Thursday, 17 November 2016

Padah ep. 9

“Sekarang ni saya nak kamu bagitahu dengan jelas kenapa kamu pukul orang ni?,”Tanya seorang pegawai polis yang ditugaskan untuk menyiasat kes Am dan Jai. Dia menunjukkan sekeping gambar di atas meja kepada Jai. Jai sangat mengenali orang di dalam gambar itu. Orang itulah yang dipukulnya dengan batang besi sehingga patah tangan kiri. Tetapi Jai hanya membatu di hadapan pegawai penyiasat tersebut. Di dalam bilik gelap yang hanya diterangi sebiji cahaya mentol dia masih dapat melihat rupa pegawai penyiasat bermisai tebal itu. Kelihatan sangat garang.

“Kenapa kamu diam?,”tiba-tiba pegawai penyiasat itu menghentak meja membuatkan Jai tersentak. Jai mula berdebar-debar takut kalau-kalau pegawai itu akan memukulnya pula. Ramai dari kawan-kawannya yang pernah di penjarakan memberitahu polis penjara adalah kaki pukul. Hal itu membuatkan Jai bertambah gerun. Tambahan pula dia tidak pernah dipukul semenjak dia dilahirkan lagi. Dia hanya memukul orang saja walaupun tanpa sebab.

“Cakap!,” pegawai penyiasat itu bertempik. Sekali lagi Jai tersentak. Dia tidak berani melihat wajah pegawai yang garang itu. Perlahan-lahan Jai bersuara.

“Saya…er..,”Jai masih terbata-bata. Pegawai penyiasat itu mula duduk di hadapan Jai untuk mendengar penjelasan daripada Jai. Keadaan itu membuatkan Jai agak tenang sedikit.

“er..sebenarnya saya..er..anak dia mengandung..”

“Anak dia mengandung?.”

“Sebab saya.”

“Anak dia mengandung sebab kamu? Kamu rogol anak dia?.”

“eh..tak. Saya tak rogol. Dia sendiri yang nak. Saya bagilah,” Jai menggeleng-gelengkan kepalanya bersungguh-sungguh.

“Habis, kamu dah rogol anak dia kenapa pula kamu pukul dia?.”

“Kan saya dah kata..saya tak rogol..,”Jai membidas kata-kata pegawai itu. Pegawai itu memandang Jai dengan tajam membuatkan Jai kecut perut. Dalam takut Jai menambah.

“Dia maki hamun saya. Dia kata saya tahu buat saja tapi tak nak bertanggungjawab. Macam-macam dia tuduh saya. Dia kata saya ambil dadah. Hisap gam. Saya geram jadi saya pukullah.”

“Kamu ada ambil dadah? Hisap gam?,” Jai hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Berapa umur anak dia tu?.”

“Empat belas,” Jai menjawab ringkas.

**************

Setelah Jai disoal siasat Am pula dibawa masuk dengan tangan bergari ke dalam bilik gelap yang hanya diterangi cahaya dari sebiji mentol. Di wajah Am jelas terpancar ketakutan di hatinya.

“Mohd. Amran Bin Nasrudin?,” pegawai penyiasat di hadapan Am bersuara. Am hanya mengangguk.

“Kamu bisu?,”herdik pegawai penyiasat tersebut. Am terkejut tidak menyangka akan diherdik seperti itu. Ibu bapanya pun tidak pernah berbuat begitu padanya.

“Saya,” Am berteriak melawan herdikan tersebut.

“Siapa punya?,”pegawai penyiasat meletakkan sebilah samurai panjang di atas meja di hadapan Am.

“Abang saya,” jawab Am jujur.

“Siapa abang kamu?.”

“Jai.”

“Siapa Jai?.”

“Mohd. Jaidi Bin Nasrudin.”

“Untuk apa dia simpan?,” Tanya pegawai penyiasat itu lagi.

“Tak tau. Tapi…,” Am tidak meneruskan kata-katanya.

“Tapi apa?.”

“Dia pernah bagitahu, kalau ada orang jahat senang tetak saja guna pedang tu,”jawab Am.

Setelah puas di soal siasat, atas arahan pihak atasan Am dan Jai dikehendaki menjalani ujian air kencing. Daripada ujian tersebut Am didapati positif dadah. Am mengakui dia hanya mengikut kawan-kawannya saja jika ada barang yang sampai. Akhirnya, Am dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana terlibat dengan pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan. Selepas selesai menjalani hukuman penjara selama enam bulan Am dipindahkan ke penjara lain pula untuk menjalani hukuman kerana mengambil dadah selama dua tahun setengah.

Jai pula menerima hukuman kerana menyimpan senjata tajam tanpa kebenaran dan pergaduhan yang menyebabkan kecederaan. Jai dijatuhi hukuman penjara selama setahun. Selesai sahaja menjalani hukuman penjara Jai dikehendaki bertanggungjawab dan menikahi perempuan yang telah dihamilinya atas permintaan keluarga perempuan tersebut.

***********

Suasana malam kian menyepi. Bunyi nyaring kucing jantan memikat kucing betina bersahut-sahutan diiringi bunyi cengkerik yang semakin jelas kedengaran di dalam kegelapan malam. Hanya kelihatan cahaya dari beberapa buah rumah yang lampunya masih menyala. Rumah Mak Ca tidak menampakkan sebarang cahaya menandakan tidak ada seorang pun dari keluarga Mak Ca yang ada di rumahnya malam itu.

“Assalamualaikum,”kedengaran pintu rumah Jali diketuk orang. Jali meminta anaknya untuk membuka pintu.

“Yana, buka pintu tu. Tengok siapa di luar,” Yana tidak terus membuka pintu sebaliknya dia mengintai dari tingkap untuk melihat siapa yang datang. Manalah tahu orang jahat.

“Ayah, Udin kat luar,” Yana sempat berbisik pada ayahnya sebelum membuka pintu.

“Kenapa Udin?,” Yana bertanya. Udin tidak menjawab tapi hanya memberi isyarat tangan ke mulut dan tangan sebelah lagi memegang perut.

“Kau lapar Udin? Mak mana?,” Yana sempat bertanya. Udin menggelengkan kepala. Yana perasan dengan perubahan badan Udin yang semakin susut. Yana bergegas ke dapur.

“Mak, ada nasi lagi tak? Udin minta makan. Kesian. Dah lewat dah ni.,” beritahu Yana pada ibunya.

“Mak Ca kau tak ada kat rumah ker Yana? Kenapalah mereka ni adik-beradik ramai tapi langsung tak kisah pasal Udin. Dah tahu Udin tu macam tu, jagalah elok-elok,”ibu Yana terus memasukkan nasi ke dalam mangkuk besar dan meletakkan seekor ikan goreng di atasnya. Dia sendiri membawakan nasi tersebut ke arah Udin yang masih menunggu di luar bagaikan menunggu duit dari langit.

“Udin, nah makan. Mak kau tak ada di rumah?,” seperti tadi Udin hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia terus menyambut mangkuk nasi di tangan ibu Yana.

“Terima kasih,” katanya lalu beredar untuk pulang ke rumahnya yang terletak tidak berapa jauh dari rumah Jali.

“Orang macam Udin pun tahu nak berterima kasih,” keluh ibu Yana.

“Pak Nas tak ada, terbiarlah budak Udin tu,” kata Jali sambil menghirup kopi yang baru dibuat oleh isterinya.

“Adi tu aku tengok dah mula bergaul dengan si Bun. Tegur-tegur sikit. Nanti takut jadi benda tak elok pula,” tambahnya lagi.

“Yelah, bang. Saya pun risau juga.”

Pintu rumah Jali dikuak oleh orang dari luar. Jali yang tidur di ruang tamu bersama isterinya terjaga. Cuba melihat siapa yang membuka pintu. Jangkaan Jali tepat bila melihat Adi, anak sulungnya yang sedang terhendap-hendap masuk ke dalam rumah.

“Dah malam-malam buta macam ni baru balik. Dari mana, Adi?,” suara parau Jali mengejutkan Adi yang masih terhendap-hendap di dalam gelap meraba-raba mencari toombol pintu biliknya. ‘Pakai ilmu apa pula orang tua ni. Aku balik tengah malam macamni pun dia boleh terjaga,’omel Adi di dalam hati.

“Jumpa kawan, ayah,”sebelum Jali menyoal lebih banyak lagi cepat-cepat Adi membuka pintu biliknya dan terus masuk ke dalam. Adi terus mengunci pintu biliknya dari dalam. Kemudian mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sandangnya. Majalah porno. Dia tersenyum-senyum sendiri sambil membelek-belek majalah tersebut. Dia baru sahaja mendapatkan majalah tersebut daripada Bun. Dia tidak pula tahu dari mana Bun mendapatkan majalah tersebut. Lelaki mana yang tidak tergiur bila diacukan dengan majalah yang di dalamnya penuh dengan gambar-gambar wanita seksi dan memberahikan. Akhirnya, Adi terlena dengan mimpi-mimpinya bersama perempuan-perempuan seksi yang dilihat di dalam majalah itu.

************

Seperti biasa Adi bangun lewat lagi. Selagi matahari belum berada di atas kepala, selagi itulah dia tidak akan meninggalkan selimutnya. Sudah puas Jali dan isterinya menegur dan meleterinya, Adi tetap dengan perangainya itu. Selepas bangun tidur Adi akan mandi dan kemudian akan menghilangkan diri entah ke mana. Bila ditanya ke mana dia hanya menjawab hendak berjumpa kawan. Hari itu seperti yang dijanjikan, Adi bertemu dengan Bun di tepi sungai. Ketika Adi sampai, Bun sudah ada di situ bersama kawan-kawannya yang lain.

“Hei, Adi apasal lambat?,”kedatangan Adi disapa dengan soalan dari Bun. Kawan-kawannya yang lain asyik berborak dengan cerita masing-masing.

“Alah, biasalah mimpi basah,” jawab Adi bersahaja. Jawapan dari Adi itu menyebabkan ketawa Bun dan kawan-kawannya berhamburan di kawasan sungai itu.

“Jangan sampai mak bapak kau tahu dah lah. Bukan apa nanti kau juga yang kena menjawab. Jadi pandai-pandailah kau sorokkan buku yang aku bagi tu,”Bun sempat berpesan.

“Yelah, aku tahulah. Kalau ada yang terbaru kau terus bagi kat aku,”jawab Adi.

“Adi, kau nak try? Ada barang baik punya,”Bun berbisik ke telinga Adi.

“Barang apa tu. Kalau baik mestilah nak,” kata Adi pula. Bun mengeluarkan sesuatu dari saku seluarnya. Satu bungkusan kecil yang di dalamnya terdapat serbuk berwarna putih seperti tepung. Bun menyerahkan bungkusan tersebut kepada Adi.

“Ambil ni.”

“Apa ni?,”Tanya adi sambil membelek-belek bungkusan tersebut.

“Barang ni best. Kau selalu kata kan tak tahan mak bapak kau asyik membebel saja. Inilah ubatnya. Gerenti semua masalah hilang,” terang Bun dengan panjang lebar. Adi merenung bungkusan tersebut sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Macamana nak pakai?,”Adi mengajukan soalan kepada Bun.

“Kalau nak pakai benda ni tak boleh kat sini. Jom ikut aku,”Bun mengajak Adi ke satu tempat yang agak tersorok di dalam semak. Tetapi kawasan tersebut seperti sudah pernah didatangi kerana terdapat kesan rumput dipijak orang. Bun membawa Adi duduk di atas sekeping kertas kotak yang sudah tersedia di situ. Bun mengeluarkan lilin yang tersembunyi di bawah kotak. Kemudian dia mengeluarkan mancis dari dalam sakunya dan menyalakan lilin. Bun mengajar Adi satu-persatu cara menggunakan serbuk putih yang diberikannya tadi iaitu dadah. Akhirnya, Bun dan Adi hilang di dalam dunia mereka sendiri. Tidak peduli dengan keadaan sekeliling.

************

Bersambung…






No comments:

Post a Comment