Thursday, 17 November 2016

Padah ep. 11

Kini Ramadhan telah tiba. Semua orang-orang Islam akan berpuasa selama sebulan. Begitu juga dengan penduduk Kampung Semarak. Ramadahan yang ke tujuh, Mak Ca datang berkunjung ke rumah Jali. Hajatnya hanyalah untuk menhulurkan sedikit juadah berbuka tanda sedekah di bulan baik itu.

“Assalamualaikum, Jali..oh..Jali,” jerit Mak Ca dari bawah rumah Jali.

“Waalaikummussalam, eh Mak Ca..naiklah,”Yana, anak Jali menyambut Mak Ca di muka pintu.

“Ayah kau mana, Yana?,”Tanya Mak Ca.

“Ayah belum balik lagi. Pergi kebun dengan mak.”

“Nah, ni ada juadah sikit. Nanti waktu berbuka makanlah,” beritahu Mak Ca.

“Amboi, Mak Ca. Susah-susah saja. Terima kasih Mak Ca.”

“Yelah, Mak Ca balik dululah.”

“Tak naik dulu Mak Ca?,”

“Tak payah. Mak Ca ada kerja lagi kat rumah tu.” Mak Ca pun berlalu meninggalkan Yana yang mengintai bekas makanan untuk melihat apa juadah yang diberikan oleh Mak Ca.

*************

‘Bila pula aku masak lemak pucuk ubi ni?,’ Bisik ibu Yana. Petang itu tidak ada dia melihat Yan menolongnya memasak. Habis dari mana pula datangnya juadah yang satu ini. Nampak sedap dan menyelerakan. Hal itu membuatkan Mak Yana tertelan air liurnya sendiri.’Astaghfirullahaladzim’. Cepat-cepat Mak Yana mengucap mengelak bagi mengawal nafsu laparnya.

“Mak, tu Mak Ca bagi tadi,” beritahu Yana yang melihat ibunya yang lams merenung juadah pemberian Mak Ca.

“Mak Ca bagi?,” tiba-tiba ayahnya, Jali yang duduk di anjung rumah menyampuk. Kuat pula deria pendengarannya sehingga perbualan mereka yang berada di dapur pun boleh didengarinya.

“Ya, ayah.”balas Yana.

“Jangan makanlah. Pergi buang,”kata Jali lagi.

“Ayah ni dah kenapa pula. Sedap tu masak lemak pucuk ubi.”

“Jangan nak temberang. Macam aku tak tau kau kalau makan memang ketinggalan. Nafsu saja lebih tu. Berbuka makan kuih separuh pun tak habis,” sindir ayahnya.

“Bukan ayah tak nak, tapi kau tak ingat dulu masa Simah masih tinggal dengan laki dia,” tambah Jali lagi. Sempat juga Jali mengerling sekeliling rumahnya, manalah tahu Mak Ca tiba-tiba terpacul di depan matanya.

“Apa pula kena mengenanya dengan kak Simah, Ayah?,” Yana menghampiri ayahnya.

“Tanyalah mak kau tu,” jawab Jali seolah meminta isterinya untuk menerangkan pada Yana perkara sebenar.

“Ish, kita pula.erhm…,”Mak Yana yang mengikut jejak Yana menjeling suaminya.

“Yana ingat dulu kan Simah masa dia masih tinggal dengan laki dia, selalu telefon rumah kita kalau nak bercakap dengan Mak Ca. Yalah rumah Mak Ca kan tiada lagi talian masa tu,”Yana mengangguk setuju dengan kata emaknnya.

“Masa Mak Ca bercakap dengan Simah kat telefon tu mak ada dengar.Yang Mak Ca suruh Simah letakkan benda kotor kat makanan laki dia,”terang Mak Yana dengan suara yang agak perlahan. Takut pula ada telinga yang mendengar.

“Jadi?,” Yana seolah-olah tidak memahami akan maksud cerita ibunya. Apa pula kena mengena dengan masak lemak pucuk ubi yang sedap tu.

“Jadi tak mustahil kalau Mak Ca kau tu buat benda yang sama. Entah-entah ada dia letak kat lemak pucuk ubi tu. Mana kita tahu. Kenalah berhati-hati sebelum terkena,” jawab Jali.

“Eee..ayah ni..yelah Yana buang. Eh tak. Bagi cik yam makan,”kata Yana sambil berlalu.

“Siapa pula cik yam ni?,” tanya Jali.

“Ayam la tu,” jawab isterinya bersahaja. Jali menggeleng-gelengkan kepala. Itulah perangai semulajadi Yana, haiwan pun diberikan nama. Yana akan meletakkan nama pada haiwan yang dipelihara dengan nama yang difikirkannya sesuai dengan haiwan tersebut.

‘Patutlah sampai bercerai berai. Main kotor rupanya. Dah laki dia pun asyik naik tangan saja mana tahan,’sambil berjalan ke reban di belakang rumahnya Yana bermonolog di dalam hati. ‘Untung kau cik yam dapat makan lemak pucuk ubi.’

************

Setelah sebulan berpuasa, Hari Raya Aidilfitri hari dinanti-nantikan pun tiba. Malam raya kelihatan bunga api berkelipan di udara menjadi percikan-percikan yang menghasilkan pelbagai bentuk yang menarik. Tidak tahu pula siapa yang melepaskan bunga api itu ke udara. Kedengaran juga bunyi meriam buluh bersahut-sahut seakan mengajak berperang pula bunyinya. Dalam kemeriahan malam itu, tidak ketinggalan bunyi takbir yang silih berganti di surau-surau kampung bersebelahan.

‘Allahhu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar,’

‘Lailahailallahu Wallahu Akhbar,’

‘Allahu Akhbar Wa Lillahilhamdu.’

Di halaman rumah Mak Ca kelihatan kelibat Am dan Jai yang sedang menyiapkan rendang ayam kawah dan lemang untuk juadah di pagi raya esok. Am sempat meminta seikat serai dari Jali. Di kawasan rumah Jali memang di tanam dengan bahan masakan seperti halia, kunyit, cekur, serai dan lada. Semua itu ditanam oleh Mak Yana. Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa Mak Yana akan berkebun jika ada masa terluang. Untuk kesihatan katanya.

Di rumah Jali pula sibuk menyusun kuih-muih ke dalam bekas. Memang setiap kali Hari Raya menjelang Jali tidak suka berlebih-lebihan. Dia lebih suka menyediakan persiapan ala kadar sahaja kerana baginya Hari Raya hanya untuk sehari sahaja. Esoknya bekerja semula dan akan menjalankan rutin seperti biasa. Orang kaya sahaja rayanya sampai sebulan.
Keesokan harinya, selepas sembahyang raya kedengaran suara orang memberi salam di halaman rumah Jali.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikummussalam, hah, Am naiklah. Kamulah orang pertama yang beraya ke rumah aku ni,” seloroh Jali. Am tidak datang seorang. Tetapi bersama seorang perempuan yang agak berisi dan seorang kanak-kanak perempuan sekitar umur dua tahun. Itulah isteri dan anak sulung Am. Selepas dibebaskan dari penjara, Am telah pun berhijrah membina hidup baru bersama perempuan yang pernah menjadi teman wanitanya semasa kejahilannya dahulu. Kini telah hampir tiga tahun usia perkahwinan mereka dan mereka telah pun mempunyai seorang anak.

“Wah, besar dah anak kau Am,” sapa Mak Yana setelah mempersilakan mereka duduk. ‘insaf juga budak Am ni. Syukurlah,’bisik Mak Yana dalam hati.

“Bang, saya sebenarnya nak minta maaf. Sebelum ni saya banyak buat salah. Saya ingat nak minta maaf dengan semua orang kampung,”beritahu Am pada Jali. Dari riak wajah Am, nampaknya dia telahpun menyedari dan menyesali akan kesilapannya dahulu.

“Kau tak buat salah apapun kat aku, Am. Kalau adapun aku dah lama maafkan. Aku tengok kau sekarang pun dah banyak berubah. Lagipun benda dah lepas, Am. Janganlah dikenangkan lagi. Jagalah isteri dengan anak kau elok-elok,” kata Jali memberi nasihat. Jali yakin Am sudah berubah. Dengan keadaan Am sekarang yang jauh berbeza daripada Am yang dulu. Sekarang Am sudah sering pergi ke surau, ke majlis-majlis kampung dan banyak juga membantu orang kampung.

**********

Am yang baru sahaja selesai membeli barang keperluan di pekan, berjalan perlahan ke tempat dia meletakkan motorsikalnya tadi. Perlahan-lahan dia menghidupkan enjin motorsikal Honda ‘secondhand’ itu.

“Betul ker kau ni dah bertaubat??,” tiba-tiba Am terdengar suara bergema di telinganya. Itu membuatkan Am agak terkejut.

“Siapa tu?,”spontan soalan itu terpacul dari mulut Am. Dia menoleh ke kiri ke kanan tetapi langsung tidak kelihatan kelibat seseorang. Am berfikiran mungkin hanya perasaannya sahaja.

“Tak payah nak tunjuk baik lah,”suara itu bergema lagi di gegendang telinganya. Sekali lagi Am tersentak. Kali ini dia betul-betul pasti dia mendengar suara itu.

“Hahahaha,”tiba-tiba suara itu ketawa terbahak-bahak.

“Siapa kau? Keluarlah,”dalam gementar Am bersuara.

“Dosa kau takkan diampunkan,”gema suara itu lagi.

“Kau tak ingat, apa yang kau dah buat dengan ayah kandung kau?,”

“Hei, kau siapa hah?,”Am semakin tidak keruan. Dia mula terbayang bagaimana ayahnya teruk dibelasah olehnya suatu ketika dahulu. Rasa bersalah pada ayahnya tiba-tiba datang tanpa diundang.

“Kau tak ingat berapa ramai perempuan yang kau dah rampas mahkotanya?,” suara itu semakin lantang di gegendang telinganya. Am cuba menutup telinganya. Tapi suara itu tetap kedengaran.

“Hahahaha,”ketawa suara itu. Memang zaman bujang Am dipenuhi dengan maksiat. Dia sering bertukar perempuan yang dikenali dari kelab-kelab malam. Dia akan membawa perempuan yang baru dikenalinya tidur di mana-mana sahaja demi melunaskan nafsunya serakahnya. Sebab itulah dia jarang pulang ke rumah. Jai, abangnya sendiri yang mengajarnya berbuat demikian. Katanya untuk membuktikan kelakian mereka.

“Dosa kau takkan diampunkan,”Am semakin takut. Dia mula berfikiran yang bukan-bukan. Mungkinkah itu suara malaikat yang dihantar oleh Allah untuk menghukumnya. Am takut akan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Dan dia sebenarnya belum berkesempatan untuk memohon ampun kepada ayahnya. Mungkin disebabkan ayahnya terlalu sekejap berada di rumah dan terpaksa balik ke luar negeri untuk menjalankan tugas mencari rezeki.

“Hahaahaahhaa,”mendengar ketawa yang tidak putus-putus itu Am segera menekan pedal minyak. Motorsikal Honda miliknya meluncur laju di atas jalan raya. Setiap kenderaan yang ada di depannya semua dipintasnya. Suara itu masih bergema di gegendang telinganya. Setiap dosa yang pernah dilakukan oleh Am, bermain di kepalanya silih berganti. Badan Am berpeluh walaupun angin yang dihasilkan oleh kelajuan motorsikalnya cukup kuat untuk menyejukkan tubuhnya. Setelah sampai dipersimpangan kampungnya, tak semena-mena motorsikal Am hilang kawalan membuatkan Am tercampak di atas jalan raya. Am cuba bangun tetapi dia merasakan seluruh tubuhnya sakit dan tidak dapat bergerak. Tanpa disangka, sebuah lori tangki datang dengan laju di hadapannya. Sebelum lori itu melanggarnya Am sempat mendengar suara itu buat kali terakhir.
“Hahahaahhaaaha…manusia memang bodoh,”suara itu ketawa puas.

****************

Hari itu, lima bulan selepas raya, dan selepas lima tahun kematian Bun, Mak Ca dikejutkan lagi dengan satu berita yang tragis di mana Am telah ditimpa kemalangan. Am meninggal di tempat kejadian serta merta kerana kepalanya pecah. Otaknya berhambur di atas jalan raya. Pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu membersihkan kawasan jalan raya yang dipenuhi darah Am.

“Ya Allah!,” Mak Ca hampir pengsan ketika menerima berita itu. Itupun setelah orang kampung yang melihat kejadian itu datang ke rumahnya. Acu cuba menenangkan Mak Ca.

“Macamana boleh kemalangan?,”tanya Jai pada saksi yang melihat kemalangan itu.

“Aku cuma nampak Am bawa motorsikal lalu depan kedai tempat kami selalu lepak. Laju. Memang laju. Tiba-tiba jer aku dengar bunyi dentuman kuat. Am dah ada kat atas jalan. Terbaring. Tak sempat kami nak tolong dia, tiba-tiba satu lori tangki lalu, pijak kepala dia..ish..dahsyat,” tidak sanggup orang itu mengingat kembali apa yang dilihatnya. Sangat ngeri.

Ketika itulah Jai teringat akan peristiwa pergaduhan mereka dengan ayahnya dahulu. Mungkin inilah balasan untuk Am. Dia bila pula akan menerima balasan daripada Allah.’Mungkin inilah balasan Allah.’bisik Jai.

*************

Bersambung…

No comments:

Post a Comment