Syeeda semakin tertekan. Dengan keadaan perutnya yang semakin membesar. Sudah acapkali dia berfikir, mengapa dia perlu mengandung dan melahirkan benih itu. Yang kemudiannya terpaksa dibesarkannya sendiri. Mengapa ini semua harus terjadi kepadanya.
Syeeda, baru sahaja menjejak usia 14 tahun melalui alam remaja seperti remaja yang lain. Pergi ke sekolah seperti biasa, kemudian habis sekolah pulang ke rumah. Petang beriadah bersama rakan-rakannya dan kadangkala berjumpa di pusat membeli-belah untuk menghilangkan tekanan belajar.
Entah apa malangnya nasib Syeeda, malam itu setelah selesai mandi, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk dari luar. Pada malam itu ayahnya sedang bertugas di luar daerah memungkinkannya untuk tidak pulang awal ke rumah. Bermakna hanya Syeeda dan ibunya sahaja berada di rumah ketika itu.
Tanpa berfikir panjang Syeeda terus sahaja membuka pintu. Sebaik sahaja tombol pintu dipusing, daun pintu terus ditolak dengan kuat dari luar membuatkan Syeeda terdorong ke belakang dan membuatnya terjatuh. Serentak dengan itu dua orang yang memakai topeng menyerbu masuk ke dalam rumah. Salah seorang dari mereka mengarahkan Syeeda menutup dan mengunci semula pintu dengan mengacukan muncung senapang di kepala Syeeda.
Ibu Syeeda yang baru selesai solat Isyak bergegas ke depan rumah sebaik terdengar bunyi bising. Sebaik tiba, salah seorang lelaki bertopeng tadi mengacukan muncung senapang ke arahnya. Keadaan itu membuatkan ibu Syeeda menggigil ketakutan. Ibu syeeda dapat menduga orang-orang bertopeng itu adalah perompak, kerana tidak lama selepas itu mereka mengarahkan ibu Syeeda mengeluarkan semua barang-barang berharga.
Ibu Syeeda hanya mengikuti arahan dua orang perompak itu. Dia terus membawa mereka ke biliknya dengan diikuti oleh Syeeda yang sudah terikat tangannya ke belakang. Ibu Syeeda berharap selepas dia menyerahkan apa yang perompak itu inginkan mereka akan segera beredar. Sangkaannya meleset apabila dia kemudiannya turut diikat dengan kemas di tiang katil.
Dan di situlah berlakunya peristiwa hitam dalam hidup Syeeda. Dalam keadaan masih terikat Syeeda ditolak ke atas katil, dibogelkan dan dirogol bergilir-gilir oleh dua perompak itu. Malam itu Syeeda dijadikan tempat kedua orang perompak itu melampiaskan nafsu serakah mereka. Syeeda diperkosa di hadapan mata ibunya sendiri sehingga tidak bermaya. Setelah puas barulah dua perompak itu beredar dengan membawa barang-barang berharga yang terdapat di dalam rumah itu. Ibu Syeeda hanya mampu menangis sambil cuba melepaskan diri dari ikatan yang membelenggunya tetapi gagal. Sehinggalah ayah Syeeda pulang, Syeeda masih lagi terbaring lemah di atas katil. Keadaan itu membuatkan ayahnya terkejut. Ibu Syeeda menceritakan semuanya setelah suaminya membuka ikatan yang membelenggunya dan menyelimuti tubuh Syeeda yang terdedah.
Apa yang lebih menyayat hati, kerana malu ibu bapa syeeda tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berwajib. Sebaliknya Syeeda diberhentikan sekolah oleh ayahnya dan hanya terperap di rumah sahaja dengan kandungannya yang semakin memboyot ke hadapan. Sudah enam bulan Syeeda tidak ke luar rumah. Tidak berjumpa kawan-kawannya. Dia pasti akan mengelak bila ada kawan-kawan yang datang mencarinya di rumah.
Akhirnya, setelah Sembilan bulan Syeeda mengandungkan benih perompak itu, Syeeda selamat melahirkan sepasang kembar perempuan. Tetapi bagi Syeeda itu bukanlah berita gembira buatnya malah menambahkan lagi tekanan yang sedia ada. Sedikit pun dia tidak mahu memandang kembar itu apatah lagi untuk menyusukannya. Dia sangat benci pada anak yang dilahirkannya itu sama seperti kebenciannya terhadap perompak yang bertanggungjawab menanam benih itu di dalam rahimnya.
Sudah sebulan Syeeda keluar dari hospital, sekali pun dia tidak pernah mempedulikan anak kembarnya itu. Semuanya dilakukan oleh ibu Syeeda. Dari memandikan sehinggalah menidurkan pasangan bayi kembar yang tidak berdosa itu dilakukan oleh ibunya. Syeeda pula semakin tidak terurus. Jiwanya semakin tertekan memikirkan masa depannya yang hancur. Ibu bapanya pula sepertinya lebih memberi perhatian kepada pasangan kembar itu daripada dirinya. Syeeda semakin merasa dirinya disisihkan.
Sampai di satu tahap, keadaan Syeeda menjadi semakin teruk. Fikirannya semakin sarat dengan masalah yang sepertinya bertimpa-timpa. Syeeda merasakan kepalanya bagaikan hendak pecah. Syeeda seperti hilang kawalan diri. Syeeda yang duduk terperuk di tepi dinding bagaikan takut dengan bayang-bayangnya sendiri mula menghantukkan kepalanya ke dinding sambil menangis. Semakin lama hantukkannya semakin kuat. Bunyi hantukan berselang seli dengan bunyi tangisannya. Darah mula mengalir dari kepalanya. Syeeda mula merasakan dirinya seperti diawang-awangan, kemudian pandangannya berpinar-pinar. Akhirnya, dunia Syeeda menjadi gelap segelap-gelapnya.
No comments:
Post a Comment