Murid-murid kelas tahun 5 kenanga sibuk menelaah pelajaran yang diajar. Di hadapan kelas kelihatan cikgu Syukri bersungguh-sungguh memberi penerangan agar apa yang diajar dapatkan diterima oleh murid-muridnya. Di tengah kesibukan sesi pembelajaran itu di luar kelas pula kelihatan Bun bersama kawannya Mail sedang bermain basikal sambil bergurau senda.
“Kau ni bisinglah, Bun. Orang tengah belajar tu.” Kata Mail.
“Alah, buang saja belajar. Buat apa belajar tu? Bukan dapat apa pun. Main lagi seronok. “ Bun dan Mail ketawa serentak.
“Mail! Bun! Masuk kelas!! Asyik main saja. Berapa kali cikgu nak cakap.” Tiba-tiba terdengar pekikan dari cikgu Is merangkap guru disiplin sekolah. Entah dari mana pula datangnya mengejutkan Mail dan Bun yang sedang bergelak ketawa. Cepat-cepat mereka meninggalkan tempat tersebut, tetapi bukan pergi ke kelas sebaliknya menyimpang entah ke mana-mana yang mereka suka.
Begitulah kerenah mereka setiap hari. Bagi mereka datang ke sekolah bukan untuk belajar tetapi untuk suka-suka. Setiap hari mereka akan pergi ke sekolah tetapi tidak pula mahu mengikuti sesi pembelajaran. Puas guru-guru menasihati, menegur dan memarahi mereka tetapi semuanya bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Ibu bapa juga sudah dipanggil tetapi perangai mereka semakin menjadi-jadi. Setiap kali ujian dan peperiksaan mereka pasti mendapat keputusan yang teruk dan ibu bapa mereka pasti akan dipanggil. Disebabkan kegagalan mereka setiap kali ujian atau peperiksaan, mereka diturunkan kelas daripada kelas darjah 5 kepada kelas darjah 1 dan 2.Bun ditempatkan dikelas tahun 1 manakala Mail pula di kelas tahun 2. Mungkin disebabkan otak Mail lebih bergeliga daripada otak Bun agaknya. Keadaan ini membuatkan ibu bapa Bun dan Mail malu. Apalagi bila cerita Bun dan Mail diturunkan kelas menjadi bualan terhangat pada masa itu.
“Mail, kalau dah tak nak belajar berhenti sajalah. Jangan nak menyusahkan aku.” Satu hari ayah Mail bersuara pada Mail. Mail hanya mendiamkan diri.
“Dah banyak kali cikgu panggil aku ke sekolah. Kalau berita baik tak apalah juga. Ini semua yang tak elok. Sakit telinga dengar orang dah mula bercakap. Aku ni tak pandai jaga anaklah..itulah inilah..pergi sekolah tu pun kena pakai duit. Aku ni bukan orang kaya.”
“Mulut orang, kita tak boleh tutup, bang,” ibu Mail menyampuk.
“Kau pun sama. Tak reti nak jaga anak. Duduk rumah anak terbiar. Jangankan si Mail, Nurul tu pun dah pandai nak warnakan rambut. Nasib baiklah sekolah dia pandai. Selalu dapat nombor satu.”
“Amboi! Kita pula yang disalahkannya. Dahlah saya nak masuk tidur. Mengantuk.”
“Hah, tengoklah cakap sikit nak tidurlah, makanlah, apalah..nak mengelaklah tu. Bukan aku tak tau.”
“Kau Mail esok tak payah pergi sekolah. Buang masa saja sekolah kalau dah tak minat belajar. Duduk rumah.”
Mail hanya diam lalu masuk ke biliknya. Pada ketika itu kedengaran pintu rumah diketuk. Cepat-cepat ayah Mail membuka pintu. Kelihatan Nurul dengan rambut perangnya berdiri di depan pintu. Bila melihat ayahnya yang panas baran di hadapannya, cepat-cepat Nurul masuk ke dalam. Dia tidak mahu disoal siasat bagaikan pesalah di penjara.
“Hah, ni lagi satu. Dah malam-malam buta baru nak balik. Rambut dah macam tupai. Warna sana..warna sini.”
“Dah tahu malam buta tak tidur lagi kenapa?,” suara Nurul seakan berbisik memperli ayahnya.
“Amboi! Apa kau kata, Nurul? Kau nak melawan aku?.”
Nurul cepat-cepat masuk ke biliknya. Takut nanti tak pasal-pasal kena penampar ayahnya pula. Sebenarnya malam itu Mail cukup bernasib baik kerana kebiasaannya bila ayahnya marah pasti disertakan dengan tali pinggang dan sepak terajang .
*************
Bersambung...
No comments:
Post a Comment