Friday, 24 June 2016

Padah ep. 4

Penduduk Kampung Semarak mula heboh dengan kehadiran pencuri di kampung itu. Mula-mula kedai runcit Pak Lebai di pecah masuk. Tetapi Pak Lebai mengambil tindakan untuk tidak melaporkannya kepada pihak polis kerana pencuri tersebut hanya mengambil sekotak rokok. Apa yang mengejutkan, seminggu selepas itu pencuri sudah berani memecah masuk rumah orang-orang kampung pula. Apa yang memelikkan penduduk kampung, kesan rumah dipecah masuk memang ada tetapi tuan rumah tidak menemui apa-apa yang hilang. Keadaan itu membuatkan kejadian pecah rumah ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Bodoh betullah orang kampung kita ni kan,”kata Mail pada Bun. Mereka ketika itu berada di belakang rumpun bambu di belakang rumah Mail tempat selalu mereka menghabiskan masa selepas dibuang sekolah.

“Dah kita curi benda-benda kecil saja mana mereka nak perasan. Curi duit pun sepuluh ringgit saja. Apalah sangat sepuluh ringgit tu pada mereka. Tapi kita boleh beli macam-macam. Beli keropok, mainan. Beli ..rokok..,”

“Hahahaha…” ketawa Bun dan mail memecahkan kesunyian di kawasan pohon bambu itu.

Begitulah persahabatan Bun dan Mail yang sentiasa sebulu sehingga mereka dewasa. Kini masing- masing sudah mencapai usia 19 tahun. Tetapi usia tidak membuktikan kematangan mereka malah semakin menjadi-jadi pula perangai mereka. Apa yang dilarang itulah yang akan dibuat.

“Hah, Mail kau ni asyik nak menyusahkan mak bapak kau saja. Pergilah cari kerja elok sikit. Ni tidak asyik nak bergaul dengan Bun tu saja, mana nak dapat hidayah,” Pak Lebai merangkap bapa saudara tiri kepada Mail sering menasihati Mail. Tetapi seperti biasa nasihat Pak lebai bagaikan air yang mengalir di daun keladi.

“Saya tahulah apa saya buat, Pak Lebai. Pak Lebai jangan nak buruk-burukkan kawan saya,” Darah muda Mail mula tersirap ke muka. Kalau diikutkan hati mahu disekehnya orang tua itu. Suka sangat nak masuk campur hal orang.

Malam itu, riuh rendah suara orang kampung yang tinggal di kawasan berhampiran kedai Pak Lebai. Mana tidaknya kedai runcit Pak Lebai sedang terbakar. Api marak dengan begitu cepat sekali. Keadaan itu membuatkan orang kampung menjadi kelam kabut. Mereka risau kalau api merebak ke rumah berhampiran.Bomba segera dipanggil dan api berjaya dipadamkan. Malangnya kedai runcit Pak Lebai habis hangus hanya tinggal arang.

“Hahaha, puas hati aku. Padan muka kau orang tua suka sangat jaga tepi kain orang,” kedengaran suara di belakang pokok bambu. Suara Mail.

“Kau yang buat? Kenapa tak ajak aku. Kau ni buat projek sorang-sorang,”Bun seolah-olah tidak berpuas hati.

“Maaflah, aku tak sempat nak ajak kau. Geram aku dengan orang tua tu. Boleh dia buruk-burukkan kau depan aku.”

“Hah, dia kata apa pasal aku,”Bun pula mula marah mendengar kenyataan dari Mail.

“Tak payahlah kau nak marah-marah lagi. Aku dah balas dendam dah pun. Kau tengoklah kedai dia dah habis. Lepas ni pandai-pandailah dia nak cari makan.”

“Terima kasiih, kawan,”Bun menepuk-nepuk bahu Mail.

********************
Bersambung…

No comments:

Post a Comment