“Lari! Lari! Ada bunjut!,” beberapa orang pelajar puteri lari lintang pukang meninggalkan bilik air.
“Bunjut?,” Minah pelajar tingkatan satu yang baru sahaja mendaftar petang tadi kehairanan.
“Bunjut pun nak takut? Kalau buat sup sedap tu,” kata Minah lagi. Minah terus saja pergi ke bilik air untuk mencuci muka.
Tiba-tiba Minah terdengar bunyi tapak kaki semakin dekat. Apa yang menghairankan bukan bunyi orang berjalan tetapi seperti sedang melompat. Beberapa minit selepas itu keadaan menjadi gelap gelita. Talian elektrik terputus. Dalam keadaan teraba-raba Minah meneruskan juga mencuci mukanya.
“Time ni la pulak kau nak mati kan. Sajalah tu nak takutkan aku,” Minah merungut sendirian.
Di sebuah bilik asrama, dorm 8, sekumpulan pelajar puteri berkumpul. Kawasan billik itu kelihatan suram dengan hanya diterangi cahaya lampu suluh yang dipinjam daripada seorang pelajar puteri. Jika talian elektrik terputus semua pelajar puteri akan diminta berkumpul di bilik itu kerana bilik itulah yang paling besar antara semua bilik di asrama puteri dan paling dekat dengan rumah warden.
“Ada sesiapa lagi yang tak ada kat sini?,” Kak Adi Big, ketua asrama yang terkenal dengan tegasnya bersuara. Selepas riuh rendah seorang pelajar menjawab,”Minah tak ada kat sini kat sini, kak.”
“Minah?,”
“Budak form 1 yang baru masuk tu.”
“Siapa ketua dorm dia?,”
“Kak Yanti, kak.”
“Yanti..mana kau?,” dalam cahaya suram Kak Adi Big mencari Yanti. “Anak buah kau hilang ni.”
“Aku kat sinilah. Siapa hilang?,” Yanti yang dari tadi duduk di atas katil sambil berborak dengan pelajar sineor yang lain menjawab dengan separuh menjerit.
“Budak form 1. Budak bilik kau, Minah.”
“Menyusahkan betullah budak ni. Pergi mana pulak dia.”
Dalam kekalutan di bilik asrama itu, Minah masih lagi sibuk membersihkan wajahnya. Minah memang mementingkan penjagaan kulit wajahnya. Walau apapun yang terjadi kulit wajahnya adalah yang utama. Setelah selesai, Minah teraba-raba mencari pintu keluar dari bilik air itu.
“Astaghfirullah, yang aku teraba-raba dalam gelap ni kenapa,” Minah terus mencari-cari poket seluarnya. Dia mengeluarkan sebiji lampu suluh kecil. Minah baru saja teringat akan lampu suluh yang dibekalkan oleh ayahnya itu. Katanya kalau malam tak ada elektrik senang. Minah tersenyum lebar sambil menghidupkan lampu suluh itu. Walaupun kecil tetapi cahayanya cukup untuk menerangi jalannya.
“Eh, kenapa sunyi jer asrama ni. Mana semua orang?,” Minah merasa pelik apabila melalui bilik-bilik yang sunyi sepi.
“Semua dah tidur agaknya,” Minah terus berjalan. Ketika melalui sebuah bilik Minah terdengar bunyi seperti orang berbisik. Tiba-tiba Minah berdebar-debar. Tetapi disababkan sifat ingin tahunya membuak-buak, Minah cuba mengintai dari celah tingkap. Sebatang lilin yang terpasang di bilik itu membolehkan Minah melihat makhluk yang berbisik itu.
Di dorm 8, Kak Yanti masih lagi sibuk mencari kedudukan Minah yang sebenar.
“N, kamu rapat dengan dia kan? Dia pergi mana tadi?” Kak Yanti bertanya kepada N, teman sebilik dan sekelas Minah.
“Mana ada rapat, kak. Baru jer kenal tadi. Tapi tadi saya Nampak dia bawa Safi Balqis, kak. Mungkin dia pergi cuci muka.”
“Safi Balqis? siapa tu?,” Kak Yanti mengerutkan dahinya.
“Alah pencuci muka yang terbaru tu, kak. Kalau kakak guna confirm hilang jerawat akak tu,” N menjawab dengan jujur.
“Eh, budak ni. Aku bagi juga karang ni,” Kak Yanti menunjukkan buku limanya ke muka N.
“Ampun kak. Sorry,” N yang baru menyedari yang dia sudah terlepas cakap mengangkat tangan meminta maaf pada kak Yanti.
Dalam kegelapan Minah masih lagi mengintai siapakah gerangannya yang berbisik-bisik itu. Dia telah pun mematikan lampu suluhnya untuk keselamatan. Minah cuba mendengar percakapan mereka. Dia mendekatkan lagi telinganya ke tingkap.
“Kalau macam ni senanglah kita. Tak payah nak beli-beli. Dapat duit lagi.” Mendengar kata-kata itu Minah sudah mengesyaki ada sesuatu yang sedang berlaku di asrama puteri. Dengan membuka seliparnya dia berjalan perlahan-lahan meninggalkan bilik itu.
“Assalamualaikum,” setelah lama mencari-cari penghuni asrama puteri itu, akhirnya Minah sampai di dorm 8. Minah menceritakan apa yang dilihat dan didengarnya di bilik tadi.
“Kita kena buat sesuatu, kak,” Minah pun memberitahu rancangannya.
“ok. Semua setuju. Mari kita mulakan misi,” dengan suara yang rendah Kak Adi Big bersuara.
Dengan perlahan-lahan dan berkaki ayam, Minah, Kak Adi Big, Kak Yanti dan beberapa orang pelajar puteri bergerak ke bilik yang dikatakan oleh Minah tadi. Sebelum bertindak Kak Adi Big memerhatikan dahulu apa yang berlaku di dalam bilik itu. Dia ternampak sebatang lilin yang hampir habis. Dan dua makhluk berpakaian putih sedang baring. Inilah masa yang sesuai. Serentak dengan itu Kak Adi Big memberi isyarat dan menyerbu masuk ke bilik itu.
“Serang!” Kak Adi Big menjerit. Kak Adi Big dan gengnya menyerbu dari hadapan. Beberapa pelajar puteri yang lain pula menyerbu dari belakang. Dua makhluk tadi terkejut dan tidak sempat berbuat apa-apa. Dengan hanya beberapa saat mereka sudah berjaya diikat dengan selimut yang ada di bilik itu.
“Yang lain jangan ke mana-mana. Jaga bunjut ni, nanti terlepas. Biar akak panggil warden asrama. Yanti teman aku.” Kak Yanti pun mengekorinya dari belakang. Beberapa minit selepas Kak Yanti dan Kak Adi Big pergi, kawasan asrama kembali terang benderang. Terlihatlah dengan jelas dua makhluk itu yang masih memakai kain putih sedang terikat di penjuru katil. Tidak lama selepas itu Kak Adi Big dan Kak Yanti sampai bersama dengan seorang warden dan beberapa orang guru yang tinggal di sekolah itu. Warden itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Apa kamu buat ni, Ani, Ros?,” Ani dan Ros, pelajar tingkatan 3, hanya meundukkan kepala kerana malu. Rancangan mereka telahpun gagal. Disebabkan masalah kewangan Ros mengajak Ani kawan rapatnya untuk mendapatkan duit lebih. Untuk mengalihkan perhatian penghuni asrama puteri mereka memakai kostum hantu pada waktu malam.Selepas itu mereka dengan sengaja mematikan fius utama sambungan elektrik di asrama puteri. Apabila semua penghuni asrama puteri berkumpul di dorm 8, ketika itulah mereka beroperasi. Mereka akan mencuri duit, barang mandi, dan apa saja yang dirasakan perlu.
“Cikgu terpaksa panggil ibu bapa kamu. Adi, tolong kemas barang-barang yang mereka ambil ni.” Warden asrama mengarahkan Kak Adi Big untuk mengutip semua barang yang masih berserakan di atas lantai termasuk duit. Kesemua barang bukti itu dikumpulkan ke dalam satu bekas bungkusan. Setelah semuanya selesai semua pelajar puteri diarahkan kembali ke bilik masing-masing. Ketika dalam perjalanan untuk pergi ke biliknya, Minah sempat menanyakan sesuatu kepada seorang pelajar.
“Bunjut tu apa?,”
“Kau tak tau bunjut," sambil berbisik pelajar itu mengerling ke kiri dan kanan,"Bunjut tu hantu pocong. Orang takut nak sebut."
“kenapa pula panggil bunjut?,”
“kau nampak tak kak Ros dengan kak Ani tadi tu. Dia orang pakai kain putih pastu siap ikat kat kepala lagi. Kan macam bunjut tu.”
Minah terangguk-angguk tanda faham. Minah singgah ke bilik air sebelum balik ke biliknya. Sebelum tidur dia akan mencuci kaki dahulu. Ketika itu jam sudah menunjukkan jam 12.30 malam. Ketika Minah hendak meninggalkan bilik air dia merasakan seperti ada orang yang mengintainya.
“Perasaan jer kot.” Minah berbisik. Ketika melalui jalan yang agak suram dari bilik air itu, Minah terlanggar sesuatu. Keras. Minah mengaduh. Bila dia mengangkat muka nafasnya seakan terhenti. Matanya seakan terkeluar. Minah menarik nafas dalam-dalam lalu berteriak.
“Bunjut!!!.”
No comments:
Post a Comment