tengoklah macamana esok.” Basyar tidak memberikan jawapannya dan mematikan talian.

******

Kereta Hani memecut laju seakan-akan tiada halangan di hadapannya. Tiba di satu simpang Hani terus membelok. Basyar melihat papan tanda ‘SELAMAT DATANG KE HOSPITAL BAHAGIA TANJUNG RAMBUTAN’. Basyar tertanya-tanya di dalam hatinya. ‘Eh..kenapa pula si Hani ni bawa aku ke sini. Setahu aku kalau hospital bahagia ni untuk orang sakit jiwa. Siapa pula yang sakit jiwa ni.’ Basyar semakin bingung. Hani mematikan enjin keretanya dan turun dari keretanya. Perlahan- lahan Basyar mengikut Hani di belakang. Hani berhenti apabila sampai di suatu kawasan. Kelihatan ramai pesakit memakai pakaian hijau berkeliaran melakukan hal masing-masing. Ada yang bercakap sendiri , ketawa, menangis dan ada juga yang berguling-guling di atas rumput seolah-olah sedang menari dalam filem Hindustan. Sehinggalah mata Basyar tertumpu ke satu sudut. Susuk tubuh yang sangat dikenali dan dirinduinya. Dia menghampirinya. Yana. Dia adalah Yana. Yana tidak mengendahkan kehadiran Basyar. Yana ‘sesat’ di dalam khayalannya sendiri. Yana sedang bercakap-cakap seolah-olah ada orang bersamanya. Menitis air mata Basyar melihat keadaan Yana yang sedemikian.

“Selepas je dia balik kampung dia tak balik ke kem. Aku hubungi dia tak berjawab. Dan akhirnya aku dapat jumpa dengan mak dia. Mak dia kata masa dia kat kampung satu malam tu dia dapat tahu yang abang dia terlibat dadah. Sekarang dah kena tangkap. Ayah dia pula lepas tau yang abang dia ambil dadah jadi kaki botol semula. Tiap-tiap malam balik mabuk”

“Jadi kaki botol semula?”Basyar keliru.

“Mak dia kata dulu sebelum mereka kahwin, Ayah Yana seorang kaki botol. Kuat minum. Tapi lepas kahwin Ayah Yana mula tinggalkan perangai buruk dia tu sebab tak nak ajar anak-anak dia benda-benda tak elok.”

Basyar mengangguk. Hani menyambung semula ceritanya.
“Lepas peristiwa malam tu, Yana mula jadi liar. Dia asyik merayau keliling kampung. Orang kampung dah mula bising. Dorang kata Yana dah tak betul, cakap sorang-sorang. Seminggu Yana kena kunci dalam biliknya. Kerana tak tahan melihat keadaan Yana yang semakin tak terurus, mak Yana hantar Yana ke sini.” Hani mengakhiri ceritanya sambil menyeka air matanya. Dia tidak menyangka kawan baiknya akan ditimpa nasib seperti ini. Dia hanya mampu berdoa supaya kawannya itu cepat sembuh.

‘Ya Allah, sungguh besar dugaan yang kau berikan untuk Yana. Walaupun hatiku sakit kerana dia menolak cintaku, tapi aku tahu hatinya lebih sakit bila melihat kehancuran keluarganya yang berlaku di depan matanya. Kau sembuhkanlah penyakitnya. Kau pulihkanlah kedaan keluarganya menjadi keluarga yang bahagia. Sungguh aku tidak sanggup melihat dia menderita. Andai dia bukan jodohku aku terima Ya Allah. Andai dia jodohku aku syukuri takdirmu.’

TAMAT






Monday 27 April 2015

Hatinya Ep. 7

Kem PLKN mula membuka tirainya semula dengan wajah-wajah baru. Ramai juga pelatih yang mendaftar untuk kumpulan pertama tahun itu. Tidak cukup tangan Yana dan jurulatih lain menguruskan mereka. Dari pengambilan pelatih, kemudian pendaftaran asrama, pembahagian pakaian dan pemeriksaan. Kesibukan itu berlarutan sehingga malam. Sehinggalah jam 10 malam kerja-kerja semakin berkurangan dan tapak pendaftaran semakin lengang. Jam 11 malam barulah Yana boleh kembali ke biliknya dan berehat. Yana masih lagi menjadi rakan sebilik Hani pada tahun itu. Badan Hani kelihatan sedikit berisi, maklumlah orang baru berumah tangga.

“Penatnya..,” Kata Yana sambil menghempaskan tubuhya ke katil.

“Basyar mana, tadi aku tak nampak pun dia,” Hani mengajukan pertanyaan yang sekian lama bermain difikirannya kepada Yana.

“Kau tak tahu lagi ker. Jabatan tak nak ambil dia lagi. Tak pasti pula aku sebab apa. Ada yang cakap konon dia belum ambil kursus. Lagipun dia dapat kerja dekat sini sebelum ni pak cik dia yang recommend,” Yana menjelaskan.

“Oh, ye ke. Kesiannya dia,” kata Hani.

“Bukan rezeki dia kat sini nak buat macamana.” Yana bersahaja.

“Meranalah kau kan,” Hani cuba memancing Yana.

“Kenapa pula aku nak merana?”

“Yelah buah hati tak ada depan mata.”

“Siapa pula buah hati aku ni, kami kawan jelah.”

“Korang tak pernah declare ker?”

“Tulah, kadang-kadang aku rasa dia macam syok sendiri saja. Aku tunggu juga, tapi sampai sekarang ni tak ada pula dia cakap nak jadi boyfriend aku. Aku pun malaslah nak fikir. Orang dah kata macam-macam dah pasal kami. Kalau ada jodoh adalah kan.”

“Dulu masa kenduri kahwin aku, dia ada juga cakap nak melamar kau,”
Hani menunggu respon Yana..senyap…

“Dia kata lagi dia dah jatuh cinta pandang pertama dengan kau…,”
Yana senyap lagi.

“Yana, aku cakap dengan kau ni,”
Hani menoleh ke katil Yana. ‘La dah tidur rupanya minah ni..aku bercakap sorang diri je dari tadi tu…bila masa pula si Yana ni tidur’.

Hani pun menutup lampu bilik dan mengikut jejak Yana yang sudah berdengkur kerana terlalu kepenatan.

******

Sudah seminggu Yana menjalani rutin di kem itu. Seminggu jugalah Basyar akan menghubungi Yana pada setiap malam. Hal ini menyebabkan Yana keliru akan status mereka dan akhirnya Yana mengambil keputusan untuk meneruskan hubungannya dengan Basyar hanya sebagai kawan sahaja. Sehinggalah pada suatu malam Yana baru saja balik ke biliknya setelah menjalankan dutynya, dia menerima sms daripada Basyar.

‘Salam Yana, aku ada sesuatu nak bagitahu kau. I LOVE U.’ sms daripada Basyar.

‘Baru sekarang ni kau nak luahkan perasaan kau, kenapa tak dari dulu.’ Yana berbisik dalam hati. Dia cuba mencari ayat yang terbaik untuk menjaga hati Basyar.
‘Salam, Basyar. Aku bukan tak nak terima kau tapi selama ni aku anggap kau kawan saja, tak lebih dari tu. Lagipun aku belum bersedia untuk bercinta. Aku minta maaf.’ Yana menghantar sms ke nombor telefon Basyar.

Lama juga Yana menunggu balasan daripada Basyar.
‘Tak apa lah, Yana. Siapalah aku ni kan. Aku sedar aku ni triple XXXL. Mungkin kita tiada jodoh. Terima kasihlah sebab selama ni sudi jadi kawan aku. Tapi kalau kau dah bersedia untuk terima aku carilah aku. Selamat tinggal Yana. Bye.’

Itulah sms terakhir Yana terima. Yana menjadi serba salah. Selama ni dia juga yang menunggu luahan kata cinta daripada Basyar, tetapi bila sudah diluahkan dia menolak pula. Kerana dia menolak luahan cinta Basyar, persahabatan mereka yang terjalin selama ini musnah begitu sahaja.

Bersambung...

Wednesday 22 April 2015

Hatinya Ep. 6

Pagi Sabtu, selepas solat subuh Yana dan Yani sudah bersiap untuk pergi ke rumah Hani. Hani akan melangsungkan perkahwinannya dengan Razak, seorang guru sekolah menengah di sebuah sekolah ternama. Perjalanan ke rumah Hani akan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah. Nasib baiklah memikirkan kawan kalau tidak, Yana tak sanggup untuk pergi ke sana. Telefon Yana berdering.

“Assalamualaikum, Yana dah siap ker..kat luar dah ni.”

“ok..ok..kejap aku keluar sudah ni.”

“Yani, cepatlah..dorang dah tunggu kat simpang tu.”

“Ye la..ye la..mak kami jalan dulu,” Yani sempat memberitahu Mak Nab.

“Bye, mak,” Yana berteriak dari bawah rumah. Sememangnya Yana lebih rapat dengan ibunya mungkin kerana ayahnya yang jarang melekat di rumah.

Sepanjang perjalanan Yana & Basyar hanya mendiamkan diri. Yani sibuk berborak dengan adik Basyar, Ayu. Entah apa yang dbualkan mereka, Yana pun tidak tahu. Perjalanan selama dua jam seakan-akan hilang apabila mereka tersesat jalan ketika mencari rumah Hani. Inilah pertama kali mereka menjejak kaki ke kampung halaman Hani. Selepas beberapa kali menghubungi Hani bertanyakan jalan akhirnya mereka sampai ke kawasan rumah Hani. Timbul satu masalah lagi untuk mencari tempat parking. Ketika mereka sampai, halaman rumah Hani sudah dipenuhi kereta tetamu.Jauh juga tempat mereka parking sehingga terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer. Sampai dirumah pengantin Yana terus mencari Hani. Kelihatan pelamin pengantin dengan gabungan warna purple putih.

‘Dah nak kahwin dah kawan aku sorang ni, aku jugalah yang membujang.’ Yana berbisik dalam hati.

“Assalamualaikum,” Yana memberi salam sebelum masuk ke bilik pengantin perempuan iaitu Hani.

“Wah, berseri-serinya mempelai tu,” belum sempat Hani menjawa salam, Yana telahpun masuk kebilik Hani dan menyapanya.

“Tulah kau, kalau kau kahwin mesti kau pun berseri-seri. Janganlah tunggu lama-lama nanti melepas,” Hani memperli.

“Kau cakap pasal siapa ni?? Dah lah..jam berapa kau bersanding ni?,” Yana sengaja mengubah topik perbualan.

“Kalau ikut jam dua petang..Tapi kena tunggu pengantin lelaki..kalau dia cepat sampai cepatlah aku bersanding. Kau ni saja jer kan nak ubah topik.”

“Kalau lewat sangat aku tak boleh tunggu, jauh nak balik ni..aku makan nasi minyak kau sajalah..hehe..sedap tu..,”
“Tapi kau jangan lupa ambil gambar kahwin banyak-banyak. Nanti aku nak tengok,” Yana menambah.

“Yelah,,kau datang jauh-jauh tapi tak tengok aku bersanding..rugilah.” kata Hani.

“Rugi apanya. Dapat makan percuma lagi. Hehe..,” Yani yang dari tadi hanya mendiamkan diri menyampuk.

“Eh.. menyampuk pula dia ni,” Yana mengerling adiknya.

“Aku nak jumpa kau jer..sambil-sambil tu makan angin lah, hehe..,” kata Yana.

Hampir sejam Yana berbual dengan Hani. Selepas makan Basyar mengajak Yana untuk pulang kerana takut kemalaman sampai di rumahnya. Apa tidaknya, dia harus menghantar Yana dahulu yang jarak rumah mereka lebih kurang tujuh puluh lima kilometer dan kemudian Basyar terpaksa berpatah balik ke rumahnya lagi. Yana pun meminta diri untuk pulang setelah berjumpa dengan ibu dan ayah Hani.

******

Hari Raya Aidilfitri kini menjelang tiba. Rumah Yana dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Selepas balik dari sembahyang raya, semua ahli keluarga Yana berkumpul di rumah untuk bersalaman dan bermaafan. Hari raya pertama itu, hanya keluarga terdekat yang datang bertandang, tetapi itu sudah cukup memeriahkan rumah Yana kerana bila saudara mara mereka berkumpul, seperti satu kampung yang datang. Keluarga Yana memang cukup besar. Yana teringatkan Basyar. Basyar telahpun berjanji dengannya untuk datang beraya ke rumahnya pada hari raya ketiga. Teringatkan hal tersebut, Yana berdebar-debar kerana itulah kali pertama Yana akan membawa kawan lelaki ke rumahnya. Dia Cuma takut akan ayahnya sahaja. Ayahnya tidak suka bila anak perempuannya berkawan dengan lelaki sembarangan.

“Assalamualaikum, Yana aku kat luar dah ni.” Suara Basyar kedengaran di talian.

“Waalaikumussalam, datang jelah pergi rumah aku. Keluarga aku yang lain dah balik dah. Mak dengan Ayah aku ada ni. Yang kau gelabah kenapa?,” Yana mengesan dari suara Basyar yang tergagap-gagap.

“oh..ok..ok..aku gerak sekarang ye,” kata Basyar.

Sampai di rumah Yana, Mak Nab terus menjemputnya naik. Yang menghairankan Yana, Pak Jali melayan Basyar seperti sudah lama mengenalinya.Siap mengajak Basyar bersiar-siar di sekitar rumah lagi melihat tanaman.Sehinggalah hari hampir petang Basyar meminta diri untuk pulang.

“Yana, mari sini,” setelah Basyar meninggalkan rumah mereka, Pak Jali terus memanggil Yana. Mak Nab dan Yani pula sibuk di dapur.

“Ya, ayah,” Yana menghampiri ayahnya.

“Dah lama Yana kenal dengan Basyar tu?,”

“Belum sampai setahun pun ayah, start Yana masuk kerja kat PLKN baru kenal dengan dia,”

“Ayah harap hubungan Yana dengan dia tak lebih dari seorang kawan,”

“Kenapa pula ayah? Kalau lebih dari kawan pun apa salahya,”
“Ayah kesian kat kau saja Yana, tengoklah saiz dia dengan kau, dah macam lori dengan kereta kancil,”
“Ish, ayah ni kenapa pula cakap macam tu. Yana tak kisahlah ayah, itu bukan ukuran yang penting hati dia, ayah,”

“Kenapa dengan hati dia pula?,”

“Eh, ayah ni buat-buat tanya pula..mak tu besar juga tapi ayah kahwin juga dengan dia kan..hehe,” Yana memperli ayahnya. Nasib baiklah Mak Nab masih di dapur ketika itu, risau juga Yana kalau ibunya tersinggung jika terdengar kata-katanya tadi.

“Amboi, ke situ pula dia. Nak pergi mana pula tu, ayah belum habis cakap lagi ni,”

Yana meninggalkan ayahnya dan pergi ke biliknya sambil mengomel di dalam hatinya, ‘ Basyar ada cakap kat ayah ker yang dia suka kat aku. Dengan aku belum pernah pula dia meluahkan isi hatinya. Jadi leih baik aku anggap dia kawan sahaja. Ah, apa-apa sajalah.’

******
Bersambung...

Tuesday 21 April 2015

Hatinya Ep.5

Petang itu Mak Nab tersenyum gembira sambil membelek-belek surat di tangannya yang telah diberikan oleh Lebai Kadir sebentar tadi. Tertera tajuk di atas surat itu, ‘TAWARAN MENGIKUTI PERTANDINGAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN’. Senyuman tidak lekang dari bibir Mak Nab. Kelihatan Pak Jali, suaminya yang baru sahaja balik dari kebun sedang mencuci parangnya. Mak Nab menghampiri Pak Jali.

“Bang, tadi Lebai kadir ada bagi surat ni,” Mak nab mengajukan surat tersebut kepada Pak Jali sambil tersenyum simpul.

“Surat apa ni,” Surat bertukar tangan kepada Pak Jali.

“Nab, Abang bukan tak nak bagi Nab mengaji, tapi Nab dah tak boleh lagi Nab. Jangan paksa diri Nab tu,” Pak Jali menasihati.

“Bang, bukan senang nak dapat tawaran macam tu bang, ini lah peluang Nab untuk bangun semula bang,”

“Nab dengar cakap Abang boleh kan?”

Mak Nab tidak menjawab.

“Lepas ni abang tak nak dengar lagi Nab nak ikut mana-mana pertandingan kampung ke, daerah ker..waima untuk persembahan pun..Abang tak benarkan Nab ikut.”

“Lagipun bacaan Nab dah tak betul. Sebutan Nab banyak yang salah. Baik tak payah ikut kalau buat malu saja.” Begitulah jawapan Pak Jali.

Bila Pak Jali berkata begitu Mak Nab tidak berani untuk menentang kerana dia tahu yang suaminya itu panas baran. Jika tidak diturutkan kehendaknya padahlah jawabnya.

******

“Ya Allah Ya Rahman, kau ampunkanlah segala dosa-dosaku, segala dosa kedua ibu bapaku. Kau selamatkanlah keluargaku, Ya Allah. Jauhkanlah keluargaku daripada segala kejahatan dan kemungkaran. Berkatilah kehidupanku dan keluargaku. Kau kuatkanlah hati kami untuk menempuh kehidupan dunia yang sangat mencabar ini. Berikanlah petunjuk kepada hambamu ini, Ya Allah. Amin..Amin..Ya Rabal Alamin.”

Selepas selesai menunaikan solat Isya’, kedengaran telefon bimbit Yana bordering mengalunkan lagu kehilangan, nyanyian Firman. Belum sempat membuka telekungnya, Yana terus mengangkat telefonnya.

“Asalamualaikum,”

“Waalaikummussalam,”

“Jam berapa sampai rumah tadi?? Kenapa tak bagitahu?,” Kedengaran suara Basyar di hujung talian.

“Sebelum maghrib tadi dah sampai dah. Tak sempat nak bagitahu pun. Kelam kabut takut tak sempat nak solat maghrib,” Yana bersahaja. ‘Janganlah nak tunjuk take care sangat.’ Yana berbisik.

“Takdelah aku risau je kalau-kalau kau belum sampai. Manalah tahu kot-kot tengah jalan kena tahan penculik kan,” Basyar menyatakan kerisauannya terhadap Yana.

“Kalau kena culik pun apa salahnya kan. Mesti kau akan cari aku juga kan..?” balas Yana bergurau.

“Amboi, cakap besar..nanti betul-betul kena culik, padan muka,”

Perbualan tersebut berlarutan hingga ke tengah malam. Begitulah yang berlaku sepanjang cuti. Setiap malam Basyar akan menghubungi Yana. Apa dibualkan setiap malam bukanlah penting sangat bagi Basyar tetapi dia menjadi tidak keruan bila tidak mendengar suara Yana.

“Kak, siapa yang call tu? Bakal abang ipar ker??,” Yani bersuara selepas Yana memutuskan talian telefonnya.

“Jangan sibuklah,” jawab Yana malas.

“Kau tu budak-budak..apa tau..belajar sajalah,” sambung Yana lagi.

“Kakak tu hari-hari bergayut. Dengan boyfriend lah tu takkan dengan monyet..hehe..,” Yani cuba mengorek rahsia Yana.

“Kalau kau nak tahu, Sabtu ni jom ikut akak kita pergi rumah orang kahwin,” Yana mengajak adiknya.

“Boleh, Boleh…bukannya ada buat apa-apa pun kat rumah ni. Cuti sekolah tak kanlah nak duduk rumah jer.” cepat saja Yani menjawab.

“Esok kau tanyakan kat ayah boleh tak kita pergi Sabtu ni.”

“ok,” Kata Yani sambil tersenyum.

******

Monday 20 April 2015

Hatinya Ep. 4

Keakraban Yana dan Basyar sudah semakin hangat diperkatakan di kalangan jurulatih mahupun kumpulan para pelatih. Sudah tiga kumpulan silih berganti, mereka menjadi semakin rapat. Tibalah hari penutupan kem untuk kumpulan yang ke-3 pada tahun itu. Pelbagai acara yang diadakan pada malam hari, antaranya pertandingan karaoke, nashid, sayembara puisi, teater dan sebagainya. Yana dan Basyar turut tidak ketinggalan membuat persembahan duet karaoke. Tidak disangka pula yang mereka akan mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

“Wah, cikgu hebat lah..lepas ni bolehlah masuk AF kan..hehe..,” sapa seorang pelatih perempuan yang sememangnya mesra dengan Yana setelah diangkat menjadi menti kepada Yana dalam program mentor menti.

“Kenapa pula cikgu yang kena masuk AF..orang muda macam Zeti yang mesti masuk AF..cikgu kan dah tua..hehe..,”

“Ish, cikgu ni jangan cakap macam tu..kalau cikgu dah tua kenapa tak kahwin lagi…kan dah ada orang yang tersayang…haha…,” Zeti mengacukan bibirnya ke arah Basyar yang sibuk mengurus pentas.

“Jangan mengarutlah…,”

“Lepas ni macamana, nak future study ker..cari kerja??,” Yana sengaja megubah topik perbualan bila semakin ramai pelatih perempuan yang menghampirinya.

“Duduk rumah la cikgu..kita kan orang pompuan…,” Tini menyampuk.

“Habis sia-sialah belajar 3 bulan kat sini..takkan nak simpan jerr..praktikkanlah kat luar,” Yana cuba memberi sedikit nasihat.

“Ala, cikgu..kalau mak bapak saya kata duk rumah saya kena ikut cikgu..takkanlah saya nak derhaka dengan dorang. Dorang jer lah yang saya ada cikgu.

Yana terkesima seketika. Pandai pulak budak Tini ni berkata-kata. Masa kat kelas dulu nak dengar suara dia pun susah.

“Cikgu…cikgu…

Lamunan Yana terhenti.
“Cikgu ni berkhayal ker?? Cikgu Hani panggil..dia tunggu kat depan,” seorang pelatih memberitahu Yana.

Yana meninggalkan kumpulan pelatih tadi yang masih sibuk berkongsi cerita masing-masing. Perkongsian adalah perkara yang paling kerap dilakukan di dalam kelas kenegaraan dan pembinaan karakter. Mungkin itulah yang dipraktikkan oleh para pelatih tersebut.

******

Matahari sudah hampir membenamkan cahayanya. Kelibat yang ditunggu masih belum muncul. Sudah genap 60 minit, maknanya sejam jugaklah Yana tercongok di hadapan balai polis daerah. Selepas selesai urusan penghantaran pelatih tadi Yana menghubungi abangnya dan memintanya datang untuk menjemputnya. Bukan Yana tak tahu yang abangnya itu jarang sekali menepati masa, tetapi dia tidak mahu menyusahkan ayahnya pulak untuk mengambilnya.Tidak lama kemudian Yana terdengar bunyi hon motorsikal. Yana menoleh.

‘Eh..sejak bila pulak abang aku ni sampai..tak ada bunyi pun.’

“Hai, abang..awalnya sampai..,” Yana memperli abangnya.

“Road block kat depan tadi..tu yang lambat tu,”

“Ye la tu,”

“Motorsikal abang ni memang tak ada bunyi eh??,”

“Kan abang dah kata tadi, kat depan ada road block.. polis rembat lah ekzos motor abang,”

“cepatlah naik dah nak maghrib dah ni,” kata abangnya lagi.

“Ye je lah abang ni..dah nak maghrib bukannya solat pun kan?,”Yana menyindir abangnya.

“Nak naik ke tak ni, tinggal kang..,” abangnya menggertak.

Adegan beginilah yang akan berlaku bila Yana bertentang mata dengan abangnya. Tidak pernah aman. Bergaduh saja memanjang. Walaubagaimanapun Yana tetap sayangkan abangnya yang seorang itu.

******

“Assalamualaikum…hai mak…buat apa tu?,” sampai saja di rumah Yana terus saja menemui ibunya, Mak Nab.

“Macamana? Kem PLKN ok? Menembak seronok?,”Mak Nab tidak menyahut sapaan Yana sebaliknya mengajukan soalan yang bagaikan peluru keluar dari muncungnya.

“Mak ni..dah macam reporter. Sabarlah nanti Yana ceritakan satu-persatu yer ibuku sayang, hehe..,” jawab Yana sambil tersengih.

“Mak tak masak ker? Laparlah…,” sambung Yana lagi.

“Tengoklah kat meja makan tu..dah besar panjang pun tak reti nak cari sendiri, cuba tengok kat dapur tu..kalau ada makanlah kalau tak ada kenalah masak.”

‘Ni malas duduk rumah ni, asyik membebel jer orang tua ni.’ Yana berbisik di dalam hati.

Yana pergi ke dapur dan membuka tudung saji si atas meja makan. Bila ternampak sahaja ayam masak kicap dan sayur pucuk manis dia terus mengambil piring dan makan dengan berselera sekali. Sambil makan Yana separuh menjerit memanggil Mak Nab yang berada di ruang tamu.

“Mak, yang lain dah makan kan?Yana habiskan lauk ni ye? Sedap la mak masak.”

“Makanlah. Memang untuk Yana la semua tu..Adik kau esok baru balik dari asrama,”

“oh..ye ke mak? Yani balik naik apa, mak?,”

“Tumpang bas pak cik Samat kau tu la..senang sikit anak dia kan belajar kat sana juga..balik sekali la terus sampai rumah..selamat sikit.”

“Ayah pergi mana mak?,”

“Ayah lepas makan tadi dah keluar, pergi pekan la agaknya. Macam biasa lah lepak kedai kopi..”

“Ayah ni dah malam macam ni pun nak keluar lagi kan. Dia nak tambah satu lagi kot, mak,” Yana cuba bergurau.

“Tak kisahlah Yana, nak tambah satu ke nak tambah dua ker..lantak dialah,”

“Eh..mak janganlah serius, mak..Yana gurau jer,” kata Yana serba salah.Tetapi dalam masa yang sama Yana merasakan ada sesuatu yang berlaku antara mak dan ayahnya.

Mak Nab meninggalkan Yana yang masih menjilat-jilat jarinya. Mak Nab pergi ke dapur dan mengambil air sembahyang. Kemudian Mak Nab pergi ke biliknya dan membuka kitab suci Al-Quran. Semua orang kampung di situ tahu yang Mak Nab pernah menjadi Qariah dan memenangi beberapa pertandingan tilawah Al-Quran hingga ke peringkat kebangsaan. Selepas Mak Nab jatuh sakit dua tahun lalu akibat terkena angin ahmar, tidak pernah lagi Mak Nab menyertai mana-mana pertandingan tilawah Al-Quran.

******

Bersambung...

Wednesday 15 April 2015

Hatinya Ep.3

Suasana pagi itu sungguh menenangkan hati kerana belum ada warga kem yang berkeliaran. Mungkin masih di atas katil lagi agaknya. Yana sudah pun mandi dan bersiap untuk memulakan sesi pengajaran. Yana telah pun berpakaian kemas. Rakan sebiliknya masih lagi duduk di birai katil dengan selimut masih menyelubungi tubuhnya. Cuaca di kem itu akan menjadi sangat sejuk pada waktu pagi dan itulah yang menyebabkan Hani kelihatan agak malas untuk meninggalkan katilnya.

“Yana, kau pergi dulu lah..aku rasa aku lambat sikit ni..,”kata Hani yang masih menguap.

“Itu lah..semalam aku dah pesan jangan tidur lewat hari ni kita ada kelas, ni tak.. bergayutlah pulak dengan boyfriend,” Yana berseloroh sambil berlalu meninggalkan Hani sendirian di biliknya.

Yana terus pergi ke dewan makan untuk bersarapan.

‘Laparnya, siapa suruh semalam tak nak makan sekarang padan muka,’ Yana berkata-kata di dalam hatinya.

Tanpa menghiraukan sekeliling Yana terus pergi mengambil makanan dengan tergesa-gesa kerana perutnya sudah menjerit-jerit minta diisi. Dengan tidak semena-mena Yana terlanggar satu lembaga besar di hadapannya. Terasa hendak pitam Yana dibuatnya. Ketika Yana hampir terjatuh seperti ada sesuatu yang menahannya. ‘Siapa pulak ni??’. Yana sempat berteka- teki di dalam hatinya. Yana cepat-cepat berdiri dan membetulkan keadaannya. Rupanya Basyarlah yang menompanya ketika hampir terjatuh tadi dan Basyar jugalah lembaga yang dilanggarnya sebentar tadi. Muka Yana menjadi merah padam menahan malu.

Err..Assalamualaikum, Yana..hehe..hai,” Basyar menyapa dengan keadaan gugup.

Ehm…Waalaikumsalam…,” Yana menjawab sepatah dan berlalu ke meja makan.

“Sorry, tak sengaja..tak perasan…..,” belum sempat Basyar menghabiskan kata-katanya Yana telah pun berlalu.

Walaupun berlaku adegan yang memalukan sebentar tadi, itu tidak mematahkan selera Yana. Yana makan dengan berselera sekali tetapi masih menjaga tata tertibnya ketika makan.

‘Sori naik lori la..,’ sambil makan Yana mengomel di dalam hati.

“Hai, Yana..saya minta maaf pasal tadi.”

Tersedak Yana dibuatnya kerana terkejut dengan kehadiran Basyar yang tiba-tiba sahaja duduk di hadapannya. Yana segera mengambil air lalu meminumnya sambil terbatuk-batuk.

“ehm…it’s ok…tak apa…saya ok..ehm..tak cedera kot..hehe..,” kata Yana sambil cepat-cepat menghabiskan makanannya. Bukannya apa dia malas dan tidak suka menjadi perhatian ramai terutamanya para pelatih di kem tersebut.

Selepas bersarapan Yana terus pergi ke kelas kerana jam menunjukkan jam 8.00 pagi. Kelas akan bermula dalam setengah jam lagi.

******

Semenjak kejadian di dewan makan seminggu lalu, Yana dan Basyar menjadi semakin rapat. Mungkin juga kerana mereka sering bekerjasama dalam menjalankan tugas mereka. Basyar juga sering menjadi driver bila Yana dan Hani mahu membeli barang keperluan di pekan. Tidak pernah pula Yana mendengar Basyar mengeluh.

“Hello, Assalamualaikum, Basyar petang ni kita pergi bandar nak tak?? Ajak la akmal sekali, Hani pun nak ikut ni. Bosanlah asyik pergi pekan jer, tukar selera pulak pergi bandar, macamana??,” suara Yana kedengaran di corong telefon bimbit Basyar.

“Ehm.. ok juga tu..elaun pun baru masuk kan..hehe..nanti aku cari dulu kereta siapa nak pinjam k. ,” Basyar menutup telefon bimbitnya.

******


Tercapai juga hajat Yana untuk pergi ke bandar. Yana, Hani, Akmal dan Basyar telahpun berada di pusat bandar. Tempat pertama yang mereka kunjungi adalah restoran terkemuka di bandar tersebut. Setelah puas makan, Hani mengajak Yana pergi ke sebuah Shopping Mall untuk melihat pakaian. Basyar hanya membontoti mereka dari belakang seolah-olah seorang pegawai peribadi lagaknya. Akmal hilang entah ke mana.

“Yana, kau tengok Basyar tu asyik ikut kita jer dari tadi…rimaslah aku,” kata Hani.

“Biarlah. Ada juga bodyguard kita kan..hehe..kau tengok baju ni cantik tak??,” kata yana selamba.

“Aku bukannya apa, kesian, paling tak pun pegilah kedai HP ker..kedai barangan Sport ker..taklah membontot kita jer. Kita nak juga, apa omputih cakap tu,, privacy….,” Kata Hani lagi.

Yana pun menghampiri Basyar dan mengatakan sesuatu kepada Basyar. Hani hanya melihat Basyar meninggalkan mereka.

“eh..apa kau cakap dengan Basyar tadi??,”

“Tak ada apa-apa lah,”

“Bagitahulah aku, kau cakap apa tadi?,”

“Kau nak tau juga?,”

“Ehm..,” Hani mengharap.

“Aku cakap kau nak beli spended,” Yana berlalu ke bahagian kasut meninggalkan Hani yang masih termangu dengan jawapan Yana tadi dan baru menyedari dia berdiri di hadapan longgokan pakaian dalam.

******
Bersambung…

Tuesday 14 April 2015

Hatinya Ep.2

Basyar, jurulatih yang baru sahaja melaporkan diri untuk bertugas seminggu lalu yang juga merupakan kawan rapat kepada Akmal. Di mana akmal di situlah Basyar. Dalam diam rupanya Basyar menyimpan perasaan terhadap Yana, tetapi tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya.

“Akmal, apa pendapat kau tentang budak Yana tu?”

“Yana? Erm..cantik, ayu, agak pendiam juga.. tapi boleh buat bini..kenapa? tetiba pula tanya pasal Yana.”

“Tak..err..aku sebenarnya…err..”

“Sebenarnya apa? Tu pun susah ker?”

“Boleh tak kau tolong aku, kenalkan aku dengan dia.”

“Haha..Basyar..Basyar..tu jerr?"

“Gelak pulak..yelah aku tahulah aku ni besar dah ngam sangat dah dengan nama aku..” Basyar seolah-olah merajuk dan ingin berlalu meninggalkan Akmal yang masih menahan gelak.

“Eh..Basyar, janganlah ambil hati..aku rasa kelakar jer..yelah..selama ni tak pernah pula kau nak kenal dengan mana-mana pompuan kan..tetiba la plak dekat kem ni kau minta aku kenalkan kau dengan pompuan kat sini.”

“Boleh tak ni kau tolong aku? Kalau tak boleh tak apa lah..”

“Ok..ok.. nanti aku try untuk kau,”kata akmal sambil menahan gelak.

****

Matahari hampir terbenam di ufuk timur menyembunyikan sinarnya seperti Basyar yang menyembunyikan perasaannya terhadap Yana. Petang itu para pelatih baru sahaja selesai beriadah dan pelatih muslim mula bergerak balik ke asrama untuk bersiap menunaikan solat fardhu maghrib di surau. Hanya kelihatan beberapa orang jurulatih yang masih berbual kosong sambil menanti matahari menghilangkan cahayanya. Kelihatan juga di satu ruang sekumpulan jurulatih sedang berkumpul. Basyar, sedang memetik gitar memainkan irama lagu JAUH yang sering dimainkan di corong-corong radio pada ketika itu. Di sebelahnya, Yana bertepuk tangan mengikut irama petikan gitar dari Basyar. Yana dan Basyar ditemani oleh rakan sebilik Yana, Hani. Beberapa orang pelatih bukan muslim turut menyanyi mengikut Irama petikan gitar yang dimainkan oleh Basyar.

Laungan azan maghrib mendayu-dayu memanggil muslim dan muslimah bertandang ke surau. Tidak ketinggalan Yana, yang tidak pernah lupa menunaikan solat berjemaah semenjak bertugas di kem tersebut. Ini kerana surau kem tersebut tidak jauh dari asrama jurulatih, hanya perlu berjalan kaki selama 2 minit sahaja. Selesai solat Maghrib berjemaah majlis tadarus diteruskan. Yana mengambil Al Quran dan meneruskan bacaannya yang terhenti malam kelmarin.

“Basyar, dah solat ker?,”aju Akmal pada Basyar yang ketika itu berada di dewan makan.

“Dah”,balas Basyar sepatah sambil mengambil nasi dan lauk pauk yang telah tersedia.

“Basyar..Basyar..kata nak kenal Yana, suka Yana.”

“Memanglah aku suka kat dia, kenapa?”

“Yana tu beragama orangnya. Mesti solat berjemaah kat surau. Lepas tu mengaji ikut tadarus. Bukannya ingat makan jer.”

“Err..hehe…aku lapar tadi tak tahan,”jawab Basyar sambil menyuap nasi ke mulutnya.
Akmal hanya tersenyum.

“Esok aku solatlah kat surau.”kata Basyar bersahaja.

****

Sebulan sudah berlalu, banyak barang keperluan Yana telah habis. Yana mengajak rakan sebiliknya untuk pergi ke pekan dan Hani bersetuju. Rupa-rupanya, Hani telah merancang sesuatu, dia telah menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Basyar untuk membawa mereka ke pekan. Tidak sampai 5 minit Basyar sudah terpacak di hadapan pagar asrama perempuan dengan menaiki kereta Perodua Myvi milik Akmal. Agak bergaya juga bila Basyar mengenakan cermin mata gelap hingga menyelindungkan lemak-lemak di badannya.

Dalam perjalanan ke pekan suasana sepi menyelubungi kereta perodua Myvi yang dipandu oleh Basyar. Hani sengaja menyuruh Yana duduk di hadapan di sebelah Basyar. Yana pula mengikut sahaja tanpa mengesyaki apa-apa. Yana hanya memikirkan barang keperluan yang ingin dibelinya….’sabun cuci, sabun mandi…erm…berus gigi, colget, …pemanas air kena beli juga ni…jauh nak pegi dewan makan tu…,’Yana bermonolog sendiri.

“Apa kata kita pergi minum dulu?err…,”Basyar memecah kesunyian.

Hani terjaga dari tidurnya. Rupanya mereka sudah sampai di pekan.

“ok juga tu, aku pun dah lapar ni haus pula tu,”kata Hani bersahaja. Nak tak nak terpaksalah Yana bersetuju.

Mereka pergi ke sebuah restoran melayu. Yana memesan Nescafe ais sahaja.

“Yana tak makan ker. Jangan risau, saya belanja,”pelawa Basyar.

Yana hanya menggeleng tidak selesa kerana dia pergi ke pekan bukan untuk makan-makan tapi untuk melengkapkan keperluannya di kem nanti.

****

Bersambung...

Monday 13 April 2015

Hatinya Ep. 1

‘Nak masuk?.. tak?.. Masuk?.. tak?..’

Sudah sejam Yana berdiri di hadapan peti pos sambil memegang sampul putih yang tertulis di atasnya alamat Jabatan Latihan Khidmat Negara(JLKN).

“Hoi! Apa hal kau lembap sangat ni..kalau dah pompuan tu..pompuan lah juga..tepi sikit..”

Terperanjat beruk Yana bila disergah seorang lelaki yang juga ingin mengeposkan surat.

‘Tak payah lah nak marah-marah.’

‘aku ada namalah..hoi-hoi ..macamlah dia jer yang ada nama’

Yana hanya berkata-kata di dalam hatinya yang sebenarnya gerun dengan lelaki yang berbadan sasa tadi.

‘Ah..masukkan jer lah..belum tentunya dapat pun kan.’

******

Hari Selasa, Yana hanya duduk di hadapan televisyen menonton rancangan kegemarannya Oggy & The Coacroach. Gelak ketawa Yana memecah kesunyian pagi kawasan rumah kampung yang telah diduduki keluarganya selama hayatnya. Yana merasakan masa itu seolah-olah dunia ini miliknya seorang.

“Yana pergi kedai kejap, tolong mak beli tepung..dah habis…”

Ibu Yana, Mak Nab, keluar dari bilik air yang baru selesai membasuh kain agaknya.

“Ala.. mak ni suruh lah adik tu..abang ker..abang kan ada motor..”

“Yani tengah buat kerja sekolah. Abang kau entah ke mana ntah baru jer keluar..”

‘Ni yang malas duduk rumah ni, kena buat tu lah..ni lah..aku harap sangat cepatlah aku dapat tawaran jadi jurulatih PLKN tu. Kalau tengok keputusan STPM aku tu layak sangat tu..hehe..’

Yana berbisik dalam hati.

“Yelah Yana pergilah ni.”

Belum sempat Yana melangkah keluar dari pintu rumah, Yana berpatah balik kerana ada sesuatu yang tertinggal.

“Mak, duit??

“Ayah bagi minggu lepas dah habis?”

Yana tidak menjawab pertanyaan ibunya, sebaliknya menadah tangan mengharap ibunya memberikannya wang.

“Nah. Sepuluh ringgit..beli 2 kilo tepung tau. Lepas tu balik terus, Jangan nak singgah kat mana-mana pulak.”

*****

BARIS! BARIS SEDIA!!

Itulah perkataan yang akan Yana dengar setiap pagi sejak seminggu yang lalu. Kadangkala terlintas di fikiran Yana untuk berhenti sahaja kerana tidak tahan dengan aktiviti yang perlu dilalui olehnya di kem PLKN. Nasib sahaja elaun tinggi dapat jugalah mengurangkan tekanan yang dihadapi Yana.

“Hai! Yana..apa khabar?” sapa Akmal, jurulatih veteran di kem tersebut.

Yana hanya tersenyum. Oleh kerana Yana adalah Jurulatih termuda di kem tersebut dia sering menjadi perhatian jurulatih lelaki yang mata keranjang. Umur Yana baru mencecah umur 20 tahun. Dengan rupa yang menawan bertudung litup ditambah dengan senyum simpulnya sudah cukup mencairkan hati lelaki yang memandangnya.

“Baik-baik aje.” Yana bersahaja.

“Malam ni awak dengan saya duty kan?”

Yana berbisik dalam hatinya,’dah tau tanya lagi buat apa.’

Perbualan tersebut terhenti begitu sahaja. Mesyuarat akan dijalankan dan semua jurulatih berkumpul di bilik mesyuarat termasuklah Yana dan Akmal.

****

Jam menunjukkan jam 11:00 malam. Yana bergegas ke pejabat urusetia untuk memulakan duty. Sudah kelihatan tiga orang jurulatih mundar mandir di pejabat urusetia termasuklah Akmal. Tersenyum lebar dia apabila terlihat kelibat Yana yang kecil molek menuju ke arahnya. Yana dan Akmal ditugaskan di pejabat urusetia sahaja. Dua orang jurulatih lagi ditugaskan mengawal kawasan asrama.

“Yana, cantik malam ni”

“Hai, pakai but dengan celoreng ni pun cantik juga ker??” kata Yana hendak menyakitkan hati Akmal.
Tanpa segan silu Akmal meluahkan isi hatinya,”Yana, apa kata awak jadi girlfriend saya. Saya betul-betul sukakan awak. Apa saja awak nak saya akan tunaikan.”

“Allahu Akhbar, hei kau ni dah tak ingat dunia ker? Ita tu nak letak kat mana? Ingat macam ganti baju jer ker?”

Yana tahu yang Akmal sudah mempunyai girlfriend iaitu kak Ita, jurulatih perempuan yang dah ada pengalaman bertugas di kem tersebut selama 4 kumpulan.

“Ala..kita senyap-senyap la..jangan cakap kat orang...bolehlah Yana.” Akmal seolah-olah merayu.

Yana meninggalkan Akmal sendirian. Yana tidak mahu menjadi orang ketiga dalam percintaan apatah lagi rumah tangga orang lain.Yana berkawal di kawasan asrama dengan meminta seorang jurulatih menggantikannya bertugas di pejabat urusetia bersama Akmal.


Bersambung...